5 Punca Anda Tidak Semakin Kuat Oct01

Kongsi

5 Punca Anda Tidak Semakin Kuat

Menjadi kuat bukanlah perkara asing dan susah lagi. Ramai yang mula gemar dengan sukan keringat fizikal, samada bina badan, strongmanpowerlifting, dan lain-lain. Fokus pada latihan gerakan kompaun, gunakan prinsip lebihan bebanan (overload), pastikan pengambilan kalori harian mencukupi dan anda akan dapat nampak hasil.

Aiman Radzi - 5 Punca Anda Tidak Semakin Kuat

Tapi mengapa masih ramai yang gagal untuk menambahkan lagi kekuatan mereka? Selain daripada plateau, ada lagi faktor-faktor lain yang mungkin anda terlepas pandang. Teliti 5 punca yang boleh mengganggu perjalanan anda untuk menjadi lifter yang hebat:

NASC 2015

1- Otot Teras Tidak Kuat

Otot teras (ataupun core) yang lemah selalu menjadi penyebab utama mengapa anda selalu gagal untuk mengangkat lebih bebanan. Hal ini sangat jelas dilihat dalam pergerakan besar yang utama seperti squat dan deadlift. Oleh sebab otot teras memberikan kestabilan pada tulang belakang anda dengan meningkatkan tekanan intra-abdominal, kekuatan core bukan sekadar untuk menguatkan angkatan anda tetapi untuk keselamatan diri sewaktu berlatih.

Penyelesaian:

  • Kuatkan core anda. Rujuk entri 4 Latihan Menguatkan Core untuk panduan latihan!
  • Banyakkan senaman kompaun.
  • Elakkan penggunaan tali pinggang sepanjang masa.
  • Perbaiki form dan bracing anda dalam perlaksanaan senaman.

2- Frekuensi Latihan Terlalu Kerap

Rehat adalah saqtu komponen penting dalam latihan. Tanggapan salah orang ramai ialah apabila mereka berlatih lebih banyak, maka hasilnya juga lebih cepat dan lebih baik. Pemikiran ini tidak boleh diaplikasikan di semua tempat, terutama dalam latihan kekuatan. Latihan yang terlalu kerap dengan intensiti tinggi hanya akan menjadikan badan anda lemau jika rehat yang anda dapat sangat kurang. Apabila beban anda gunakan semakin hampir kepada peratus 1-rep maksima, frekuensi latihan intensiti tinggi dengan senaman tersebut harus dikurang untuk memberikan badan anda peluang berehat (terutama sistem saraf anda).

Penyelesaian:

  • Dengar cakap badan. Rehat jika perlu.
  • Fokus pada misi untuk menjadi kuat. Jangan keliru dengan cara hipertropi!

Frekuensi Latihan

3- Isipadu Latihan Yang Sangat Tinggi

Isipadu (volume) latihan memang penting untuk memastikan hasil yang progresif, dan tidak disangkal bahawa anda perlu naikkan volume latihan anda untuk menjamin hasil yang berterusan. Masalahnya timbul apabila anda menggunakan intensiti tinggi seiring dengan volume gaya bina badan. Ini akan bercanggah dengan destinasi akhir anda. Sama seperti frekuensi, volume yang terlalu tinggi akan memakan diri jika digabungkan dengan intensiti berat. Sistem saraf anda akan jadi lemah, dan berkemungkinan besar anda turut akan membakar lebih banyak otot daripada membinanya!

Penyelesaian:

  • Pembikinan sistem latihan harus teliti dalam gabungan frekuensi dan isipadu yang bersesuaian.
  • Anda masih boleh dapatkan volume bina badan, tetapi perlukan modifikasi.
  • Sentiasa fokus pada target anda untuk satu-satu masa, jadi kuat atau bina otot?

4- Pemakanan

Kalori adalah unit tenaga dan setiap benda kita makan ada nilai kalorinya tersendiri. Seperti kereta yang memerlukan minyak untuk bergerak, anda perlukan makanan sebagai sumber tenaga untuk berfungsi. Jika minyak kereta hampir habis, anda akan mula pandu lebih perlahan untuk mengurangkan pembakaran minyak sambil mencari stesen yang berhampiran. Badan anda juga menjadi lemah jika anda tidak memberikannya pemakanan yang mencukupi. Waktu makan turut memainkan peranan besar dalam memastikan bekalan tenaga untuk latihan.

Penyelesaian:

  • Tingkatkan pengambilan kalori harian anda. Cuba tingkatkan sebanyak 500kcal dahulu.
  • Ujikaji dengan waktu anda makan. 1 jam sebelum latihan memberikan hasil yang memberansangkan untuk diri saya.
  • Jangan risau jika anda naik berat sedikit, tapi jangan pula naik terlalu tinggi dalam masa singkat!

5- Halangan Mental

Untuk mengangkat beban berat, anda perlukan kekuatan fizikal (semestinya) dan mental. Latihan kekuatan bukan sahaja meletihkan badan tetapi minda dan jiwa anda. Terlalu ramai yang kecundang dalam latihan kekuatan kerana physical demand yang sangat tinggi. Pemikiran positif adalah kunci utama dalam kejayaan, dan dalam hal ini, sebelum-sewaktu-selepas latihan.

Halangan Mental

Sebuah kajian menunjukkan satu kumpulan atlit yang menggunakan satu produk istimewa mendapat hasil latihan yang lebih baik berbanding satu lagi kumpulan yang tidak menggunakan apa-apa. Anda tahu apakah produk tersebut? Hanya tablet ubat yang diperbuat daripada air, tiada bahan lain! Inilah yang dipanggil placebo effect dan ia membuktikan minda anda boleh menjadi penghalang atau pemandu ke arah kejayaan.

Penyelesaian:

  • Sentiasa visualkan kejayaan sesi latihan anda sebelum anda masuk ke gym lagi.
  • Fokus sewaktu latihan dan kurangkan penggunaan telefon bimbit.
  • Pulang ke rumah dengan rasa puas hati walaupun anda penat berlatih.
  • Selalu mulakan angkatan dengan bismillah.

Perjalanan untuk menjadi hebat bukan sehari dua. Sedangkan bayi nak belajar berjalan pun makan masa setahun, inikan pula nak deadlift 300kg! Apa yang penting adalah kesabaran, konsistensi latihan, dan semangat juang serta tidak mudah mengalah. Selamat berjaya!

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook YouTube  

iklan ebook   ds ads   iklan disini