Latihan: Anda Suka Hardcore Atau Strategik? Feb10

Kongsi

Latihan: Anda Suka Hardcore Atau Strategik?

Siapa peminat sukan bina badan dan masih belum tonton filem Pumping Iron dan Generation Iron, saya cadangkan anda cari jalan untuk tonton filem-filem tersebut! Sungguh menginspirasikan… saya tidak tahu berapa kali saya sudah menonton dan mengulangi cerita itu.

Tapi, bukan itu yang saya nak ceritakan sebenarnya. Ada dua atlit bina badan dalam Generation Iron yang saya suka lihat pertelagahan mereka. Seorang berlatih dengan cara hardcore dan seorang lagi berlatih dengan bantuan pengkaji-pengkaji sains berkaitan bina badan.

Jadi, saya terfikir, cara mana yang lebih baik untuk dilakukan?

Apa Maksud Hardcore/Strategik?

Setiap orang mempunyai maksud yang berbeza-beza, tetapi mengikut pandangan saya (dan juga penelitian cara atlit dalam filem tersebut berlatih), saya memberi maksud;

Hardcore: Berlatih tanpa mengira form dan teknik tertentu. Memasang lagu kuat-kuat, melakukan banyak senaman kompaun, dan menggunakan intensiti tinggi. Tidak lupa juga kepada jeritan-jeritan kejantanan dan hempasan beban. Pendek maksud, latihan hardcore bertujuan untuk melunyaikan badan sehabis mungkin.

Strategik: Menggunakan pendekatan yang lebih teliti dan memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah bersebab yang sangat kukuh. Setiap senaman dan rasionalnya harus disokong kajian saintifik dengan hasil yang sudah pasti. Cara latihan lebih menjaga form dan teknik. Intensiti terkawal dengan isipadu yang cukup-cukup untuk menstimulasi tumbesaran otot.

Kelebihan-kelebihan Gaya Latihan

Umumnya, dari segi pembinaan otot mahupun pembakaran lemak, dua-duanya sama sahaja. Yang membezakan hanyalah perasaan dan kesukaan. Ada yang lebih suka berlatih cara hardcore kerana perasaan semangatnya yang merancakkan hormon testosterone, manakala ada yang lebih bersifat terkawal dan fokus hanya tertumpu pada diri sendiri dan latihannya.

Mungkin satu sahaja perbezaan yang boleh dikaitkan, itupun bukanlah secara tepat. Mereka yang berlatih secara hardcore lebih mudah cedera jika kerap berlatih berat-berat tanpa mengawal form dengan cekap. Kalau anda berlatih dengan bijak, anda dapat berlatih dengan lebih lama (kerana anda merendahkan risiko kecederaan!). Tetapi, dengan pemikiran strategik sahaja, kadang-kadang motivasi susah juga hendak naik, dan plateau pun boleh jadi sukar untuk dipecahkan (??).

Aiman Radzi - Latihan: Anda Suka Hardcore Atau Strategik?

Cuba Tanya 3 Soalan Ini

Ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk mengenal pasti samada anda lebih cenderung ke arah latihan hardcore ataupun berstrategi. Lihat:

1- Naluri

Apabila waktu lapang, anda lebih suka yang mana; 1) menonton video latihan-latihan dalam laman YouTube yang membuatkan bulu roma anda sendiri meremang dan anda tidak habis-habis berkata “fuhh..” ataupun “pehh..” 2) membaca artikel-artikel saintifik dan kajian-kajian terbaru tentang latihan-latihan yang panjang berjela?

2- Tahap Kesakitan Selepas Latihan

Selepas selesai latihan, adakah anda akan berasa sakit (DOMS) untuk dua-tiga hari, ataupun tiada sebarang kesan selepas latihan? DOMS hanya bermaksud otot anda mendapat stimulasi yang lebih daripada biasa, tetapi tiada DOMS bukan bermaksud anda tidak berlatih dengan baik. Mungkin sekali anda berlatih dengan bijak dan mengelakkan daripada sakit supaya dapat berlatih lagi nanti. Atau… mungkin juga anda tidak berlatih dengan bersungguh-sungguh?

3- Perancangan

Adakah anda jenis yang suka merancang dengan teliti latihan-latihan dan mula resah apabila salah satu sesi latihan anda tidak mengikut perancangan tersebut? Ada juga yang jenis gelabah selepas gagal menggunakan berat atau menghabiskan rep yang telah ditetapkan, seperti sudah akhir masa dunia. Tetapi, ada juga yang datang ke gym tanpa sebarang perancangan. Hanya ada satu niat sahaja di hati, iaitu untuk menghentam besi secukup-cukupnya.

Anda Yang Mana Satu?

Saya rasa anda boleh teka sendiri anda jenis macam mana selepas menjawab soalan-soalan tadi. Sekarang, jangan terlalu bergantung pada jenis latihan itu sahaja, tetapi cari satu sweet spot untuk anda berlatih iaitu dengan penggabungan kedua-dua cara.

Berlatih hardcore terlalu lama boleh memenatkan badan dan meninggikan risiko, hanya bergantung pada kajian dan melakukan senaman dengan form yang sangat strict juga boleh jadi membosankan. Apa kata anda berada di tengah-tengah? Anda yang kena tentukan sendiri samada anda lebih pada mana, kemudian rendahkan ego supaya anda dapat belajar menggunakan cara latihan yang lagi satu lagi. Gabungkan kedua-dua dan lihat hasil yang ia akan berikan kepada anda!

Rujukan:

  1. Staley C. (March 2014), Training Hard vs. Training Smart, T-Nation, [accessed online] https://www.t-nation.com/powerful-words/training-hard-vs-training-smart [accessed on 10 February 2017].
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube