Kaca Mata: Malaysia’s Strongman Record Day Nov09

Kongsi

Kaca Mata: Malaysia’s Strongman Record Day

Pertandingan Malaysia’s Strongman Record Day telah berlalu pada 24 September 2016 yang lepas. Ia merupakan pertandingan strongman pertama saya di sini dan saya berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori U80 (kategori bawah 80kg dengan berat badan 70.6kg pada waktu itu). Ramai peserta yang hebat-hebat dari seluruh negara (malah ada yang datang dari Singapura) turun untuk bertanding! Pemenang bagi setiap kategori berpeluang untuk bertanding dalam acara Asia Pacific Strongman Championship 2016 yang diadakan di Singapura!

malaysia-strongman-record-day

Antara acara-acara yang telah dipertandingkan adalah seperti berikut:

  1. Log Press (Last Man Standing)
  2. Farmer’s Walk (10m)
  3. Axle Deadlift (3 attempts)

Sepatutnya ada satu lagi acara menarik iaitu Yoke Walk (10m) tapi disebabkan wujudnya beberapa masalah teknikal, acara tersebut terpaksa ditangguhkan dahulu untuk pertandingan ini. Tidak mengapa, itu hanyalah sebagai petanda bahawa kita berpeluang untuk memperkuatkan lagi teknik dan tahap kekuatan bagi pertandingan yang seterusnya!

Oleh sebab ini merupakan pertandingan pertama dan pengalaman sulung bertanding sebagai atlit strongman, pastinya ia merupakan satu detik yang menggerunkan tetapi seronok! Jujurnya, selepas melihat senarai nama atlit yang akan bertanding dalam kategori yang sama, saya ingin menarik diri tapi pegangan teguh saya pada kata-kata Zaki Khan membuatkan saya lebih berani.

“Lawan tetap lawan!”

NASC 2015

1- Persediaan Sebelum Bertanding

Untuk 3-4 hari sebelum hari acara dilangsungkan, saya berhenti daripada sebarang latihan. Saya hentikan sesi latihan saya dengan latihan kaki – fokus diberi pada front squat 125kg untuk beberapa ulangan sahaja.  Malangnya, ia agak mengganggu prestasi saya sewaktu bertanding kerana sejurus selepas selesainya acara farmer’s walk, kaki saya ibaratkan agar-agar. Saya rasakan, sampai di sini sahaja perjuangan saya. Tetapi, apabila tiba acara yang seterusnya, saya kuatkan semangat untuk berjuang. Akhirnya, saya masih berjaya untuk deadlift 200kg!

Kalau ada perkara yang saya boleh ubah sewaktu masa rehat 3-4 hari tersebut, saya akan:

  1. Rehat satu hari lebih lama.
  2. Berlatih dengan 1 rep sahaja (90%-95% dariapda 1RM) untuk beberapa set.
  3. Pergi mengurut untuk redakan sebarang tegangan fizikal dan mental.

2- Pemakanan Waktu Bertanding

Saya berjaya naikkan berat badan dalam 4-5 kg untuk tempoh persediaan pertandingan tersebut. Sebelum saya mendaftar sebagai peserta, berat saya hanyalah 65-66kg sahaja. Sesi latihan pertama saya adalah di Bangi Avenue bersama Zaki Khan. Pada masa itu juga, saya turut berasa ingin mengalah kerana prestasi latihan saya waktu itu amatlah mengecewakan! Kegagalan dalam beberapa rutin di sana menyebabkan saya rasa tidak mampu untuk menghabiskan sebarang acara waktu bertanding kelak.

Latihan di Bangi Avenue

Selepas pulih daripada kecederaan waktu berlatih bersama Zaki Khan, saya kembali dengan latihan asal saya dan mula makan lebih sedikit (kerana sebelum mendaftar, saya kira saya berada dalam fasa cutting). Tidak dijangka bahawa saya akan naik sehingga 70kg pada hari bertanding!

Malam sehari sebelum hari pertandingan, saya makan begitu banyak sekali. Saya rasa, ada juga memakan burger dan pizza sebagai syarat untuk loading bagi memberikan tenaga pada hari berikutnya. Menjelang pagi, saya mempersiapkan sarapan oat dan beberapa minuman istimewa saya (kopi susu khas kegemaran saya). Oat merupakan makanan rendah GI dan ia membantu untuk mencernakan makanan-makanan yang telah diambil pada malam sebelum pagi memberikan energy surge atau lonjakan tenaga berkadar sewaktu saya beraksi. Saya juga membeli beberapa tin minuman tenaga sebagai bekal.

1- Log Press (Last Man Standing)

Log press adalah acara yang seakan-akan senaman military press atau dikenali juga sebagai standing overhead press (OHP). Perbezaannya adalah pada cara pegangan bar dan badan bar itu sendiri. Kalau berlatih di gym, kita berlatih menggunakan barbell yang panjang dan lurus. Log press dilakukan dengan satu alat istimewa (jika perasan, semua acara strongman menggunakan alat istimewa yang tidak terdapat di gym-gym biasa) yang mempunyai badan yang besar dan luas (bergantung pada diameter). Angkatannya juga berbeza dengan barbell kerana proses clean kedua-dua senaman ini amatlah berbeza!

Aiman - Log Press 80kg

Anda dibernarkan untuk menghenjut beban tersebut, tapi anda masih memerlukan tahap kekuatan tricep, bahu, dan dada yang tinggi untuk menghabiskan pergerakan tersebut. Oleh itu, saya rasa untuk pertandingan seterusnya, saya akan:

  • Banyakkan senaman untuk memperkuatkan press (otot yang disebutkan tadi).
  • Memperkuatkan bicep untuk memudahkan log clean.
  • Mengukuhkan form sewaktu melakukan OHP.
  • Melebihkan strict pressing sewaktu berlatih.
  • Membengkokkan badan dengan lebih darjah sewaktu melakukan log press.

Selepas memerhati beberapa atlit lain dan mengkaji beberapa teknik yang digunakan atlit luar negara, saya dapati yang gerakan ini bukan sekadar OHP, tetapi boleh dikira sebagai incline press yang lebih banyak merekrut otot-otot dada. Sebab itu kita lihat ramai yang sememangnya membongkok ke belakang seperti hendak jatuh!

2- Farmer’s Walk (10m)

Acara ini memerlukan saya untuk habiskan jarak 10m dalam masa 60 saat. 10 meter bukanlah jarak yang jauh, dan 60 saat pula bukanlah masa yang singkat sebenarnya. Tetapi, apabila anda berhadapan dengan situasi tegang dan keletihan (tambahan lagi dengan cuaca panas), semuanya kelihatan seperti sukar! Minimum beban untuk kategori kami ialah 90kg sebelah tangan. amat ngeri pada waktu mencuba peralatan kerana alat yang digunakan sewaktu berlatih tidak sama beban dengan alat bertanding. 90kg tersebut terasa amatlah berat – dada saya seperti hendak meletup waktu mula-mula angkat sebagai percubaan.

Aiman - Farmers Walk 110kg

Tetapi sebelum acara bermula, kami dibenarkan untuk mencuba sekali lagi untuk menetapkan berat beban yang hendak digunakan. Akhirnya, saya memutuskan untuk guna 110kg sebelah tangan. Dengan penggunaan kapur dan tali pinggang, ia amat membantu untuk “meringankan” beban tersebut. Farmer’s walk bukan sekadar menguji kekuatan cengkaman, malahan kebolehan anda untuk bergerak dengan beban tersebut! Jadi, saya rasa ini yang patut saya lakukan (dan akan perbaiki lagi):

  • Menggunakan kapur yang lebih baik (kapur saya gunakan hari itu sangan licin).
  • Berlatih kekuatan cengkaman mulai sekarang dan kurangkan penggunaan strap.
  • Melebihkan senaman lunges dan step-up untuk skill bergerak.

Tangan saya tidak koyak selepas acara ini (berbanding waktu berlatih dahulu), jadi itu adalah satu nikmat dan kepuasan hati untuk saya! Cuma, kaki saya sahaja yang menjadi tersangat lemak selepas 20-30 minit habis acara ini. Berkemungkinan besar berpunca daripada sesi suqat terakhir saya yang lepas.

3- Axle Deadlift (3 attempts)

Ini hanyalah acara deadlift siapa yang paling berat dengan menggunakan bar yang istimewa – lebih tebal daripada biasa! Anda dibenarkan menggunakan strap, tiada masalah. Saya gunakan strap, kapur, tali pinggang, dan kekuatan hati. Tayar yang digunakan adalah merupakan tayar kereta MyVi (berdasarkan maklumat daripada penganjur) dan ini menaikkan ketinggian bar. Apabila bar lebih tinggi, ia akan mengurangkan jarak dan keperluan tenaga untuk menghabiskan angkatan (sangat berguna untuk orang rendah seperti saya).

Aiman - Axle Deadlift 200kg

Tiada apa yang istimewa, siapa yang paling kuat, dia menang! Saya turut berasakan yang saya mampu mengangkat 220kg, jika saya diberikan masa lagi dua minggu untuk berlatih. Tiga nasihat saya untuk mereka yang ingin kuat dalam pergerakan deadlift:

  • Kuatkan core melalui senaman kompaun.
  • Kuatkan kaki dengan senaman front squat.
  • Kuatkan cengakaman untuk melajukan lift off.

Saya ucapkan tahniah kepada smua atlit yang berjaya menghabiskan acara-acara pada hari tersebut. Anda semua adalah pemenang di mata saya! Jangan mudah mengalah dan terus berlatih untuk menjadi kuat. Kekalahan hanyalah pengajaran buat kita semua. Mengalah adalah perkara yang berbeza! Jika anda rasa ada perkara yang boleh diubah dan boleh membantu atlit-atlit lain menjadi lebih baik, apa kata anda kongsikan dalam ruangan komen di bawah?

Kita jumpa lagi pada acara-acara yang akan datang! Jangan lupa tegur kalau kita bersua nanti.

Aiman - Tempat Ketiga U80

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook YouTube  

iklan ebook   ds ads   iklan disini