5 Sebab Anda Patut Ambil Creatine Oct19

Kongsi

5 Sebab Anda Patut Ambil Creatine

Creatine ialah sejenis makanan tambahan yang dikira sangat efektif dan mesra-kos bagi mereka yang ingin meningkatkan jisim otot serta tahap kekuatan mereka. Walaupun creatine semakin dikenali dan digunakan kebanyakan atlit, ramai lagi  orang awam yang risau akan kegunaan dan kesannya terhadap badan.

Kelebihan Creatine

Kajian tentang kesan creatine terhadap atlit-atlit, profesional mahupun atlit rekreasi, telah lama diterbitkan. Jelas terbukti melalui terbitan kajian-kajian ini bahawa creatine sangat berkesan dalam menghasilkan peningkatan saiz badan dan kadar penjanaan kuasa. Tetapi, ramai hanya menyangka penggunaan supplement ini hanyalah untuk para atlit bina badan mahupun sukan angkat berat. Hakikatnya, kenyataan begitu tidak benar kerana creatine mampu memanfaatkan semua orang!

Lihat lima sebab di bawah yang menerangkan kelebihan penggunaan creatine terhadap diri anda, meskipun anda tidak membina badan:

NASC 2015

1- Meningkatkan Prestasi Aerobik

Biarpun ramai yang menyatakan bahawa penggunaan creatine hanya sesuai untuk mereka yang inginkan saiz badan besar, ia juga amat sesuai digunakan oleh atlit-atlit atau mereka yang gemarkan sukan endurance seperti berbasikal, berenang, mendaki bukit, dan lain-lain! Benar, penggunaan creatine terbukti meningkatkan kebolehan untuk menambah jisim otot, penjanaan tenaga dan kuasa, memperbaiki komposisi badan, serta menambahkan isipadu latihan. Ada satu lagi kelebihan yang mungkin ramai terlepas pandang iaitu peningkatan kadar penyimpanan glikogen dalam sel otot badan.

Meningkatkan Prestasi Aerobik

Creatine menaikkan kadar penyimpanan air dan penyerapan glikogen. Bermakna, dengan penggunaan bahan ini, anda telah meningkatkan tangki tenaga anda yang boleh digunakan untuk menambahkan kadar prestasi anda, samada waktu latihan mahupun waktu bertanding! Kajian dari Louisiana State University menemukan peningkatan kandungan glikogen setinggi 53% lebih daripada biasa apabila atlit mula menggunakan creatine lima hari sebelum protokol carb-loading.

2- Membantu Dalam Pemulihan Selepas Latihan

Kajian yang diterbitkan oleh Life Sciences menyatakan bahawa atlit yang menggunakan creatine dalam regim latihan mereka mengalami kadar keradangan yang jauh lebih rendah berbanding mereka yang tidak ditambah dengan bahan ini. Kesakitan otot yang datang daripada latihan intensif turut berkurangan dan lebih cepat pulih. Ini membenarkan para atlit tersebut untuk berlatih dengan prestasi yang lebih tinggi untuk sesi latihan mereka yang seterusnya!

Membantu Dalam Pemulihan Selepas Latihan

Peningkatan penyerapan air dan glikogen membenarkan lebih banyak nutrien untuk dibawa masuk ke dalam sel-sel badan. Seperti mana yang kita tahu, badan kita memerlukan pengisian nutrien yang mantap untuk dibaik pulih. Apabila anda menggunakan creatine, secara tidak langsung anda membantu fasa pemulihan anda daripada sesi latihan serta menjamin prestasi yang lebih baik untuk latihan yang lain.

3- Meningkatkan Ketumpatan Tulang

Tulang merupakan rangka ataupun tiang dalam badan anda. Seperti bangunan yang memerlukan tiang, anda juga memerlukan tulang yang kuat untuk memastikan anda sentiasa berdiri kukuh! Malangnya, ramai memandang enteng akan isu kesihatan tulang, terutama mereka yang masih muda tetapi sibuk berkerja tanpa mengamalkan gaya hidup yang sihat. Berita baik pula, tidak pernah terlambat untuk anda mulakan kembara untuk menguatkan integriti tulang anda.

Aiman Radzi - 5 Sebab Anda Patut Ambil Creatine

Osteoporosis (kerapuhan tulang) merupakan perkara yang sangat biasa dengar masa kini, dan kondisi ini telah menyebabkan berjuta-juta kes retakan serta kepatahan tulang di seluruh dunia, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang telah berumur lanjut. Untuk menyedarkan diri anda lagi, wanita lebih mudah untuk mendapat kondisi ini tetapi lelaki mempunyai kadar kematian lebih tinggi selepas mengalami kepatahan pinggul. Pukul sama rata, kita perlu lebih waspada dengan kesihatan diri kita!

Cara meningkatkan ketumpatan tulang adalah sangat mudah iaitu dengan bersenam menggunakan rintangan beban. Latihan hipertropi dan latihan kekuatan sangat berkesan untuk menjaga kesihatan tulang (dengan syarat anda menggunakan teknik latihan yang betul). Penggunaan creatine pula memberi anda peluang untuk mengaut kelebihan latihan ke tahap maksimum!

Golongan Veteran dan Bina Badan

Apabila anda meningkatkan jisim otot rangka anda, apa yang berlaku ialah anda menambah tekanan mikro pada tulang. Tekanan ini memaksa tulang anda untuk menjadi lebih kuat supaya sistem rangka anda dapat menampung ketumpatan rangka baru yang anda sedang bina. Maksudnya, untuk mempunyai tulang yang kuat, anda perlukan badan yang cergas, berotot, dan sentiasa aktif.

4- Meningkatkan Metabolisme Glukosa

Antara penyakit yang banyak menyerang rakyat Malaysia ialah penyakit kencing manis. Apabila badan anda tidak dapat menjalankan fungsi insulin dengan baik, tahap glukosa dalam darah akan meningkat. Sepatutnya glukosa ini digunakan oleh sel-sel badan anda sebagai tenaga tetapi akibat daripada kerosakan receptor insulin atau pankreas sendiri, glukosa berlegar-legar dalam saluran darah.

Senaman dan pengawalan gaya pemakanan merupakan cara terbaik dalam mengawal, menangani, dan mengelak daripada penyakit ini. Kajian yang diterbitkan oleh Medicine and Science in Sports and Exercise menemukan peningkatan kadar pengawalan glukosa yang amat memberangsangkan apabila pesakit kencing manis menggabungkan regim latihan mereka bersama penggunaan creatine. Kajian ini menyinarkan satu cahaya baru dalam kaedah rawatan penyakit diabetes.

Creatine Mengawal Glukosa

Creatine sebenarnya meningkatkan konsentrasi GLUT-4, iaitu sejenis protein yang mengangkut glukosa ke dalam dan ke luar sel otot anda. Konsentrasi serum GLUT-4 yang lebih tinggi bermakna kadar tindakan insulin yang lebih baik. Glukosa dapat diserap ke tangki-tangki yang sepatutnya untuk digunakan oleh badan sepanjang masa dan ini menurunkan tahap glukosa dalam darah!

5- Menambahbaik Prestasi Otak

Otak anda turut menggunakan creatine phosphate (PCr) sebagai sumber tenaga seperti otot-otot anda ketika berkerja. Sebagaimana otot anda keletihan selepas berlatih di gym, otak anda turut akan jadi penat apabila melalui situasi-situasi dengan tekanan tinggi. Ini termasuk mereka yang masih belajar, berkerja, mahupun yang hanya menjadi suri rumah. Menambah penggunaan creatine dalam kehidupan seharian anda bukan sahaja memberikan hasil latihan yang lebih baik malah meningkatkan tenaga dan prestasi otak!

Terdapat juga kajian yang mengatakan bahawa mereka yang menggunakan creatine mampu menurunkan kadar keletihan mental dan meningkatkan penggunaan oksigen dalam otak. Gunakan bahan ini dengan baik dan anda akan dapati diri anda semakin hebat, fizikal dan mental!

Creatine untuk Orang Kuat

Kini, creatine semakin luas dipergunakan dalam bidang perubatan. Antara fungsi baru bahan ini ialah kesannya dalam merawat penyakit-penyakit neurologi seperti penyakit Parkinson, Huntington, ALS dan Alzheimer. Senarai kebaikan penggunaan creatine terus berkembang dari hari ke hari. Soalannya kini, mengapa anda masih tidak mengambil creatine?

Rujukan:

  1. Nelson, A. G., Arnall, D. A., Kokkonen, J., Day, R., & Evans, J. (2001). Muscle glycogen supercompensation is enhanced by prior creatine supplementation. Medicine and Science in Sports and Exercise, 33(7), 1096-1100.
  2. Santos, R. V. T., Bassit, R. A., Caperuto, E. C., & Rosa, L. C. (2004). The effect of creatine supplementation upon inflammatory and muscle soreness markers after a 30km race. Life Sciences, 75(16), 1917-1924.
  3. Center, J. R., Nguyen, T. V., Schneider, D., Sambrook, P. N., & Eisman, J. A. (1999). Mortality after all major types of osteoporotic fracture in men and women: an observational study. The Lancet, 353(9156), 878-882.
  4. Chilibeck, P.D., Chrusch, M.J., Chad, K.E., Shawn Davison, K., & Burke, D.G. (2005). Creatine monohydrate and resistance training increase bone mineral content and density in older men. Journal of Nutrition Health and Aging, 9(5), 352-3.
  5. Gualano, B., de Salles Painneli, V., Roschel, H., Artioli, G. G., Junior, M. N., Lucia de Sa Pinto, A., … & Lancha, A. H. J. (2011). Creatine in type 2 diabetes: a randomized, double-blind, placebo-controlled trial. Medicine and Science in Sports and Exercise, 43(5), 770-778.
  6. Gualano, B., Novaes, R. B., Artioli, G. G., Freire, T. O., Coelho, D. F., Scagliusi, F. B., … & Lancha Jr, A. H. (2008). Effects of creatine supplementation on glucose tolerance and insulin sensitivity in sedentary healthy males undergoing aerobic training. Amino Acids, 34(2), 245-250.
  7. Dechent, P., Pouwels, P. J. W., Wilken, B., Hanefeld, F., & Frahm, J. (1999). Increase of total creatine in human brain after oral supplementation of creatine-monohydrate. American Journal of Physiology-Regulatory, Integrative and Comparative Physiology, 277(3), R698-R704.
  8. Watanabe, A., Kato, N., & Kato, T. (2002). Effects of creatine on mental fatigue and cerebral hemoglobin oxygenation. Neuroscience Research, 42(4), 279-285.
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook YouTube  

iklan ebook   ds ads   iklan disini