Periodisasi Jul26

Kongsi

Periodisasi

Periodisasi atau periodization adalah satu istilah yang digunapakai dalam merangka jadual sesuatu sukan atau rangka senaman. Sukan berlainan memerlukan periodasasi yang berbeza melainkan mempunyai gerak yang sama. Sebagai contoh, karate dan tomoi, badminton dan squash, yang mana boleh menggunakan periodisasi yang sama. Tetapi penyusunan periodisasi perlu bergantung pada pencapaian dan tahap individu juga. Tidak semestinya pemain A dan pemain B mempunyai keupayaan yang sama. Begitu juga dalam menyusun periodisasi dalam membentuk badan, samada dalam sukan bina badan, dalam program membakar lemak dan sebagainya. Sebagaimana yang dinyatakan dalam entri prinsip latihan, prinsip perbezaan individu.

Kursus Kecergasan 2017

Periodisasi adalah sangat benda bagi membangunkan atlet ke tahap yang lebih tinggi. Periodisasi dibahagikan kepada tempoh atau fasa yang berbeza. Dalam setiap fasa, sasarannya mungkin berlainan. Sebagai contoh dalam bina badan, ada dua fasa asas iaitu membesarkan badan (size), memotong (cut). Setiap fasa harus membawa atlet ke tahap yang disasarkan.

Pelan periodisasi asas biasanya dipecahkan kepada empat fasa. Tempoh masa setiap fasa bergantung kepada beberapa faktor seperti jarak pertandingan, mengambil kira pemulihan dan sebagainya. Pelan latihan dipecahkan kepada dua iaitu kitaran makro (macro cycle) dan kitaran mikro (micro cycle).

Fasa 1: Persediaan Fizikal Umum

Peringkat awal latihan adalah untuk menyediakan diri dari segi persediaan otot, sendi, sistem-sistem badan yang lain seperti sistem kardiovaskular, sistem saraf, sistem hormonal dan sebagainya untuk menerima latihan yang diberi. Persediaan fizikal adalah perlu untuk pemulihan, pengukuhan, membaik pulih kelemahan yang mungkin timbul disebabkan rehat atau dalam keadaan tanpa latihan juga bagi yang baru memulakan latihan. Latihan yang dilakukan banyak tetapi berintensiti rendah. Saya pernah masukkan entri sistem latihan sebelum ini dimana pada peringkat awal, perlu lakukan neuromuscular facilitation.

Sebagai contoh, bagi mereka yang belum pernah berlatih atau bersenam, melakukan bench press itu sesuatu yang baru. Jadi boleh dimulakan dengan bar kosong (jika mampu) dan hanya memahirkan pergerakan. Bagi perempuan mungkin agak sukar menggunakan bar olimpik yang mana beratnya 44 lbs, sekitar 20 kg, jadi boleh menggunakan dumbbell atau mesin (jika ada). Contoh lain, atlet bola keranjang yang mana boleh lakukan lontaran bola ke dinding. Atlet profesional boleh mencecah ratusan ribu lontaran untuk mencapai ketepatan balingan.

Atlet tahap tinggi biasanya mengambil masa yang singkat untuk fasa ini, begitu juga bagi mereka yang mengekalkan tahap kecergasan sepanjang tahun. Mereka yang baru mungkin mengambil masa yang lebih panjang bergantung pada benchmark atau tahap pencapaian yang ditetapkan atau disasarkan.

Fasa 2: Persediaan Fizikal Khusus

Latihan pengkhususan dimulakan apabila berakhir fasa persediaan umum. Latihan pada masa ini khusus kepada kemahiran sukan. Sebagai contoh, seorang perenang berlatih backstroke yang mana merupakan kemahiran khusus. Disamping kemahiran, latihan kekuatan juga diperlukan. Sebagai contoh, backstroke memerlukan kekuatan otot tangan, bahu, belakang dan dada, jadi latihan kekuatan ditumpukan di situ. Latihan kekuatan boleh dilakukan di gymnasium, menggunakan latihan rintangan tanpa peralatan seperti menggunakan rakan latihan (partner), dan sebagainya. Terdapat pelbagai jenis latihan kekuatan yang boleh dipelbagainya mengikut jenis sukan.

Fasa persediaan fizikal khusus ini adalah fasa yang sangat penting dalam pembangunan atlet. Fasa ini yang menjadi penentu perbezaan antara atlet dimana setiap negara cuba mencari yang terbaik untuk atlet mereka. China dengan sistem latihan nya tersendiri, Amerika dengan cara mereka dan sebagainya. Negara maju biasanya akan memiliki kajian dan pembangunan mereka sendiri.

Fasa 3: Pertandingan

Ketika fasa ini, penerapan lebih diberikan kepada perancangan strategi dan pembangunan psikologi. Ketika musim pertandingan, latihan lebih kepada untuk mengekalkan keupayaan dan prestasi. Setiap jenis sukan akan menumpukan latihan pada aspek berbeza. Sebagai contoh, sukan beladiri akan menumpukan pada latihan kuasa. Latihan juga diberi tidak keterluan untuk mengelak terlebih latihan (over training)

Fasa 4: Peralihan

Tidak kira sukan apa, atlet perlu melalui peringkat pemulihan dan persediaan untuk berehat. Semasa musim kompetitif, tekanan psikologi biasanya agak tinggi. Bayangkan apabila Dato Lee Chong Wei berdepan dengan Lin Dan. Pada masa rehat, minda juga perlu rehat dan bersedia menghadapi musim baru.

Kajian dan Pembangunan

Tiada penetapan jenis latihan yang terbaik untuk sesuai sukan. Sentiasa ada kajian yang dijalankan untuk mencari latihan dan cara terbaik. Jika latihan ‘A’ terbaik pada masa ini, mungkin 10 tahun akan datang ada latihan yang lebih baik. Malaysia pun ada pusat kajiannya di Institut Sukan Negara (ISN).

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube