Turun Berat vs. Turun Lemak: Yang Mana Terbaik? Oct02

Kongsi

Turun Berat vs. Turun Lemak: Yang Mana Terbaik?

Topik berat badan merupakan topik yang sangat hangat dalam dunia kecergasan. Semua orang mahu jadi kurus, terutama apabila dekat-dekat masuk tahun baru! Tapi ramai yang tidak tahu bahawa ada perbezaan antara turun berat dan turun lemak (dan ramai yang menyangka kedu-dua terma ini membawa maksud yang sama).

Turun berat vs. turun lemak. Adakah anda faham perbezaan antara mereka berdua? Ataupun anda juga tidak perasan yang terma-terma ini mempunyai maksud yang berlainan? Cuba kita lihat definisi “turun berat” dan “turun lemak” supaya anda dapat tentukan yang mana terbaik untuk anda:

  • Turun Berat: Penurunan berat badan secara keseluruhan, termasuk berat air, berat tulang, berat otot, organ-organ dalaman, berat lamak, dan lain-lain.
  • Turun Lemak: Pengkhususan dalam penurunan berat badan melalui pembakaran lemak badan. Proses ini meminimakan kehilangan saiz otot dan mengekalkan kekuatan badan.

Transformasi Turun Lemak

Daripada definisi tersebut, Joel Seedman, pakar kekuatan dan prestasi sukan, berkata bahawa terdapat tiga penjelasan bagi penurunan berat badan, iaitu:

  1. Kehilangan saiz dan jisim otot rangka.
  2. Penyingkiran air yang berlebihan (gemuk air).
  3. Turunnya berat lemak dalam badan.

Ramai yang kerap tingkatkan kekerapan latihan dan menyekat pengambilan kalori bagi mendapatkan berat badan ideal. Skala penimbang berat mungkin menunjukkan anda turun 3-4kg setiap minggu dan anda sudah berasa gembira, tapi berkemungkinan besar bukan berat itu yang anda kejarkan.

NASC 2015

1- Turun Berat Melalui Pembakaran Otot

Membina dan mengekalkan jisim otot memerlukan kepada usaha yang banyak dan konsistensi dalam latihan. Jadi, bagi mereka yang sudah bersusah payah membina otot, semestinya satu mimpi ngeri untuk masuk kepada fasa memotong (cutting) dan secara tidak sengaja membakar otot-otot mereka seiring dengan pembakaran lemak!

Pembakaran Otot

Bagaimanakah ini boleh berlaku? Menurunkan berat badan bermakna anda harus berada dalam keadaan caloric deficit iaitu pengambilan kalori harian anda perlu kurang daripada Basal Metabolic Rate (BMR) anda. Selalunya, ramai menyekat pemakanan mereka secara berlebihan, dan penyekatan ini membawa kepada kurangnya pengambilan macronutrien terutama protein. Saya pasti semua bersetuju bahawa protein sangat penting dalam membaik-pulih sel-sel otot yang “tercedera” sewaktu latihan.

2- Turun Berat Melalui Penyingkiran Air

Jika anda kejarkan penurunan sementara berat badan dengan cara terpantas dalam masa singkat, caranya adalah dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat dan minum lebih banyak air! Apa yang akan berlaku ialah anda akan turun berat dengan berkesan, cuma berat ini hanyalah berat air badan. Jika anda ambil semua kandungan karbohidrat tinggi, berat anda naik seperti sedia kala. Cara ini sesuai dan selalu digunakan mereka yang bertanding dalam pertandingan berkategorikan berat badan.

Untuk individu biasa, penurunan berat dengan cara ini hanyalah ibarat menghantar kereta ke kedai cuci. Luarnya cantik, dalamnya sama sahaja. Lalu dalam hujan terkena lecak nanti kotor semula. Masalah ini berterusan jika anda tidak cuba untuk memperbaiki interior “kereta” anda, dalam hal ini iaitu dengan meningkatkan kadar metabolisme melalui pembinaan otot!

3- Turun Berat Melalui Pembakaran Lemak

Inilah yang kita mahukan jika anda merancang untuk menjadi lebih kurus dan menawan – paling penting sekali ialah lebih sihat! Anda harus kejarkan lipolisis maksima ketika dalam fasa menurunkan berat badan. Apakah itu lipolisis? Ia adalah satu proses biologi memecahkan lipid lemak dan trigliserida dalam makanan yang anda makan dan yang telah tersimpan dalam badan. Kebanyakan proses ini berlaku dalam mitokondria sel otot, maka lebih banyak otot anda miliki, lebih mudah untuk anda membakar lemak!

Aiman Radzi - Turun Berat vs. Turun Lemak

Proses menurunkan berat badan seharusnya dijadikan satu kembara hidup, bukannya perjalanan singkat sebulan dua, mengambil supplement yang pelbagai dengan “terapi” yang bukan-bukan. Gunakan cara terbaik supaya anda berasa seronok untuk kurus – bukan menyeksa Oleh itu, sentiasa pandang jarak jauh apabila anda mengejar misi untuk menjadi lebih sihat. Buatlah pilihan yang tepat untuk diri anda!

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook YouTube  

iklan ebook   ds ads   iklan disini