BMI: Bukan Lagi Kayu Ukur Tepat Oct04

Kongsi

BMI: Bukan Lagi Kayu Ukur Tepat

Body Mass Index (BMI) sering kali dijadikan sebagai bahan rujukan dalam menentukan tahap kesihatan seseorang individu. Kiraannya adalah berdasarkan ketinggian dan berat badan. Semua orang boleh gunakan cara pengiraan ini, tapi adakah ia tepat? Kajian dari University of California (UCLA) menyatakan bahawa BMI mempunyai nilai cacat-cela tersendiri dan para doktor harus menggunakan cara-cara alternatif untuk menilai kadar berat badan sihat.

Ukuran Lapisan Kulit

Pengiraan BMI membahagikan jenis berat badan kepada empat kategori:

  1. Underweight (dengan skor rendah daripada 18.5)
  2. Normal (dengan skor antara 18.5 ke 24.9)
  3. Overweight (dengan skor antara 25 ke 25.9)
  4. Obese (dengan skor 30 dan ke atas)

Skor diperoleh dengan formula berikut:

Kiraan BMI

Kiraan dengan formula ini tidak memperimbangkan berat tulang individu, jisim otot, pecahan-pecahan lemak, dan lain-lain. Apa akan yang berlaku ialah mereka yang berbadan sasa dan berotot pasti berada dalam kedudukan yang lebih tinggi (skor mencecah tahap obesiti). Ini akan mengelirukan pandangan orang awam kerana jisim otot adalah lebih berat berbanding lemak disebabkan ketumpatannya yang lebih tinggi. Seorang atlit angkat berat dengan tinggi 160cm dengan berat badan 70kg pasti akan nampak lebih cergas dan sihat berbanding dengan individu yang mempunyai karakteristik fizikal yang sama tetapi hanya duduk di hadapan komputer bermain permainan video!

Berat Otot vs. Berat Lemak

Jadi, apakah cara lain untuk mengukur tahap kesihatan melalui berat badan? Jika BMI sudah dikatakan tidak tepat, pasti ada cara lain untuk menggantikannya. Banyak alternatif lain yang boleh digunakan – samada di rumah ataupun di pusat-pusat kecergasan mahupun hospital dengan alat-alat canggih kini. Kalau anda mahukan satu ukuran yang lebih baik untuk dijadikan panduan, apa kata anda gunakan cara-cara ini:

NASC 2015

1- Skin Calipers

Alat berupa playar ini tidaklah mahal dan mampu dimiliki (atau patut dimiliki?) oleh setiap individu yang bergiat aktif dalam dunia kecergasan, ataupun mereka yang peka dengan tahap kesihatan diri. Alat ini digunakan untuk mengepit dan mengukur lapisan kulit di bahagian-bahagian tertentu. Ada yang menggunakan 4 bahagian, ada pula yang mengambil kira dari 7 bahagian. Ketepatan ukuran ini bergantung pada pengalaman dan pengetahuan pengukur.

Cara Guna Skin Calipers

2- Waist-to-Hip Ratio

Purata nisbah ukuran pinggang-ke-pinggul menggunakan ukur lilit pinggang dan bahagian pinggul. Nisbah ini seharusnya kurang daripada 1. Anda juga boleh ambil ukur lilit pinggang anda sahaja dan gunakan ukuran itu sebagai panduan anda. Untuk dikira sihat, ukur lilit pinggang seharusnya lebih rendah daripada separuh ketinggian anda. Menurut Centers for Disease Control and Prevention, pengumpulan lemak berlebihan di bahagian perut mungkin boleh meningkatkan risiko penyakit kencing manis, darah tinggi, dan penyakit jantung.

Nisbah Pinggang-ke-Pinggul

3- Bioelectrical Impedance Scale

Namanya sahaja rumit, tetapi alatnya selalu kita lihat iaitu alat penimbang berserta ukuran lemak. Ada yang dipijak, ada yang dipegang. Alat-alat ini boleh dibeli dari farmasi, secara atas talian, di taman-taman awam oleh sukarelawan kecergasan, di hospital-hospital, mahupun di pusat membeli-belah. Penimbang ini berfungsi dengan cara menghantar impuls elektrik kecil ke seluruh badan, dan lapisan lemak diukur melalui kecepatan impuls ini bergerak. Lapisan lemak melambatkan pergerakan arus elektrik, berbeza dengan jisim otot yang merupakan konduktor elektrik yang baik.

Alat Bioelectrical Impedance Scale

Mengamalkan gaya hidup sihat adalah satu nikmat dan bukannya seksaan. Sebab itu jugalah kita disarankan untuk menjadikan aktiviti kecergasan sebagai gaya hidup, bukannya gaya bermusim. Jagalah kesihatan untuk masa depan anda. Mulakan langkah anda, sekarang!

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook YouTube  

iklan ebook   ds ads   iklan disini