Patah Tak Tumbuh, Hilang Tak Berganti Jan13

Kongsi

Patah Tak Tumbuh, Hilang Tak Berganti

Saya rasa ramai dah tahu tentang penularan video yang menunjukkan seorang laki yang sedang deadlift dan dilampirkan juga sekeping gambar di sebelah video tersebut “x-ray” yang menggambarkan pematahan tulang belakang kepada dua.

Video Patah Tulang Belakang 2

Pertama sekali, kejadian begini sering berlaku, di mana individu didapati terjatuh selepas melakukan deadlift. Walaupun begitu, kes sehingga patah tulang belakang sebenarnya berkemungkinan besar adalah palsu. Disebabkan penularan video ini, ramai yang mula takut untuk melakukan antara senaman terbaik yang boleh dilakukan untuk menguatkan belakang dan seluruh badan.

NASC 2017

Apa Yang Berlaku Sebenarnya?

Di dalam video tersebut, lelaki itu sedang mengangkat bebanan yang saya rasa menghampiri 180kg (anggaran sahaja), selepas habis lock-out, lelaki tersebut terus melepas deadlift dan kelihatan terhuyung-hayang untuk beberapa saat. Kemudian, beliau terus jatuh dan rusuk kanannya terhantuk bebanan yang berada di tanah.

Video Patah Tulang Belakang

Gambar tulang belakang yang patah itu sebenarnya tiada kaitan langsung dengan video lelaki ini. Berkemungkinan juga, x-ray tersebut adalah milik mangsa lain yang mengalami kecederaan melalui insiden yang 100% berbeza, jika tidak, ianya adalah hasil photoshop. Tidak mungkin lelaki ini menerima kecederaan seperti yang digambarkan. Kalau tercedera tulang belakang pun, kemungkinan besar hanyalah prolapsed intervertebral disc (kita sebut slipped disc).

Kenapa Lelaki Tersebut Jatuh?

Yang kerap berlaku apabila seseorang itu mencuba angkatan maksima adalah kekurangan bekalan oksigen kepada otak. Kekurangan ini berlaku daripada penahanan nafas yang terlalu lama ketika angkatan. Teknik menahan nafas ini dipanggil Valsava maneuvre.

Sukan angkat berat memang perlu menggunakan teknik ini dengan baik dan cekap. Andaikan seseorang tidak mahir dengan teknik menahan nafas, kejadian pitam seperti dalam video itulah yang akan terjadi. Walaupun begitu, semamngnya terlalu biasa kita lihat orang yang pitam selepas angkat berat. Tidak bermakna, saya suruh anda berlatih sampai pitam setiap kali deadlift.

Pakar Ortopedik, Dr. Mahyuddin, telah menerangkan dalam laman Facebook beliau, yang Valsava maneuvre mempunyai 4 peringkat. Dan, pada peringkat kedua iaitu daripada saat ke-5 hingga ke saat 14, tekanan dalam dada yang semakin tinggi menyebabkan peredaran darah daripada seluruh badan kurang ke jantung. Apabila darah kurang kembali ke jantung, maka kurang jugalah jumlah darah yang dipam jantung ke seluruh badan, dan ini termasuk ke organ otak kita.

Syncopal Attack Hasil Valsava Maneuvre

Maksud syncopal attack adalah hilang kesedaran untuk seketika kerana  kekurangan bekalan darah kepada otak. Dengan kata lain, syncope bermaksud pengsan.

Selepas ini, jika anda berasa pening-pening atau seperti mahu pengsang, buat begini:

  1. Jangan terus kekal berdiri. Cari tempat untuk duduk atau baring.
  2. Kalau boleh duduk, letakkan kepala anda di antara kedua-dua lutut.
  3. Apabila anda ingin bangun semula, bangun perlahan-lahan.

Kalau anda terlihat orang pengsan di gym, baringkan mangsa menghadap siling, longgarkan pakaian-pakaian yang ketat (mungkin boleh menghalang pernafasan atau pengudaraan), tinggikan kaki dalam 12 inci daripada tanah untuk memudahkan pengaliran darah kepada otak dan jantung. Jangan lupa dapatkan bantuan dengan kadar segera!

Bagaimana Hendak Guna Valsava Maneuvre?

Ada beberapa perkara yang anda perlu ingat apabila menggunakan teknik ini dalam deadlift, dan anda sebenarnya perlu guna untuk keselamatan diri:

  1. Tarik nafas dalam-dalam sebelum angkat.
  2. Jangan sekadar tahan nafas, keraskan juga perut (ini sangat penting).
  3. Hembus nafas perlahan-lahan selepas sticking point (biasanya lepas lutut).
  4. Ambil nafas sedikt jika perlu selepas lock-out sebelum menurunkan beban semula.
  5. Ulang proses untuk rep seterusnya.

Ramai yang kurang reti teknik ini kerana terlalu awal mengharapkan pada penggunaan tali pinggang. Tolong faham, tali pinggang bukan penyelamat tulang belakang anda. Tetapi, penggunaan teknik pernafasan dan postur deadlift yang betullah yang perlu diutamakan. Tali pinggang bertujuan untuk meningkatkan intra-abdominal pressure, tetapi belajar untuk gunakan “tali pinggang” semula jadi anda, iaitu otot perut (lebih spesifik, otot transverse abdominals).

Tahan Nafas Dalam Squat

Latih menggunakan beban ringan dahulu supaya anda dapat teknik yang betul, postur dan pernafasan. Jangan selalu mencuba-cuba untuk bermain 1RM kalau anda tiada sebarang matlamat atau sistem latihan yang betul. Cukup untuk anda berlatih dalam julat 5-6 rep untuk 4-5 set dahulu.

Bina kekuatan otot teras, bina teknik yang mantap, barulah risaukan tentang penggunaan tali pinggang. Sebaliknya, ramai yang berbuat begini, kemudian menyalahkan deadlift atas sakit pinggang mereka:

  1. Tidak menarik nafas secukupnya sebelum mula.
  2. Postur yang terlampau membongkok
  3. Menghenjut beban.
  4. Pernafasan salah sepanjang angkatan.
  5. Bergantung sepenuhnya kepada tali pinggang.
  6. Tidak mengamalkan sistem latihan kekuatan.

Tahan Nafas Dalam Deadlift

Saya berharap semua jangan risau dengan deadlift. Jika anda individu yang sihat tanpa sebarang masalah kesihatan, maka latihlah deadlift secara berhikmah. Dapatkan bantuan daripada yang mahir, tetapi jangan takut untuk mencuba. Belajar, dan amal!

Rujuk entri Otot Teras4 Latihan Menguatkan Core dan 13 Sebab Kenapa Deadlift untuk mempersiapkan lagi diri anda dengan ilmu ke arah menjadi individu lebih kuat dan hebat.

Rujukan:

  1. Dr. Mahyuddin, https://www.facebook.com/drmahyuddin?pnref=story
  2. MNT, http://www.medicalnewstoday.com
Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook Twitter YouTube  

iklan ebook   ds ads   iklan disini