Produk Pembakar Lemak Oct02

Kongsi

Produk Pembakar Lemak

Sejak akhir-akhir ini, saya tengok terlalu banyak produk fat burner di pasaran. Bila bercerita pasal diet, perkara pertama di tanya, ‘ko pakai fat burner apa?’. Jarang saya dengar, ‘macam mana ko diet?’. Pembakar lemak adalah ‘makanan tambahan’ yang direka untuk memberi tenaga tambahan yang membantu dalam proses membakar lemak. Mereka bukan pil ajaib yang mana telan terus kurus.

1. Diet Penting Dalam Proses Bakar Lemak

Salah satu kesilapan besar, ramai yang fikir bahawa dengan telan produk pembakar lemak, mereka tidak perlu jaga makan. Sebelum makan pizza telan pembakar lemak, sebelum makan kfc telan pembakar lemak dan sebagainya. Pembakar lemak tidak bekerja begitu. 80 hingga 90 peratus bergantung pada diet dan latihan. Mungkin sekitar 5 hingga 10 peratus sahaja daripada produk pembakar lemak.

Pembakar lemak bekerja dalam pelbagai cara seperti meningkatkan tenaga, membantu mengawal selera makan, menggalakkan lemak digunakan sebagai tenaga, membantu meningkatkan kadar metabolisme sementara, meningkatkan suhu dan seterusnya membantu meningkatkan pembakaran seharian. Pembakar lemak hanya membantu jika diet anda betul.

2. Harapan Terlalu Tinggi

Adakalanya, harapan terlalu tinggi diletakkan. Menyasarkan hilang 10 kg dalam masa seminggu. Dengan pelbagai kata-kata yang dijanjikan pada produk tersebut atau oleh penjualnya, menyebabkan semua bercita-cita mendapatkan 6 ketul di perut dalam masa yang sangat singkat. Kadar selamat pembakaran lemak adalah sekitar 1 hingga 3 lbs seminggu atau mungkin lebih sedikit bergantung pada faktor-faktor lain. Jika anda kehilangan berat yang terlalu cepat, ada kemungkinan anda kehilangan otot. Tetapkan sasaran yang munasabah.

3. Lebih Bukan Lebih Baik

Ada yang beranggapan, dos yang lebih menyebabkan lebih pembakaran. Saya pernah jumpa seorang yang ambil 4 botol pembakar lemak sebulan. Kalau ikut dosnya, patut boleh tahan sebulan tetapi dihabiskan dalam masa seminggu. Anda tidak akan kelihatan seperti model dalam masa seminggu bahkan akan menambah tekanan pada buah pinggang, hati, tambah dengupan jantung, tambah tekanan darah dan dalam masa sama akan menyebabkan badan menyesuaikan diri dengan dos diambil.

4. Terlalu Banyak Kafein

Ada juga yang mengambil pembakar lemak dan dalam masa sama minum terlalu banyak kopi. Kebanyakan produk pembakar lemak terdapat kandungan kafein begitu juga kopi. Kafein terlalu banyak akan memberi tenaga dan menambah kadar pembakaran lemak tetapi dalam masa sama, jika pemakanan tidak seimbang, anda akan cepat rasa lemah dan sukar untuk pulih selepas latihan. Tahukah anda, kafein menyekat selera makan? Sedangkan pengguna kafein memerlukan glukosa.

5. Ukur Keputusan

Bukan semua produk pembakar lemak sesuai dengan semua. Anda perlu menilai perubahan pada badan anda. Ada sesetengah orang bertindak balas dengan baik pada bahan-bahan tertentu dalam pembakar lemak, ada juga tidak.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube