11 Soalan Bina Otot Anda Patut Tanya Jan06

Kongsi

11 Soalan Bina Otot Anda Patut Tanya

Setelah berlatih untuk beberapa bulan dan mungkin beberapa tahun, anda nampak hasil dengan jayanya. Kemudian, satu hari anda perasan yang perjalanan anda terhenti. Anda tidak lagi mara, tidak pula mengundur ke belakang. Inilah yang dipanggil plateau. Pernah rasa?

Aiman Radzi - 11 Soalan Bina Otot Anda Patut Tanya

Jika anda sedang mengalami masalah ini, mungkin tiba masa untuk mengubah sesuatu dalam latihan anda. Lihat semula apa yang anda telah lakukan, apa yang tidak kena?

Kejayaan dalam latihan sebenarnya berpaksikan komponen-komponen asas latihan. Tanpa asas-asas ini, anda tidak perlu cari solusi kompleks lagi! Selesaikan yang itu dahulu. Kita akan jadi detektif untuk sementara dan lihat satu demi satu aspek latihan anda melalui 11 soalan ini:

NASC 2015

1- Sudahkah Saya Tetapkan Matlamat Jelas?

Anda perlu ada matlamat tatkala anda memulakan latihan. Tidak mungkin anda bersahaja datang berlatih di gym tanpa sebarang halatuju. Tetapi, memang ada yang datang ke gym bukan untuk bersenam pun, mungkin untuk mencuci mata.

Matlamat anda harus jelas dan bukan sekadar terhenti pada “hendak membakar lemak” ataupun “membina otot”. Wujudkan matlamat yang lebih mendalam dan tepat.

“Matlamat saya adalah untuk membesarkan badan sehingga 100kg supaya saya dapat menjadi kuat dan mampu deadlift melebihi 300kg sebelum saya berumur 35 tahun!”

Nampak?

2- Adakah Latihan Saya Menghala Ke Arah Matlamat Ini?

Terlalu mudah untuk seseorang mengharapkan sesuatu tetapi berusaha ke arah yang lain. Anda mungkin berhajat untuk menjadi jutawan, tapi setiap minggu anda keluar melepak dan menghabiskan wang dengan perkara-perkara kurang berfaedah.

Kaitkan dengan dunia kecergasan, anda mungkin ingin membina otot supaya badan anda besar tapi anda tidak akan capai matlamat tersebut jika setiap kali anda datang ke gym hanya melakukan bicep curl sahaja. Anda tidak pula akan menjadi lebih kurus kalau setiap hari hanya datang ke gym untuk berjalan di atas treadmill.

Pastikan dulu latihan yang anda buat sebenarnya mampu membawa anda ke arah matlamat anda dan gunakan cara yang paling berkesan untuk menjimatkan masa.

3- Adakah Matlamat Saya Realistik?

Berhasrat untuk menaikkan jisim otot sebanyak 20kg dalam masa satu bulan adalah tidak masuk akal sama sekali! Berkatalah apa sekali pun, kawan anda pernah lakukan atau otai anda pernah buat, peningkatan jisim bebas lemak begini tidak mungkin berlaku.

Sasarkan peningkatan atau pengurangan antara 1-2kg setiap bulan untuk hasil terbaik. Membina badan adalah satu kembara kehidupan, bukan sekadar hobi sebulan dua. Anda juga tidak berniat untuk kurus sebulan dua sahaja, bukan?

Adakah Saya Melakukan Senaman Yang Betul

4- Adakah Saya Melakukan Senaman Yang Betul?

Ingat, untuk terus membina otot, anda harus berlatih untuk terus menjadi kuat dan kuat. Setiap minggu, anda perlu pastikan yang jumlah rep, set, atau beban anda meningkat. Anda boleh juga cuba kurangkan masa berehat antara set senaman.

Pastikan anda sentiasa berlatih menggunakan senaman kompaun asas, tidak kira menggunakan apa sahaja program latihan!

5- Adakah Saya Menyimpan Log Latihan?

Merekod kemajuan latihan anda memberikan anda gambaran akan perjalanan latihan yang dilakukan selama ini. Anda dapat tahu di mana silap anda, kemudian berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Ramai yang tidak menyimpan sebarang rekod latihan, lantas menjadikan mereka “buta” dalam dalam mengejar matlamat mereka. Mereka hanya mengagak-agak yang latihan mereka mendatangkan hasil. Apabila mereka sedar mereka tersilap, semuanya telah terlambat.

6- Adakah Saya Semakin Kuat?

Daripada rekod latihan anda, lihat samada anda semakin kuat, semakin lemah, atau hanya kekal di mana anda berada untuk sekian lama.

Kalau anda semakin kuat, bagus dan teruskan. Kalau semakin lemah atau kekal, anda perlu cari jalan untuk selesaikannya, seperti menguatkan otot-otot bantuan, melatih otot teras, dan lain-lain. Rujuk entri Mentaliti Latihan Kekuatan untuk tahu bagaimana “orang kuat” berfikir!

Aiman Radzi - Parameter Latihan Bina Otot

7- Adakah Saya Konsisten Dalam Latihan?

Kunci kejayaan adalah untuk menjadi konsisten dalam usaha anda. Jangan berhenti separuh jalan dan jangan pula kerap menukar kaedah latihan. Konsisten bukan sekadar datang ke gym selalu, tetapi turut dalam latihan yang dilakukan.

Kalau anda betul-betul berhasrat tinggi, jangan datang berlatih sebulan dan cuti tiga bulan. Biasanya terjadi apabila anda memberi all-out dalam bulan pertama tersebut. Cipta sistem supaya anda kekal bermotivasi tinggi dan konsisten untuk jangka masa lama.

8- Adakah Saya Memakan Makanan Yang Betul?

Anda tahu bukan, yang pemakanan memainkan peranan sangat penting untuk mendapatkan hasil, mungkin jauh lebih penting daripada latihan di gym! Lihat semula pemakanan anda jika anda mengalami plateau.

Pastikan anda mendapat jumlah kalori yang mencukupi, jumlah makronutrient yang tepat, dan jangan abaikan komponen mikronutrien daripada pemakanan anda.

9- Adakah Saya Menggunakan Supplement Yang Berkesan?

Sekarang, kerap berlaku mereka yang membeli makanan tambahan (supplement) tanpa mengetahui tujuan sebenar produk tersebut. Janganlah sekadar berharap penjual menerangkan semua (walaupun tiada masalah dalam bertanya), rajinkan diri untuk mengkaji dahulu sebelum membeli.

Saya sentiasa mencadangkan penggunaan produk-produk tempatan. Antaranya adalah produk-produk keluaran Mesotropin yang terdiri daripada pelbagai variasi!

Stress Dalam Bina Badan

10- Adakah Saya Mendapat Waktu Rehat Yang Cukup?

Selain pemakanan yang menjadi aspek penting kejayaan, waktu anda berehat juga memberikan impak kepada hasil yang anda harapkan. Ramai ingat semakin lama berlatih di gym, semakin baik hasil yang mereka bakal terima. Alangkah silapnya yang berfikiran begitu.

Otot-otot anda membaikpulih diri mereka sendiri sewaktu anda berehat, waktu anda tidak lagi berada di gym. Cukupkan waktu tidur anda supaya badan anda bebas tekanan yang merencatkan pembinaan otot.

11- Adakah Saya Selalu Stress?

Membina badan bukan sekadar mengangkat besi, memakan ayam dan daging, hatta merebus sepapan telur untuk dihabiskan setiap hari. Stress berlebihan adalah musuh anda! Musuh yang menghalang proses bina badan, dan juga keceriaan hidup anda.

Sentiasa tenangkan diri dan jauh daripada persekitaran yang menyebabkan anda stress. Kalau anda tidak dapat lari daripada situasi begitu, belajar cara untuk megawal stress. Dapatkan juga sokongan-sokongan orang terdekat untuk anda berkongsikan masalah.

Konklusi

Kadangkala, kita tidak perlu melihat jauh akan masalah kita kerana jawapannya mungkin ada di sekeliling kita. Kenal pasti masalah tersebut dan tangani ia dengan penuh keyakinan dan sabar. Cetak soalan-soalan ini dan simpan supaya anda sentiasa berusaha berdasarkan matlamat anda!

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube  

iklan ebook   ds ads   iklan disini