Tali Pinggang Nov10

Kongsi

Tali Pinggang

Kenapa pakai weight lifting atau power lifting belt? Bila nak pakai tali pinggang tu? Adakah perlu pakai daripada rumah? atau pakai semasa berlari di atas treadmill? atau semasa sit-up? Kesemua ini saya biasa lihat di dalam gim. Belum masuk yang buat biceps curl 5kg pakai tali pinggang.

Persoalan? Adakah ia disebabkan menjaga keselamatan pinggang? Adakah dengan tidak memakainya, menyebabkan kecederungan kena masalah slip disc? atau seteruk kena masalah mati pucuk? Adakah dengan memakainya meningkatkan prestasi seseorang dalam angkatannya? Mampu mengangkat lebih bebanan?

Tali Pinggang Weight Lifting

Tali Pinggang Weight Lifting

Kalau kita tengok dari sudut besar, tidak semestinya ia meningkat prestasi. Terlalu banyak contoh mereka yang mengangkat bebanan tinggi tetapi tidak memakai tali pinggang seperti contoh Eddie Hall yang baru-baru ini memecahkan rekod angkatan deadlift strongman 463kg. Cuma kalau kita tengok, boleh 99 daripada 100 orang boleh angkat lebih bebanan dengan menggunakan tali pinggang. Badan kita bertindak atas apa kita latih. Jika kita latih tanpa tali pinggang, ia akan jadi kuat tanpa tali pinggang. Jika kita latih dengan tali pinggang, ia akan jadi kuat dengan tali pinggang. Kebanyakan yang memakai tali pinggang, awal-awal dah menanam persepsi bahawa pinggang akan sakit, kalau tidak memakai tali pinggang.

Ada kajian menunjukkan, mereka yang tidak pernah pakai tali pinggang, tiba-tiba pakai dengan harapan memecahkan personal record (PR), tidak menunjukkan apa-apa peningkatan pada kekuatan maksima atau tekanan intraabdominal. Beberapa kajian pula menunjukkan, mereka yang memakai tali pinggang dapat mengangkat lebih laju daripada mereka yang tidak memakainya. Kalau kita tengok dalam hukum newton yang pertama, F=ma, a=v^2/r, menunjukkan bahawa kelajuan berkadaran dengan daya. Kelajuan bar berkadaran dengan peratusan 1 ulangan maksima. Lebih laju, lebih tinggi bebanan yang boleh diangkat. Pengurangan masa beri kelebihan pada angkatan. Sesuai untuk mereka yang membuat latihan kekuatan tempo rendah berbanding membuat latihan tempo tinggi.

Bagaimana pula kesannya pada otot? Kajian lebih lanjut diperlukan. Beberapa kajian daripada angkatan deadlift menggunakan tali pinggang, menunjukkan pengurangan penggunaan iliocostalis lumbourum, salah satu otot spinal erector. Kajian itu menggunakan subjek terlatih. Akan tetapi apabila menggunakan subjek tak terlatih, terdapat lebih pengaktifan otot spinal. Manakala squat, terdapat lebih penggunaan otot spinal apabila menggunakan tali pinggang. Kajian menyimpulkan, peningkatan lebih pada mereka yang tidak terlatih, manakala mereka yang terlatih akan kurang.

NASC 2015

Manakala squat, apabila memakai tali pinggang, terlebih lebih penggunaan otot vastus lateralis dan hamstring. Manakala otot perut, tiada peningkatan pada rectus abdominis (six pack), cuma pengurangan di external oblique apabila memakai tali pinggang. Kajian lebih lanjut diperlukan untuk kesan terhadap otot apabila memakai tali pinggang.

Dari sudut keselamatan, tiada kebaikan memakainya untuk orang yang tak pernah cedera. Ia cuma bantu mengurangkan risiko bagi mereka yang pernah cedera. Dr. Stuart McGill, pakar spinal biomechanics, sama sekali tidak menggalakkan penggunaan tali pinggang dalam apa kes sekali pun. Dia mengatakan, untuk mendapatkan kesan maksima, pergerakan spinal flexion perlu mengunakan kelebihan elastic recoil di pinggang yang mana kalau menggunakan tali pinggang, ia keras, tiada kesan elastik. Tali pinggang hanya berguna, jika seseorang itu mengangkat dengan cara yang salah.

Kesan utama penggunaan tali pinggang, adalah peningkatan tekanan intraabdominal. Tanpa tali pinggang, tekanan ini akan menguatkan otot-otot teras termasuk spinal. Tali pinggang memantulkannya kembali. Peningkatan tekanan bergantung pada saiz tali pinggang. Bagi yang tidak mengetahui, tali pinggang kecil adalah kategori tali pinggang weight lifter manakala yang tebal adalah tali pinggang power lifter. Lebih besar saiz tali pinggang, lebih tinggi tekanan.

Tekanan ini ada kesan baik dan buruknya. Kesan baiknya, ia meningkatkan keupayaan badan melawan tekanan pada pinggang manakala kesan buruknya, ia meningkatkan tekanan darah. Pemakaian tali pinggang menambahkan lagi risiko tekanan darah pada mereka yang dah sememangnya ada tekanan darah tinggi. Pemakaian tali pinggang disertai dengan kaedah valsalva maneuver atau pun tahan nafas ketika mengangkat meningkatkan tekanan pada intervertebral disc.

Tali Pinggang Power Lifting

Tali Pinggang Power Lifting

Jadi kesimpulan, siapa yang patut pakai tali pinggang?

Jika anda ada masalah tekanan darah tinggi, elakkan guna tali pinggang. Jika anda ada masalah melibatkan tekanan intraabodominal seperti hernia, elakkan guna tali pinggang. Jika sukan atau aktiviti yang lakukan tidak perlu pakai tali pinggang, semasa latihan pun tidak perlu. Sebagai contoh, sukan bola sepak. Kenapa anda perlu latih sehingga pakai tali pinggang? Akan tetapi sukan seperti power lifting atau strongman, boleh pakai tali pinggang.

Rujukan
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11411626
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/12930176
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/10619094
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/2304406
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17047531
http://www.strengtheory.com/should-you-wear-a-belt-or-not-study-write-up/

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube 

iklan ebook   ds ads   iklan disini