Pening, Loya Ketika Bersenam May22

Kongsi

Pening, Loya Ketika Bersenam

Rasa nak muntah atau loya ketika bersenam? Apa sebabnya? Terdapat beberapa kemungkinan. Antaranya seperti;

1. Bersenam Perut Kosong

Jika anda bersenam dengan perut kosong, terutama selepas bangun tidur, anda berkemungkinan rasa loya atau nak pitam. Ini adalah kerana badan anda rendah nutrisi dan tenaga yang diperlukan untuk melakukan aktiviti tersebut. Jika karbohidrat terlalu rendah, badan akan menggunakan otot dan lemak sebagai tenaga. Apa kata cuba makan sedikit sebelum memulakan latihan. Jika anda menyasarkan bakar lemak, dapatkan sedikit makanan berprotein 30 hingga 60 minit sebelum bersenam.

2. Masa Makan

Masa makan tidak betul juga berkemungkinan menyebabkan rasa loya, pening dan nak muntah. Ada jenis karbohidrat yang cepat hadam, ada yang lambat hadam. Jika anda makan karbohidrat kompleks seperti nasi, pastikan masa makan sekitar 2 jam sebelum bersenam, bergantung pada metabolisme seseorang. Ada rasa mengantuk ketika bersenam? Ia mungkin disebabkan insulin dirembaskan pada masa yang tidak sepatutnya dan menyebabkan gula rendah dalam darah.

3. Kekurangan Cecair

Kesimbangan air dalam badan kita penting. Berpeluh menyebabkan air hilang daripada badan dan perlu digantikan balik. Minum air ketika bersenam. Air yang paling sesuai adalah air sejuk dengan suhu 2 hingga 4 darjah celsius. Air sejuk dan bukan air ais. Air panas menyebabkan air tersebut lambat turun ke usus dan berada di perut. Air diserap di usus dan bukannya di perut.

4. Tekanan Darah Tinggi

Pergerakan yang tertumpu pada satu bahagian mungkin menyebabkan rasa pening pada orang yang mengalami masalah tekanan darah tinggi. Bila kali terakhir anda periksa tekanan darah anda?

5. Tekanan Darah Rendah

Pergerakan laju, kurang rehat mungkin memberi masalah pada mereka yang mengalami tekanan darah rendah. Ambil masa anda untuk beralih daripada satu set senaman ke set berikutnya. Elakkan senaman yang perlu bangun dan duduk dalam masa cepat.

6. Pengumpulan Darah

Darah berkumpul di satu tempat pada senaman yang berat seperti squat, deadlift. Kurang darah beroksigen yang disalurkan ke otak ketika itu. Pastikan anda mengambil masa untuk pulih sebelum memulakan set seterusnya. Jangan duduk selepas squat. Berjalan berlahan untuk melancarkan kembali aliran darah atau baring dengan meninggikan kaki.

7. Anemia

Anemia adalah masalah disebabkan kekurangan zat besi. Kekurangan zat besi menyebabkan kekurangan sel darah merah atau kurang pembawa oksigen. Senaman berat mungkin menyebabkan oksigen lambat kembali ke otak.

8. Pernafasan

Teknik pernafasan tidak betul ketika bersenam jika mungkin menyebabkan rasa pening dan mual. Bernafas dengan cara yang betul boleh meningkatkan kapasiti paru-paru dan mengawal kadar denyutan jantung agar tidak terlalu tinggi.

9. Terlalu Banyak

Jika anda baru bersenam atau sudah lama meninggalkannya, mulakannya secara berperingkat. Jangan terlalu syok sehingga ingin melakukan semua dalam masa sehari. Tak pasal-pasal kena panggil ambulan datang nanti.

10. Masalah Lain

Terdapat beberapa kemungkinan lain seperti masalah jantung dan sebagainya. Dapatkan pemeriksaan doktor sebelum memulakan sesuatu aktiviti senaman itu jika perlu.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube