3 Serangkai: Kencing Manis Mar19

Kongsi

3 Serangkai: Kencing Manis

Setiap hari, ribuan rakyat, jika tidak – jutaan rakyat seluruh dunia disahkan menghidap penyakit kencing manis. Ini menandakan kebanyakan orang masa kini seperti tidak berwaspada dan mempunyai ilmu yang cukup akan kesihatan mereka. Jika ini berlarutan, ianya hanya akan menjejaskan masa kini dan masa hadapan.

Diabetes Mellitus boleh dikira sebagai penyakit yang sangat biasa dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah, sejak kebelakangan ini, makin ramai pula yang didiagnosis dengan penyakit ini. Sehinggakan kanak-kanak juga mendapat tempias kencing manis!

Dalam usaha untuk mencegah penularan penyakit ini untuk generasi akan datang, ianya bermula dengan diri kita dahulu. Kita perlu didik diri kita dan orang lain akan perkara ini.

Kursus Kecergasan 2017

Apakah Diabetes Mellitus?

Penyakit kencing manis boleh dikatakan penyakit kronik yang dikelaskan melalui peningkatan tahap gula (glukosa) dalam darah. Tetapi, bagaimana ia boleh berlaku?

Glukosa memasuki saluran darah kita melalui makanan-makanan yang diambil setiap hari dan ia bertindak sebagai bahan bakar untuk fungsi kita. Dalam badan kita ada satu organ yang dipanggil sebagai pankreas. Organ ini terletak berhampiran perut kita dan berfungsi untuk merembes hormon insulin yang sangat penting untuk pengagihan glukosa kepada sel-sel dalam badan.

Pengambilan gula (karbohidrat) yang terlalu tinggi akan merosakkan pankreas akibat daripada pemaksaan rembesan hormon insulin yang tinggi. Apabila ini berlaku, kebanyakan glukosa akan menyusup masuk mengisi sel lemak lalu menjadikan sel-sel tersebut bersaiz besar. Masalah ini turut membawa kepada bacaan gula darah tinggi dan boleh merisikokan kesihatan buah pinggang, jantung, mata dan sistem saraf.

Jenis Kencing Manis

Secara umum, mereka yang menghidap penyakit kencing manis mengalami masalah samada; 1) mereka tidak dapat merembes hormon insulin atau 2) hormon insulin mereka tidak bertindak dengan efektif. Perlu diingati, penyakit kencing manis berupaya mendorong individu tersebut kepada komplikasi-komplikasi lain yang serius.

Dua jenis kencing manis yang senang dikategorikan adalah Jenis 1 dan Jenis 2. Kebiasaannya sekarang, ramai menghidap penyakit kencing manis Jenis 2. Yang ini berpunca daripada gaya hidup yang tidak aktif dan pemakanan yang tidak terjaga – memakan makanan manis dan tinggi karbohidrat sepanjang masa. Jenis 1 adalah kencing manis yang memerlukan anda mengambil insulin secara harian kerana pankreas anda sudah tidak mampu menghasilkan hormon tersebut.

Simptom Kencing Manis

Simptom utama penyakit ini, semestinya adalah bacaan gula darah yang tinggi. Organ pankreas tidak dapat berfungsi pada kadar yang optimum, lantas glukosa yang dimakan akan disimpan dan ini akan meningkatkan bacaan gula darah.

Tanda-tanda lain termasuklah:

  1. Perasaan sering lapar
  2. Dahaga keterlaluan
  3. Sentiasa keletihan
  4. Penglihatan kabur
  5. Kerap kencing
  6. Luka yang lambat sembuh

Aiman Radzi - 3 Serangkai Kencing Manis

Komplikasi Kencing Manis

Diabetes Mellitus tidak boleh dipandang remeh atau diambil mudah kerana ia boleh memberi kesan terhadap bahagian-bahagian lain. Mengetahui kesan-kesan kencing manis boleh mendidik kita supaya lebih berhati-hati dalam penjagaan kesihatan kita.

Kencing manis boleh meningkatkan tekanan darah dan menyebabkan masalah-masalah jantung. Ia juga dikaitkan dengan peningkatan kolestrol yang sekali gus meningkatkan risiko masalah kardiovaskular.

Komplikasi lain adalah serangan angin ahmar (stroke), masalah vaskular periferal, hipertensi, jangkitan saluran kencing, dan kekurangan sensitiviti terhadap hormon insulin. Sekurang-kurangnya 65% daripada mereka yang mengalami masalah kencing manis mengalami masalah jantung atau stroke.

Satu lagi organ yang boleh rosak adalah buah pinggang kita yang perlu menapis, menahan, dan merelakan diri dihentam oleh penyakit kencing manis ini. Diabetic neuropathy adalah terma yang digunakan bagi mereka yang mengalami masalah buah pinggang hasil daripada kencing manis.

Cara Melawan Kencing Manis

Menghindari kencing manis bermula daripada gaya hidup kita. Kerap bersenam sahaja boleh merendahkan risiko kencing manis secara drastik! Kawal berat badan supaya tidak berlebihan dan amalkan pemakanan yang sihat.

Meskipun kita rajin berjogging dan pergi ke gym, kita tidak dapat melawan penyakit ini jika kita tidak memperbetulkan cara pemakanan kita dahulu. Tidak guna berjogging berkilo-kilometer jika makanan harian kita terdiri daripada makanan berminyak, bergula, dan macam-macam lagi!

Rujukan:

  1. ‘Diabetes Statistics.’ Diabetes.org. American Diabetes Association, 2011. Web. 26 June 2011. http://www.diabetes.org
  2. Eckman, Ari S,, and David Zieve. “Diabetes.” Nih.gov. National Institue of Health, 10      May 2010. Web. 26 June 2011.          http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/pmh0002194/
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube