Jurulatih Kecergasan Jan12

Kongsi

Jurulatih Kecergasan

Disini saya rangkumkan jurulatih peribadi, jurulatih gymnasium, jurulatih senamrobik dalam satu perkataan iaitu jurulatih kecergasan. Kesemuanya terlibat dalam bidang kecergasan.Bagaimana menjadi seorang jurulatih kecergasan? Sebenarnya di Malaysia agak mudah jika ingin menjadi seorang jurulatih kecergasaan disebabkan masih kurang kepakaran dan saingan dalam bidang ini, siapa saja boleh jadi. Jika di gym komersial, sesiapa yang pandai buat jualan sudah dikira layak berkerja sebagai jurulatih kecergasan kerana gym-gym komersial ini lebih mementingkan jualan pakej jurulatih peribadi mereka. Dalam masa yang sama, pernah tak anda lihat, seseorang yang sangat gemuk, perut mencecah 36 bulan bersalin, lagi teruk dari 9 bulan bersalin menjadi seorang jurulatih senamrobik. Atau mungkin pernah lihat seseorang yang kita sekali tengok pun rasa macam dia tak pernah bersenam tapi menjadi jurulatih kecergasan. Rasanya siapa bergiat dalam bidang kecergasan tahu kut siapa-siapa yang saya katakan. :D. Adakah itu imej dan kualiti jurulatih kecergasan di Malaysia?

Peluang kerjaya? Adakah jurulatih kecergasan diperlukan? Dengan pertambahan gym-gym komersial, pusat kecergasan, gymnasium rakyat, studio-studio senamrobik, lebih banyak jurulatih diperlukan. Sebagai seorang jurulatih kecergasan, limit bukan sahaja di gymnasium atau studio-studio senamrobik tetapi juga boleh bekerja bebas. Kita ada sekitar 14 juta rakyat berumur 18-60 dan jika kita ambil 1 peratus berkemampuan untuk membayar pakej jurulatih peribadi, pun ada sekitar 140 ribu orang. Kalau 1 jurulatih ambil 10 orang, kita perlukan 14 ribu jurulatih. Adakah cukup jurulatih kecergasaan di Malaysia? Jika dicampur jurulatih bertauliah dengan tidak bertauliah pun rasanya masih tidak mencukupi.

NASC 2015

Berapa pendapatan seorang jurulatih kecergasan? Mungkin ada yang memandang remeh kerjaya seorang jurulatih kecergasan. Pernah seorang wanita bekerjaya memandang saya sebelah mata sahaja disebabkan memikirkan gaji seorang jurulatih kecergasan ini rendah. Jika bekerja di gym-gym komersial boleh dapat gaji pokok sekitar 1 ribu ke 2 ribu sebulan. Purata pendapatan untuk seorang jurulatih kecergasan ‘biasa’ sekitar 3 ribu hingga 5 ribu sebulan, dan jangan terkejut jika ada jurulatih yang dapat gaji sekitar 15 ribu ke 20 ribu sebulan atau mungkin lebih. :D. Masih belum terlambat untuk mencuba.

Tentukan Samada Anda Layak
Jurulatih kecergasan perlu memiliki banyak kemahiran. Seorang jurulatih kecergasan perlu pandai menganalisa, sabar dalam melayan karenah pelanggannya, saya pernah melayan pelbagai jenis pelanggan, ada yang sampai tahap bawa kamus arnold schwarzenegger ke dalam gym nak tunjuk latihan dia betul.:D. Jurulatih kecergasan juga perlu pandai merancang dan diri sendiri juga perlu terancang, bagaimana seorang jurulatih yang kehidupan tidak terurus nak menguruskan orang lain. Seorang jurulatih kecergasan juga perlu menjadi seorang motivator yang baik dalam memberi semangat kepada pelanggannya. Yang paling penting seorang jurulatih kecergasan perlu menjadi pendengar yang baik. Kekadang itu, bukan setakat cerita pasal latihan je, sampai cerita pasal kehidupan pun diselitkan. Tidak semestinya badan perlu kelihatan sebagai seorang ahli bina badan. Cuma perlulah menjadi contoh untuk memotivator kan orang lain. Janganlah seperti yang saya kata tadi, perut 10 kali lagi besar dari pelanggan, pelanggan pun fikir 100 kali, ‘betul ke orang ini boleh kuruskan aku ni?’

Kelayakan
Dapatkan kelayakan sekurang-kurang satu sijil yang mengiktifkan anda sebagai seorang jurulatih kecergasan. Banyak organisasi yang terlibat dalam mengiktirafkan jurulatih kecergasan di Malaysia. Antaranya Federation of International Sports, Aerobics and Fitness (FISAF), American Council of Exercise (ACE), American College of Sports Medicine (ACSM), National Association of Fitness Instructor (NAFI) di Malaysia, malah kerajaan kita sendiri ada menyediakan kursus-kursus jurulatih di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kursus kejurulatihan sains sukan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan lain-lain. Jika ingin mendapatkan pengiktirafan daripada NAFI, boleh hubungi saya. Saya akan ajukan pada pihak berkenaan. Pilih suatu organisasi yang diakui secara nasional dan terakreditasi. Bayaran purata untuk melengkapi semua sehingga ke peringkat master dalam sekitar rm4000.

FISAF
ACE
ACSM
MSN

Pertolongan Cemas
Dapatkan sijil Cardio Pulpomonary Resuscitation (CPR) atau Pertolongan Cemas. Boleh ambil di hospital-hospital yang menawarkan seperti St John Ambulance of Malaysia dan lain-lain. Terdapat juga jabatan-jabatan swasta yang menyediakan kursus pertolongan cemas yang diluluskan. Zaki Khan juga menawarkan tetapi berdasarkan jumlah peserta minimum. Kenapa perlu pertolongan cemas? Sering kali saya lihat bila terjadi kecederaan di gymnasium, para jurulatih tak tahu nak buat apa. Pernah terjadi kes di salah satu gym komersial di Malaysia, bila seorang jatuh dari treadmill disebabkan masalah jantung, jurulatih yang berada di sana boleh pulak menggunakan alat kejutan elektrik untuk menyedarkan pelanggan itu dan menyebabkan jantung meletup dan mati di tempat kejadian. Rasanya ramai tahu pasal kes ini. Perlu diingatkan bahawa jika sesuatu di luar kerja kita, jangan buat. Saya sendiri pun tak faham bagaimana gym tersebut boleh menyimpan alat tersebut di gym.

St John Ambulance

Kepakaran
Mungkin di Malaysia masih kurang keperluan disebabkan pasaran yang belum kompetitif, tetapi bersedialah awal. Lengkapkan profil diri dengan kepakaran khusus dalam sesuatu bidang seperti jurulatih untuk ibu mengandung, jurulatih untuk warga emas, jurulatih untuk kanak-kanak, jurulatih untuk sakit-sakit tertentu dan lain-lain. Mendapatkan suatu kepakaran bererti anda mempunyai sesuatu yang lain untuk ditawarkan berbanding jurulatih yang lain.

Pasarkan Diri
Naikkan nama, konsepnya seperti menjual produk, anda perlu memperkenal produk tersebut pada orang ramai. Kenalkanlah diri anda kepada umum. Antara cara mudah boleh melalui facebook, forum-forum, kad perniagaan, laman web bahkan menghadiri sesuatu majlis keramaian seperti kursus, pertandingan dan lain-lain.

Tingkatkan Pengetahuan
Melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Jika di Amerika, untuk menjadi seorang jurulatih kecergasan sekurang-kurangnya kena mempunyai ijazah disebabkan saingan yang tinggi di sana. Di Malaysia mungkin ambil masa dalam 5 tahun lagi sebelum persaingan menjadi sengit di mana kita perlukan sesuatu yang hebat untuk menonjolkan diri kita. Antara ijazah yang berkaitan seperti

ijazah sains sukan
ijazah fisiologi sukan
ijazah psikologi
ijazah fisioterapi
ijazah nutrisi
ijazah pengurusan sukan

Jika ingin menjadi seorang jurulatih yang berpengetahuan tentang nutrisi boleh mengambil ijazah pemakanan. Jika ingin menjadi seorang terapi senaman, boleh mengambil ijazah fisioterapi. Dan pelbagai lagi yang berkaitan. Paling tidak pun, banyakkan membaca supaya tidak ketinggalan. Ada jurulatih saya lihat mengajar pengajaran 20 tahun lepas yang mana sudah tidak diguna pakai dalam sistem latihan kita lagi. :D. Banyakkan membaca tentang anatomi, biomekanik, psikologi, fisiologi, nutrisi dan lain-lain yang berkaitan termasuk berita-berita sukan dan semasa. Kenapa perlu tahu berita sukan? Jika kita diberi tugas untuk melatih seorang atlet bola sepak, janganlah kita kata Mokhtar Dahri masih bermain. Nampak sangat pengetahuan kita pasal sukan itu hampir tiada.:D

Mesra Pelanggan
Untuk berjaya dalam bidang ini, memerlukan kerja, bakat, kemahiran dan pengalaman. Walaupun tidak mendapat pelanggan lagi, tapi cubalah luangkan masa bersama mereka-mereka di gymnasium, jika boleh, beri mereka tunjuk ajar secara percuma. Tujuannya adalah untuk menimba pengalaman. Seseorang tidak akan terus pandai mengajar, pengalaman mengajar kita menjadi mahir dalam sesuatu.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube 

iklan ebook   ds ads   iklan disini