3500 kalori = 1 Paun Berat Badan? Aug06

Kongsi

3500 kalori = 1 Paun Berat Badan?

Pernah dengar peraturan “3500 kalori untuk 1 paun berat badan”? Setakat mana kebenarannya?

Menurut Bovenraad (1911), kandungan lemak secara purata dalam tisu adipos manusia adalah 87 peratus. Oleh itu, 1 paun (454 gram) tisu adipos mengandungi 395 gram lemak. Dengan nilai kalori 1 gram lemak binatang sebanyak 9.5 kalori, jumlah kalori adalah lebih kurang 3750 kalori.

Dalam julat yang dipersetujui, kajian klinikal oleh Strang & Evans (1928) dan hasil review Wishnofsky (1958) telah membuat konklusi bahawa dengan diet rendah kalori dan tinggi protein, 1 paun berat badan adalah bersamaan dengan 3500 kalori dengan andaian (1) defisit kalori tersebut hanya berdasarkan katabolisma lemak, (2) protein dan karbohirat (glikogen) dalam badan perlu berada dalam keadaan keseimbangan. Mereka juga (3) mengambil faktor kuantiti air sebagai salah satu pembolehubah dalam kajian.

Namun, peraturan 3500 kalori (kcal) atau 32.2MJ/kg ini telah disemak semula oleh pengkaji seperti Forbes (1987, 2000) dengan taakulan beliau ketika penurunan berat badan, kehilangan jisim otot juga akan berlaku, dan ini juga disokong McArdle (1996) bahawa rule of thumb ini sudah terlebih anggar (Overestimation).

Hall (2008) telah menyemak dan melakukan modifikasi terhadap teori Forbes (1987, 2000), dengan meramalkan bahagian penurunan berat badan berdasarkan jisim otot yang hilang sebagai fungsi tidak linear kandungan lemak badan asal dan magnitud berat badan yang hilang (Hall, 2007). Kajian telah menunjukkan bahawa kehilangan air dalam badan menunjukkan perubahan jisim yang signifikan, tetapi tidak menyumbang kepada kandungan tenaga metabolisma; Teori tenaga metabolisma Forbes ini hanya dimanipulasikan oleh ketumpatan tenaga metabolisma dalam bentuk lemak, protein dan glikogen dengan 39.5, 19.7, 17.6 MJ/kg masing-masing (Livesey & Elia, 1988).

(Persamaan teori Forbes yang telah disemak semula boleh dilihat dalam kajian Hall (2008)).

nihms-47767-f0001

Ramalan ketumpatan tenaga berat badan dalam fungsi (A) kandungan lemak badan atau (B) berat badan asal perempuan. Diadaptasi dari Hall (2008).

Berdasarkan hasil-hasil kajian Hall diatas, ianya menunjukkan;

(1) Semakin tinggi kandungan lemak badan asal, semakin besar kumulatif tenaga yang diperlukan untuk menghasilkan jumlah penurunan berat badan yang sama. (Mungkin memerlukan lebih dari 3500 kcal untuk penurunan 1 paun berat badan).

(2) “Rule of thumb 3500 kcal” ini tidak sesuai untuk mereka yang rendah kandungan lemak badan asal secara relatif.

(3) Lelaki lebih mudah untuk turunkan berat badan berbanding perempuan kerana perempuan mempunyai kandungan lemak badan lebih berbanding lelaki untuk berat badan yang sama.

Berdasarkan hasil kajian di atas juga, ianya menunjukkan bahawa kadar penurunan berat badan akan menjadi lebih tinggi dengan jisim otot yang lebih tinggi, kerana lebih rendah kandungan kepadatan tenaga metabolisma berbanding jisim lemak untuk berat yang sama -lebih rendah tenaga, lebih senang hasilkan defisit kalori- (Menunjukkan salah satu kepentingan signifikan membina otot tidak kira jantina lelaki atau perempuan.)

Beberapa usaha (i.e. Thomas et al, 2013) telah dilakukan bagi membangunkan perisian aplikasi untuk model pengiraan dinamik untuk perubahan berat badan yang lebih tepat.

Antara pautan perisian yang dibangunkan;
http://www.pbrc.edu/research-and-faculty/calculators/weight-loss-predictor/

muscle_vs_fat

Rujukan

Bozenraad O. Ueber den Wassergehalt des mnenschlichen Fettgewebes unter verschiedenen Bedingungen, Deutsch. Arch. f. klin. Med. 103: 120, 1911.

Forbes GB. Lean body mass-body fat interrelationships in humans. Nutrition reviews. 1987;45:225–231.

Forbes GB. Body fat content influences the body composition response to nutrition and exercise. Annals of the New York Academy of Sciences. 2000;904:359–365.

Hall KD. Body fat and fat-free mass inter-relationships: Forbes’s theory revisited. Bri J Nutr. 2007;97:1059–1063.

Hall KD. What is the required energy deficit per unit weight loss? Int J Obes (Lond). 2008 Mar;32(3):573-6. Epub 2007 Sep 11.

Livesey G, Elia M. Estimation of energy expenditure, net carbohydrate utilization, and net fat oxidation and synthesis by indirect calorimetry: evaluation of errors with special reference to the detailed composition of fuels. Am J Clin Nutr. 1988;47:608–628.

McArdle WD. Exercise physiology: energy, nutrition, and human performance. 4th edition edn. Williams & Wilkins; Baltimore: 1996.

Strang JM, Evans FA. The energy exchange in obesity. J. Clin. Investigation 6: 277, 1928.

Wishnofsky M. Caloric equivalents of gained or lost weight. Am J Clin Nutr. 1958 Sep-Oct;6(5):542-6.

“Health is a relationship between you and your body.”
-Terri Guillemets-

Akasa Bina

Akasa Bina atau nama sebenarnya Alif Syamim Syazwan Ramli merupakan seorang Terapis Senaman, Jurulatih Peribadi dan Pengamal Urutan Sukan atau Sport Massage yang diperakui. Bertindak sebagai Strength and Conditioning Coach untuk Team Zaki Khan, dan juga merupakan penulis kedua webblog Zaki Khan. Menjadi atlit sukan Pencak Silat dan juga sebahagian dari barisan atlit Strongman. Pernah menyertai latihan ketenteraan selama 3 tahun.

Disamping aktif dengan minat yang mendalam dalam bidang kesihatan dan kecergasan untuk tujuan membantu masyarakat di Malaysia dalam menuju ke arah kehidupan yang lebih sihat, beliau juga merupakan seorang penyelidik dan kini sedang meneruskan pengajian lanjutan di UPM dengan tumpuan kepada Aerodinamik dan Biomekanik (Avian). Banyak terlibat dalam konferens-konferens antarabangsa di dalam dan luar negara. Pernah menyertai projek antarabangsa di Aachen University of Applied Science, Aachen, Jerman pada tahun 2010.

Facebook Twitter