7 Manfaat Squat Yang Anda Perlu Tahu Sep14

Kongsi

7 Manfaat Squat Yang Anda Perlu Tahu

Pergerakan squat merupakan pergerakan semula jadi dan harus dilatih untuk memastikan tubuh badan yang sihat. Senaman ini bukan sekadar dilakukan untuk mendapatkan bahagian bawah badan yang cantik, malah ia dilakukan demi menjaga kualiti kehidupan anda.

Aiman Radzi - 7 Manfaat Squat yang Anda Perlu Tahu

Squat turut mendapat reputasi sebagai raja dalam senaman! Melaksanakan pergerakan ini bukan sedakar memerlukan kekuatan fizikal, ketahanan mental turut memainkan peranan besar untuk memastikan anda sentiasa fokus, apatah lagi apabila anda ada beban mencecah ratusan kilo di atas bahu anda. Tidak hairan mengapa kebanyakan squat rack di pusat-pusat kecergasan hanya mengumpul debu-debu habuk!

Squat menawarkan banyak manfaat, dan sudah pasti manfaat ini datang dengan cabaran hebat! Hasil yang anda akan peroleh menjadikan cabaran tersebut berbaloi dilalui, dan inilah sebabnya…

NASC 2015

1- Senaman membina otot dan kekuatan yang efektif

Merupakan manfaat yang paling jelas tapi harus diperjelaskan dan ditekankan lagi! Squat membenarkan anda untuk mengendalikan bebanan yang tinggi kerana penglibatan otot-otot dari seluruh badan. Ini menjadikan senaman squat satu senaman yang sangat berkesan dalam pembinaan saiz otot dan meningkatkan kekuatan. Ramai yang telah bina kaki mereka dengan sangat baik menggunakan senaman ini sahaja!

Jika anda bercadang untuk tingkatkan kekuatan dalam pergerakan ini, pastikan anda letak senaman ini di awal-awal sesi latihan anda. Gunakan skema-rep rendah untuk fokus pada penjanaan kuasa dan pengaktifan gentian otot secara serentak.

squat-membina-otot-dan-kekuatan

2- Mengurangkan risiko kecederaan

Semua pasti bersetuju apabila saya kata yang mencegah itu lebih baik dari merawat. Maka, squat merupakan langkah pencegahan yang anda harus ambil untuk memastikan kesihatan sendi-sendi anda pada masa hadapan. Kenyataan yang squat berbahaya pada lutut merupakan fakta salah, malah jika dilakukan dengan betul, squat membantu menguatkan struktur-struktur di sekeliling sendi engsel tersebut!

Jika anda tiada masalah yang menghindari diri anda daripada melakukan squat, maka tidak mesti tidak anda perlu belajar untuk kuasai senaman ini mulai sekarang! Rujuk juga entri Squat Belakang vs Squat Hadapan untuk ketahui tentang perbezaan dan kesan variasi squat ini.

3- Meningkatkan kekuatan otot teras

Otot teras ataupun core merupakan bahagian yang paling penting dalam memastikan keselamatan tubuh badan anda apabila melakukan sesuatu senaman, hatta apa-apa pergerakan sekali pun. Otot teras yang lemah hanya mengundang pada risiko kecederaan yang boleh membuatkan diri anda bersara dari dunia kecergasan. Rujuk entri Otot Teras untuk ketahui lebih lanjut!

Squat Menguatkan Core

Sepanjang pergerakan squat, otot-otot teras anda dipaksa untuk bekerja keras demi menjaga tulang belakang anda supaya sentiasa berada dalam keadaan neutral. Core yang kuat turut membantu dalam perlaksanaan senaman-senaman kompaun yang lain seperti bench press dan deadlift.

4- Menguatkan lompatan menegak

Mereka yang gemar bersukan seperti bola sepak, badminton, dan bola keranjang pasti memerlukan jarak lompatan menegak yang tinggi. Samada untuk menanduk bola ke dalam gol, melakukan pukulan smash ke pihak lawan, atau melakukan slam-dunk, memperoleh kemampuan untuk melompat tinggi pasti memberikan anda kelebihan dalam bersukan disebalik memukau penonton-penonton dan rakan sepasukan anda!

5- Menambahkan kelajuan dalam larian pecut

Sama dengan kebolehan untuk melompat tinggi, senaman squat turut melatih anda supaya anda dapat menjana kuasa yang tinggi daripada kaki anda! Jika dilihat pada pembentukan otot-otot kaki pada atlit-atlit antarabangsa, ia jelas membuktikan bahawa otot kaki yang besar serta kuat sangat berperanan dalam menghasilkan prestasi terbaik dan latihan squat semestinya membantu! Tidak mungkin Usain Bolt dapat mencipta rekod dunia dengan saiz peha sebesar 18 inci sahaja.

Tingkatkan Kelajuan Berlari

6- Meningkatkan mobiliti dan fleksibiliti

Pergerakan dalam julat yang penuh bukan sahaja memberi lebih stimulasi pada gentian otot kaki, malah ia turut membantu dalam meningkatkan fleksibiliti secara keseluruhan. Mobiliti pada pergerakan buku lali, lutut, pinggul, dan pinggang turut mendapat kesan yang baik daripada senaman ini. Mobiliti dan fleksibiliti bukan sekadar untuk bersenam dan bersukan, tetapi untuk prestasi kerja harian dan sangat penting untuk memastikan kesihatan jangka masa lama.

Masa kini, ramai yang tidak boleh duduk bercangkung dek kerana masalah fleksibiliti dan mobiliti yang datang daripada cara mereka beraktiviti atau melakukan kerja. Perhatian diberikan pada mereka yang duduk bekerja di hadapan meja selama 8 jam sehari. Jika anda merupakan deskjob worker, anda harus lebih berhati-hati dan mula ambil tindakan segera untuk memperbaiki gaya hidup anda.

7- Membina kekuatan mental

Ramai yang menyangkakan bersenam hanya melatih fizikal mereka supaya menjadi kuat dan sihat. Mereka tidak pandang dunia kecergasan sebagai satu gaya hidup. Maksud saya, mereka tidak menterjemahkan apa yang mereka lakukan sewaktu bersenam ke dalam kehidupan harian.

Membina Ketahanan Mental

Squat tidak diragui merupakan senaman yang sangat memenatkan dan susah. Jika anda sering lakukan senaman ini dengan intensiti tinggi, anda paham apa maksud saya! Pandang senaman ini sebagai satu pengajaran hidup. Beban (pemberat dan juga stress hidup) yang berada di atas anda sentiasa akan cuba untuk menurunkan dan menjatuhkan anda, maka anda harus berusaha habis-habisan untuk menolak kembali bebanan tersebut supaya anda dapat berdiri gah semula! Sekurang-kurangnya, itulah cara saya berfikir dengan senaman dan latihan kekuatan.

Jadi, jika anda sememangnya mampu untuk squat, maka mulalah dari sekarang. Jika senarai manfat ini tidak memotivasikan diri anda untuk menjadi lebih baik, saya tidak tahu apa lagi yang mampu untuk menaikkan semangat anda!

Rujukan:

http://seannal.com/articles/training/benefits-of-squats.php

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook YouTube  

iklan ebook   ds ads   iklan disini