Tip Mengurangkan Kembung Perut

Aiman Radzi - Tip Mengurangkan Kembung Perut

Kembung perut adalah masalah yang sangat biasa dalam kalangan orang Malaysia. Maklumlah, jenis pemakanan kita banyak buat perut semua berangin. Bersendawa, kembung perut, kuat kentut, susah kentut, semua boleh jadi petanda kepada perut yang banyak gas.

Sesetengah orang tidak mendapat kesan yang begitu teruk dengan kembung perut. Sekadar terkeluar angin sikit-sikit, apa masalahnya? Tetapi, ada yang sampai sakit-sakit sehingga mengganggu kerja seharian. Setiap orang mempunyai darjah “kembung” yang berbeza kerana tindakbalas badan yang berlainan. Mengenal pasti apa yang menyebabkan anda kembung perut mampu membantu anda mengawal kesan-kesan daripada perut berangin.

Kursus Kecergasan 2024

Langkah 1: Elakkan Makanan Berangin

Cara paling utama untuk mengelakkan perut kembung adalah untuk mengelak daripada memakan makanan-makanan yang terkenal untuk menyebabkan perut berangin. Biasanya, buah-buahan seperti epal, buah lai, sayur-sayuran seperti broccoli, produk tenusu dan macam-macam lagi!

Ada juga yang tak boleh makan ulam-ulaman. Air berkarbonat turut termasuk dalam senarai ini. Apa-apa pun, kalau anda dapat kenal pasti apa makanan yang mengembungkan anda, cuba elakkan. Mungkin boleh makan sedikit sahaja, semuanya bersederhana.

Langkah 2: Minimakan Kesan Kembung

Ada beberapa langkah anda boleh amalkan:

1- Minum Sebelum Makan

Kalau minum waktu makan, anda mungkin boleh ganggu proses penghadaman. Asid dalam perut untuk penghadaman berkurang. Cuba minum dalam 30 minit sebelum memakan.

2- Makan Dan Minum Perlahan-lahan

Makan laju-laju menyebabkan anda tertelan banyak udara dan ini boleh menyebabkan kembung perut. Makan perlahan-lahan dan kunyah betul-betul.

3- Kurangkan Merokok

Seperi memakan laju-laju, merokok juga menyebabkan banyak angin masuk dalam perut. Bagi sesetengah orang, mereka mendakwa merokok melegakan kembung perut. Lebih baik anda kurangkan sahaja merokok untuk kesihatan menyeluruh.

Kembung Perut Sebab Lain?

Ada kalanya, kembung perut boleh jadi petanda kepada benda lain. Meskipun ia adalah sesuatu yang jarang dan barangkali bukan pun begitu, ia masih adalah satu kemungkinan. Jika kembung perut anda bertambah teruk, tidak berkurang, atau sangat mengganggu, jumpa doktor untuk dapatkan bantuan.

Lactose Intolerant

Lactose intolerant adalah sejenis kondisi di mana anda tidak menghadam produk yang mengandungi laktosa dengan begitu baik. Biasanya, mereka yang meminum susu (sesetengah ahli bina badan meminum susu protein) akan berasa sakit perut dan berangin sepanjang masa. Cirit birit juga boleh berlaku. Anda boleh cuba kurangkan pengambilan susu untuk mengurangkan kesan ini. Ujikaji tahap kemampuan anda. Anda boleh juga ambil protein jenis isolate yang selamat untuk mereka yang ada kondisi ini.

Langkah Berjaga-jaga Lain

Menurut Stephen Bickston, MD, profesor dalam perubatan dan juga pengarah program keradangan dan penyakit usus di Virginia Commonwealth University Health Center di Richmond, kalau anda pernah dapatkan pembedahan untuk hernia, jangan ambil mudah dengan kesan kembung perut yang kerap. Mereka yang secara tiba-tiba mengalami kenaikan atau penurunan berat badan mendadak juga perlu mengambil berat akan hal ini.

Rujukan:

Beth W. Orenstein, 7 Easy Ways to Tame Excessive Gas, Everyday Health

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: