Makanan Untuk Prestasi Otak Apr21

Kongsi

Makanan Untuk Prestasi Otak

Aiman Radzi - Makanan Untuk Prestasi Otak

Dunia kecergasan dan kesihatan bukan sekadar bersembang tentang cara untuk membina otot, cara membakar lemak paling pantas, cara mendapatkan six-pack yang rapi. Kita turut membincangkan tentang prestasi kelesuruhan badan, termasuklah kesihatan otak kita.

Otak kita berfungsi sepanjang masa. Ia menghantar isyarat-isyarat ke seluruh badan supaya badan kita dapat terus berkerja. Otak adalah pusat kawalan tubuh manusia. Sebab itu, kecederaan otak boleh menyebabkan bahagian-bahagian badan gagal berfungsi. Selain daripada mengawal sistem fisiologi badan, otak turut berfungsi untuk tujuan-tujuan kognitif. Berfikir, emosi,  ingatan, semuanya dalam otak kita.

Degenerasi otak boleh berlaku dalam mana-mana golongan manusia tetapi kebiasaannya kerap berlaku dalam kalangan warga emas yang berumur mencecah lebih daripada 65 tahun. Ingatan mula kabur, skil-skil kehidupan turut merosot, hatta ada yang sampai tidak mampu berbicara lagi kerana “terlupa” bahasa. Ini adalah satu kondisi kesihatan di mana prestasi otak semakin berkurangan kerana faktor umur dan lain-lain. Dukacita dimaklumkan, tidak semestinya warga tua sahaja yang boleh terkena kondisi seperti ini.

Kursus Kecergasan 2017

Buah Berry Sebagai Inisiatif

Dunia sains dan para pengkaji telah lama melaburkan masa bagi mencari penyelesaian kepada masalah-masalah ini. Mereka mencari ubat untuk penyakit Alzheimer, dementia, dan macam-macam lagi kondisi degenerasi otak. Setahu saya setakat ini, belum betul-betul ada lagi satu jenis ubat yang memulihkan 100% masalah tersebut. Tetapi, para saintis menjumpai alternatif-alternatif lain bagi mempertingkatkan prestasi otak.

Kajian selama 12 minggu telah dijalankan bagi mengkaji kesan jus blueberry yang pekat ke atas prestasi kognitif otak. Peserta kajian ini dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan diberikan 30ml jus buah tersebut dan satu kumpulan lagi diberikan placebo sahaja. Apa yang mereka dapati adalah kumpulan yang meminum jus tersebut telah berjaya meningkatkan pengaktifan otak yang terlibat dengan fungsi kognitif!

Banyak kajian telah dibuat menggunakan jus buah-buah berry yang lain dan ia turut dilakukan dalam semua komponen sesebuah masyarakat. Maksudnya, kajian sebegini bukan sahaja dijalankan ke atas orang yang sudah berumur sahaja, malah kanak-kanak di bawah umur 10 tahun turut menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Apa Kelebihan Buah Berry?

Buah berry dipercayai mampu memberi kesan peningkatan prestasi kognitif yang pelbagai dalam kesemua lapisan masyarakat. Daya ingatan didapati bertambah kuat dalam kalangan kanan-kanan dan orang tua manakala kebolehan untuk memproses informasi menjadi semakin mantap dalam kalangan remaja dan belia. Para saintis mengatakan yang buah berry mampu melawan keradangan otak.

Kebanayakan kajian telah menyatakan, bahan antioksida dalam buah-buahan tersebut mempunyai sifat anti-keradangan yang mampu meningkatkan isyarat dan perhubungan saraf otak. Pengkaji-pengkaji juga mempercayai yang buah berry adalah sangat bagus untuk kesihatan kerana kemampuan mereka untuk meningkatkan metabolisme glukosa dalam badan.

Rujukan:

Erick Avila, 15 April 2017, Tip: The Food That Improves Your Thinking, T-Nation

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube