Analisa? Mar23

Kongsi

Analisa?

Sebagai seorang terapi senaman, saya suka mengkaji di mana salah silap dalam sesuatu program. Saya cuba senaraikan beberapa kesalahan biasa:

1. Air Isotonik

Saya sering lihat mereka yang berhajat untuk kuruskan badan atau mungkin mendapatkan bentuk, bila masuk gym, ada yang minum sampai 4 tin air 100 plus. Jadi apa gunanya latihan yang dibuat? yang menyasarkan bakar lemak? bila glukosa dalam darah dibakar, ada lagi pertambahan. Jadi latihan yang dibuat hanya membakar kalori dari 100 plus atau air isotonik yang sewaktu dengannya. Silap-silap, disimpan lagi sebagai lemak kerana berlebihan. Perlu diingatkan air isotonik tetap gula. Jika berhajat untuk kuruskan badan, cuba elakkan ketika latihan dan jika rasa memerlukan, ambillah sedikit selepas latihan, atau untuk kes-kes tertentu seperti tiba-tiba berdepan dengan masalah hipoglisemia ke, atau lain-lain. Begitu jika semasa membesarkan badan, jika tidak perlu elakkan gula segera yang banyak secara tiba-tiba.

2. Berlatih Seperti Profesional

Saya pernah terbaca dalam majalah bina badan, ‘to become like a pro, you have to train like a pro‘. Ada bahagian yang benar tetapi kebanyakan yang baca dalam majalah ini rasanya ada yang baru berlatih dua minggu, baru berlatih dua bulan dengan asas pada badan pun belum ada. Kebanyakan apa yang dibaca dalam majalah tidak boleh diambil terus. Perlu diingatkan kebanyakan majalah adalah majalah promosi produk. Mereka memerlukan artikel-artikel yang menarik untuk menarik perhatian pembeli. Jadi keluarlah tajuk seperti ‘8 minutes abs‘, ‘6 way to burn fat easily‘ dan tajuk-tajuk lain yang dirasakan menarik. Nasihat saya, jika hendak beli majalah, boleh, tengok lah gambar di dalam majalah tersebut untuk membakar semangat tetapi berhati-hati memilih latihan dan lain-lain. Kuatkan asas dahulu. Lihat muka Orang Baru, Sistem Latihan.

3. Tidak Cukup Makan

Ramai yang selama ini rasanya tidak sedar dirinya gemuk. Tetiba nak kahwen 3 bulan lagi, baru sedar, ‘eh aku ni gemuk, kena diet ni’. Mulalah aktiviti diet, pagi tak makan sarapan, tengahari makan buah sebiji, malam tak makan. Rasanya itu kes yang paling teruk. Saya pernah berdepan dengan orang yang sampai tahap tekanan jiwa disebabkan gemuk sampai tahap taknak keluar rumah, taknak makan apa-apa, kalau dibiarkan mungkin sampai tahap akan potong lemak itu pakai pisau. Seperti yang selalu saya ingatkan, jangan tinggal satu menu. Makan kerap dengan jumlah yang cukup dari segi karbohidrat, protein dan lemak. Jangan takut makan malam. Bila mengelakkan menu, badan akan cecah tahap craving dan akan catabolisme. Otot akan dibakar dan bukannya lemak. Bila otot dibakar, metabolisme badan akan menurun. Rujuk laman Pelan Pemakanan, Diet Sihat.

4. Bila Tiada Perubahan

Bila tiada perubahan dalam satu jangka masa panjang, ramai yang tidak mengkaji di mana salah silap. Sebagai contoh, bench press, kenapa hanya boleh angkat 1 keping besar sedangkan mungkin sudah setahun. Dimana kelemahan? Otot dada? bahu? triceps? rotator? Tahukah dengan latihan rotator mampu meningkatkan kekuatan bench press. Atau mungkin selama ini latih dada tapi tidak rasa di dada. Adakah anda melakukan perubahan pada sudut bench press untuk betul-betul rasa di dada? Saya akan cuba masukkan topik latihan pada masa akan datang.

5. Taksub Dengan Latihan

Ada sekumpulan orang, suka betul berlatih berjam-jam. Kekadang tu ada yang sampai 5 jam. Serius. Jika tak percaya, cuba ke pusat-pusat kecergasan di sekitar Kuala Lumpur. Dari sudut pemikiran, sekumpulan ini berpendapat lagi lama mereka berlatih, lagi cepat nampak hasil. Dulu saya ingat lagi, cikgu ajar di sekolah supaya study smart bukan study hard. Sama juga dalam latihan, train smart. Rujuk muka Tikus Gym. Carilah kehidupan di luar. :p

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube