Steroid Anabolik May16

Kongsi

Steroid Anabolik

Steroid anabolik atau anabolic androgenic steroid (AAS) seperti yang diketahui umum dikembangkan pada tahun 1930-an seperti yang diceritakan dalam entri sejarah dadah sukan sebelum ini adalah untuk mempromosikan pertumbuhan otot rangka dan untuk mengembangkan ciri-ciri seksual lelaki. Penggunaan steroid anabolik telah menjadi sesuatu yang umum di Malaysia lebih-lebih lagi untuk atlet binabadan, mereka yang bermain gym suka-suka, tidak kira lelaki dan perempuan tanpa mempedulikan lagi kesan sampingan. Pada mereka, yang penting badan cantik.

NASC 2015

Siapa Yang Menggunakan Steroid Anabolik?

Dadah sukan ini digunakan kerana kemampuan mereka untuk meningkatkan prestasi dengan meningkatkan otot dan penurunan lemak badan dengan cepat. Penggunaan steroid dalam sukan adalah menyalahi undang-undang untuk kebanyakan jenis sukan.

Kegunaan Perubatan

Steroid digunakan untuk mengubat tumbesaran yang lambat, beberapa jenis impotensi, penyakit-penyakit lain seperti beberapa jenis anemia, osteoporosis, mengurangkan penyebaran virus HIV dan sebagainya.

Penyalahgunaan Steroid

Steroid anabolik boleh diambil secara oral, melalui suntikan, krim dan juga gel. Dos yang dipreskrip doktor bergantung pada keadaan perubatan, tahap kesakitan dan usia pesakit. Dalam kes penyalahgunaan, dos yang digunakan melebihi 10 kali, bahkan ada 100 kali lebih tinggi dari dos yang dicadangkan.

Dua atau lebih steroid anabolik sering digunakan. Cara penggunaan ini disebut ‘stack’. Interaksi dua atau lebih steroid menghasilkan keputusan yang lebih baik berbanding satu jenis. Ada jenis susunan piramid yang digunakan dalam jangka masa 6 hingga 12 minggu atau mungkin lebih. Susunan piramid dimulakan dengan dos yang kecil dan meningkat ke puncak lalu turun kembali. Selepas habis kitaran ada tempoh rehat. Tujuan sistem piramid ini adalah untuk membenarkan badan menyesuaikan diri dan mengelakkan kesan sampingan sehingga badan dapat kembali kepada pengeluaran normal hormon. Seperti diketahui umum, penyalahgunaan steroid boleh mempengaruhi produksi hormon badan.

Kesan Sampingan

Pada umumnya steroid anabolik yang diambil secara oral mempunyai kesan sampingan lebih dan yang mengandungi 17-alky mempunyai kesan sampingan yang lebih teruk. Beberapa kesan sampingan dapat dibalikkan tetapi beberapa boleh menyebabkan kerosakan kekal.

Steroid Anabolik dan Kerosakan Hati

Penyelidikan telah menunjukkan penggunaan steroid boleh memberi kesan serius pada hati. Steroid anabolik mengurangkan fungsi hati ekskretoris terutama pada steroid yang mengandungi 17-alky. Hati boleh menderita dengan pendarahan yang teruk.

Steroid Anabolik dan Sistem Kardiovaskular

Meskipun tiada kajian jangka masa panjang terhadap kesan penggunaan steroid anabolik pada sistem kardiovaskular tetapi ada bukti yang mengatakan ia menjadi faktor risiko kerosakan sistem kardiovaskular, masalah dengan tekanan da darah lipoprotein seperti kolesterol. Ada beberapa bukti menunjukkan steroid anabolik menyebabkan perubahan struktur jantung yang membawa kepada sakit jantung dan strok.

Steroid Anabolik dan Sistem Seksual Lelaki

Steroid anabolik sangat berkait dengan sifat-sifat lelaki seperti kuat, berotot dan kesan sampingan yang ketara seperti peningkatan disfungsi ereksi (cepat pancut) dan impotensi, walaupun hasrat seksual meningkat. Juga kesan ginekomastia atau pertumbuhan payudara, suatu kebiasaan yang tidak boleh diubah dan perlukan pembedahan untuk membuangnya. Atrofi atau penyusutan testikel juga boleh berlaku.

Kesan Psikologi

Steroid memberi kesan yang baik pada seorang atlet yang seterusnya menyebabkan pergantungan psikologi. Sehingga terdapat kajian yang dijalankan dengan memberi sejenis pil bukan steroid tetapi dikatakan steroid, atlet menunjukkan kesan yang baik dalam prestasinya kerana keyakinannya pada steroid. Malahan mereka yang menggunakan steroid, jika terputus bekalan, akan terasa seolah-olah prestasi menurun, semangat hilang, kekuatan merosot dan sebagainya.

Risiko Penggunaan Steroid

1. Fungsi hati meningkat
2. Depresi produksi testosteron semulajadi
3. Peningkatan kadar kolesterol dan tekanan darah
4. Fungsi thyroid berubah
5. Sakit kepala
6. Hidung berdarah
7. Senang Kram
8. Kesan ginekomastia (penumbuhan payudara)
9. Ketidakpekaan insulin (cuma Deca Durabolin meningkatkan metabolisme insulin)
10. Kesan sampingan androgenik seperti penipisan rambut, pembesaran prostat, kulit berminyak, retensi air meningkat, peningkatan bulu badan, kesan agresif, penumbuhan jerawat
11. Pertumbuhan terbantut untuk remaja
12. Steroid jenis oral cenderung menyebabkan mual, cirit birit, sembelit, muntah, gastrik
13. Mempercepatkan pertumbuhan tumor
14. Merendahkan antibodi badan, senang kena penyakit-penyakit lain
15. Perempuan, biji kelentit menjadi panjang dan sifat-sifat lelaki mula kelihatan seperti rupa, suara dan sebagainya

Kesan sampingan berbeza mengikut dos dan jenis. Senarai di atas adalah senarai umum kesan sampingan.

Nasihat Zaki Khan

Steroid bukan pil ajaib yang boleh diambil daripada poket doremon tanpa kesan-kesan sampingan. Tiada pil ajaib di dunia ini. Latihan, diet, dan rehat yang betul membuatkan anda mendapatkan bentuk badan yang diingini. Jangan mengharap dan mengambil jalan singkat untuk berjaya. Lebih-lebih lagi pada mereka yang baru dua minggu mula bersenam. Saya sering melihat kes atau berdepan dengan mereka yang baru ini bertanya dan bercadang untuk menggunakan steroid.

Sebagai kesimpulannya, saya tidak kata, jika anda menyentuh steroid anda akan mati. Bahkan ada ubat yang lebih bahaya daripada steroid. Jika hendak menggunakannya, dapatkan nasihat dan pengawasan perubatan bukan nasihat daripada pasaran gelap. Mereka cuma hendak menjual, demi keuntungan. Apa mereka peduli apa jadi pada anda? Apa kepakaran mereka ada untuk preskrip steroid untuk anda? Jangan mempertaruh nyawa anda semata-mata untuk kecantikan. Jadikan senaman sebagai teraputik dan pencegahan daripada penyakit berbahaya. Bersama amalkan gaya hidup sihat.

 

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube 

iklan ebook   ds ads   iklan disini