Size? Cut? (Orang Baru) Dec01

Kongsi

Size? Cut? (Orang Baru)

Bila masa terbaik untuk besarkan badan (size)? Bila masa terbaik untuk potong (cut)? Bagaimana meletakkan sasaran? Rasanya ramai yang baru mula bersenam keliru, apabila ke gym, sasaran awal lain, tetapi ada pula yang beritahu, ‘ko ni tak cukup saiz ni’.

NASC 2015

Bagaimana yang dikatakan cukup saiz. Cuba tengok gambar di atas. Nampak agak besar dimana peratus lemak agak tinggi. Contoh ini menunjukkan seorang dengan peratus lemak sekitar 30 peratus. Adakah seeloknya besarkan badan dahulu atau terus kecilkan badan? Sebenarnya bergantung pada sasaran. Jika terus mengecilkan badan, mungkin akan mencecah saiz mengikut apa yang dilukis itu. Maknanya, boleh terus ke program bakar lemak.

TETAPI, ada beberapa masalah yang akan menyebabkan proses itu menjadi lambat. Masalah yang nyata adalah dari segi kekuatan. Saya selalu kata, jadikan 3 senaman ini sebagai pengukur, iaitu bench press, squat dan deadlift. Berapa berat boleh angkat, menentukan kekuatan asas untuk buat senaman yang lain. Pernah dengar konsep, lebih beban lebih otot. Bagi perempuan, mungkin mudah, yang mana kebanyakan di Malaysia takut untuk kelihatan bulky, jadi boleh terus ke program yang menyasarkan bakar lemak. Masalah kedua adalah daripada segi pemakanan. Biasanya ramai yang baru tidak dapat mengikut disiplin makanan yang sebenar. Jadi ada kemungkinan hilang otot. Jadi jika terus ke program potong, kemungkinan akan hilang banyak saiz.

Asas perodisasi senaman, mulakan dengan latihan kekuatan, kemudian ke hipertofi atau pembinaan otot dan seterusnya ke bakar lemak.

Kekuatan (power) > Hipertrofi > Bakar Lemak

Jika kata, perlu saiz, berapa besar? Tidak perlu buat saiz macam Pro seperti contoh dalam gambar, Lee Priest. Pertamanya, mereka dah pernah buat badan. Otot mereka dah ada ingatan untuk kembali ke tahap pertandingan. Jadi bukan satu masalah untuk memotong bagi mereka. Jika anda yang baru buat begitu, memang boleh besar, tetapi akan mengambil masa yang lama untuk potong dan kebiasaannya ramai yang akan kecewa awal dan berhenti.

Jadi seeloknya, untuk yang baru, cuba jaga peratus lemak dalam masa buat saiz. Jika peratus lemak melebihi 20 peratus, jaga makan dan latih bina otot. Apa yang saya tengok, kebanyakan bila mula dan diberitahu suruh besarkan badan, makan tak dijaga. Makan main bedal. Akhirnya besar juga, tetapi perut naik tak ingat dan hasilnya seolah-olah tidak nampak dan apabila tiba masa memotong, sama juga jadi kecil. Bila jaga peratus lemak, senang nak menyasarkan, adakah dah cukup saiz untuk potong? Dapat bayangkan bagaimana rupa badan tanpa lemak.

Bagaimana dengan mereka yang gemuk? Sama juga, ‘digalakkan’, buat senaman untuk otot dahulu dan dalam masa sama tambahkan latihan kardio. Bila otot meningkat, kadar metabolisme akan turut meningkat. Jika terus ke latihan bakar lemak. Boleh, tetapi kurang mendapat kebaikan daripada pertambahan otot. Dalam masa sama bina otot, jangan lupa jaga makan. Jika anda menggunakan sistem latihan dan pemakanan yang betul, percayalah penurunannya lebih cepat daripada terus tumpu pada latihan bakar lemak. Pilihan pada anda. Tak salah pilih terus ke program bakar lemak atau boleh gabungkan dengan latihan kardio.

Rujuk entri
Orang Baru
Sistem Latihan

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube 

iklan ebook   ds ads   iklan disini