Vaksin di Malaysia Jun23

Kongsi

Vaksin di Malaysia

Berikutan kecoh isu Imam Muda Ammar yang mengeluarkan status kontroversi yang mengundang marah ribuan netizen di laman sosial sehingga memaksa beliau menutup laman sosialnya, saya ingin kongsikan sedikit soal jawap bersama Kementerian Kesihatan Malaysia berikutan isu vaksin. Ia bukan penulisan saya. Saya cuma kongsikan.

Imam Muda Ammar Isu Vaksin 2

1. Apa itu vaksin?

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.

2. Apakah kandungan vaksin?

Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan.

Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal (atau thimerosal). Ia mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuri. Methyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya.

Setelah mengkaji bukti epidemiologi terkini berkaitan thiomersal dan profil farmakokinetiknya, Jawatankuasa Penasihat Sedunia bagi Keselamatan Vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kesan toksik merkuri ke atas bayi, kanak-kanak atau orang dewasa yang terdedah kepada thiomersal dalam vaksin. Tambahan pula, banyak kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan kecacatan sistem saraf atau perkembangan seperti autisme disebabkan oleh penggunaan vaksin yang mengandungi thiomersal.

Bahan penstabil berfungsi mencegah komponen vaksin dari melekat di dinding botol vaksin. Ia mengekalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin di dalam keadaan dan suhu yang pelbagai. Gelatin dan lactose-sorbitol adalah contoh bahan penstabil.

Adjuvan ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindakbalas system ketahanan tubuh terhadap vaksin. Adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (dikenali sebagai alum). Pengambilan aluminium dari vaksin adalah lebih rendah berbanding dengan pengambilan harian dari makanan atau ubat-ubatan seperti antasid. Penelitian semua kajian yang ada berkaitan vaksin difteria, tetanus dan pertussis yang mengandungi aluminium (sama ada secara berasingan atau kombinasi) menunjukkan bahawa tiada bukti garam aluminium di dalam vaksin menyebabkan sebarang kesan sampingan serius atau kesan sampingan jangkamasa panjang. Kemerahan dan bengkak pada tempat suntikan selalunya berkait dengan vaksin yang mengandungi aluminum berbanding vaksin yang tiada kandungan aluminium, namun kesan ini selalunya ringan.

3. Benarkah sesetengah vaksin dibuat menggunakan sel janin?

Sel janin digunakan untuk membuat lima jenis vaksin; iaitu rubella, cacar air, hepatitis A, kayap dan penyakit anjing gila (rabies). Ia digunakan untuk membiakkan virus-virus tersebut bagi penghasilan vaksin. Sel janin yang digunakan diperolehi dari dua pengguguran elektif yang dijalankan di Sweden dan England pada awal tahun 1960an.

Pengguguran janin baru tidak perlu dijalankan lagi kerana sel janin yang diperoleh dalam tahun 1960an tersebut masih dikekalkan dalam kultur makmal. Ahli saintis memilih untuk menggunakan sel janin atas beberapa sebab, iaitu:

i. Virus berbeza dari bakteria kerana ia memerlukan sel untuk membiak. Sel manusia adalah media yang lebih baik bagi menggalakkan pembiakan virus manusia, berbanding dengan sel haiwan.
ii. Sel janin kebal dan boleh membiak banyak kali sebelum mati, berbeza dari sel lain yang hanya membiak secara terhad sebelum mati.

4. Mengapakah formaldehid terkandung di dalam vaksin?

Formaldehid adalah bahan sampingan yang terhasil dari proses pembuatan vaksin. Formaldehid digunakan dalam proses penghasilan sesetengah vaksin untuk melemahkan virus (seperti virus polio dan hepatitis A) atau toksin bakteria (seperti toksin difteria dan tetanus). Hampir semua formaldehid dinyahkan semasa proses penghasilan vaksin dan yang tinggal hanya dalam kuantiti yang amat sedikit.

Formaldehid juga boleh ditemui dalam saluran darah manusia kerana ia merupakan bahan sampingan sintesis protein dan DNA. Kuantiti formaldehid dalam darah adalah sepuluh kali lebih tinggi berbanding kandungannya dalam vaksin.

5. Mengapakah antibiotik terkandung di dalam vaksin?

Antibiotik digunakan semasa proses penghasilan beberapa jenis vaksin untuk mencegah pencemaran bakteria. Terdapat kebimbangan sekiranya antibiotik ini boleh mendatangkan bahaya seperti tindakbalas allergik apabila mengambil antibiotik untuk rawatan jangkitan. Walau bagaimanapun, jenis antibiotik yang digunakan dalam vaksin seperti neomycin, streptomycin, polymixin B, chlortetracycline dan amphothericin B bukanlah antibiotik yang lazimnya menyebabkan kesan allergik.

6. Proses pembuatan vaksin

Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP). Perkara asas yang perlu dipatuhi termasuk:

• memastikan produk adalah selamat untuk kegunaan masyarakat; dan
• memastikan identiti, kekuatan, kualiti dan keaslian produk sentiasa mematuhi spesifikasi yang ditetapkan

Penghasilan vaksin dijalankan di dalam persekitaran bebas kuman (aseptik) dan dipantau secara rapi melalui langkah-langkah kawalan kualiti. Proses penghasilan boleh berbeza mengikut jenis vaksin kerana beberapa komponen yang digunakan dalam proses penghasilan adalah khusus kepada jenis vaksin sama ada berunsurkan virus atau bakteria. Secara amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah asas:

Vaksin

Rajah 1: Empat langkah dalam proses penghasilan vaksin
i) Pembiakan
Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin.
ii) Pengasingan
Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan.
iii) Penulenan
Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur, atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin.
iv) Formulasi

Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvant dan agen penstabil. Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan.

Vaksin 2

Contoh: Penghasilan vaksin berunsurkan virus

Oleh kerana virus hanya membiak di dalam sel hidup, virus yang digunakan dalam vaksin dibiakkan di dalam sel (seperti telur ayam) atau sel Vero (seperti sel Vero). Setelah virus membiak, ia diasingkan daripada sel dan medium kultur sel. Beberapa teknik digunakan untuk proses pengasingan ini, seperti pemecahan sel menggunakan bahan kimia, sentrifugasi dan penapisan atau proses penyeragaman.

Proses seterusnya adalah penulenan virus, yang juga melibatkan beberapa teknik sentrifugasi, penapisan ultra, kromatografi atau penulenan menggunakan bahan kimia. Pada peringkat ini, virus juga dilemahkan secara kimia untuk penghasilan vaksin menggunakan virus yang dilemahkan.

Persediaan virus tadi kemudiannya dicampurkan dengan bahan lain untuk memastikan setiap dos vaksin mencapai kepekatan yang sesuai agar boleh diberikan secara selamat. Pada peringkat ini, vaksin boleh digabungkan dengan antigen lain (seperti vaksin measles-mumps-rubella). Produk yang telah dicampurkan diisi ke dalam botol atau picagari. Sesetengah vaksin dikering-bekukan pada peringkat ini bagi memanjangkan tempoh simpanan vaksin.

Contoh: Proses penghasilan vaksin berunsurkan bakteria

Bakteria tidak memerlukan sel hidup untuk membiak, maka ia dibiakkan dalam bioreaktor yang mengandungi media kultur khusus. Setelah dibiakkan, pengasingkan dilakukan secara sentrifugasi atau menggunakan teknik khusus bagi mengekstrak polisakarida. Proses penulenan adalah khusus kepada antigen yang digunakan, seperti pemendakan kimia atau pemeringkatan, penapisan ultra and langkah kromatografi. Pada peringkat ini, protein pembawa boleh digabungkan dengan vaksin polisakarida dan vaksin yang telah digabungkan kemudiannya ditulenkan melalui pelbagai teknik penapisan atau kromatografi. Produk yang telah ditulenkan kemudiannya digunakan sebagai vaksin. Pada peringkat ini juga produk boleh digabungkan dengan beberapa antigen lain. Sesetengah vaksin polisakarida mengandungi beberapa jenis polisakarida (seperti vaksin polisakarida pneumococcal mengandungi 23 polisakarida berbeza) manakala sesetengah vaksin berunsurkan bakteria digabungkan dengan bakteria lain dan/atau antigen virus (seperti vaksin difteria-tetanus-pertussis–Hepatitis B atau juga dikenali sebagai DTP-Hep B).

7. Bagaimana vaksin berfungsi

Tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semulajadi bagi melindungi nya daripada jangkitan virus dan bakteria. Walau bagaimanapun, mekanisma pertahanan ini boleh dirangsang dengan suntikan vaksin. Antigen dalam vaksin bertindak merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu. Ia menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan. Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin tersebut diambil mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

8. Mengapa kanak-kanak diberi imunisasi semasa masih bayi?

Kanak-kanak dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem daya lawan jangkitan (imun) mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa. Vaksin membantu menguatkan sistem imun mereka melalui rangsangan kepada sel pertahanan, seterusnya melindungi mereka daripada kemungkinan berlaku komplikasi yang mengancam nyawa. Maka, adalah sangat disyorkan agar kanak-kanak diberi imunisasi seawal mungkin mengikut jadual imunisasi yang telah ditetapkan.

9. Adakah vaksin benar-benar mencegah penyakit?

Melalui imunisasi,

• Smallpox telah berjaya dibasmi (eradikasi) di seluruh dunia pada tahun 1980. Smallpox adalah penyakit yang tiada rawatan dengan kadar kematian yang tinggi. Ia menyebabkan parut atau buta kepada orang yang dijangkiti.
• Poliomyelitis telah dibasmi di tiga rantau di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Rantau Amerika, Eropah dan Pasifik Barat. Malaysia telah mencapai status eradikasi polio pada Oktober 2000.
• Kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) penyakit cegahan vaksin telah berkurangan dengan ketara. Imunisasi telah menjadikan dunia semakin selamat dengan menyelamatkan jutaan nyawa dari dijangkiti penyakit yang boleh dicegah ini. Tanpa imunisasi, dua hingga tiga juta lagi kanak-kanak dan orang dewasa akan mati setiap tahun akibat penyakit poliomyelitis, meningitis, difteria dan penyakit cegahan vaksin yang lain.
• Kita dilindungi dari barah (kanser) tertentu seperti vaksin Human papilloma virus (HPV) memberi perlindungan terhadap kanser pangkal rahim manakala vaksin hepatitis B memberi perlindungan terhadap kanser hati.

10. Anak saya sihat dan kuat. Mengapa dia perlu diberi imunisasi?

Tidak dapat dipastikan anak yang sihat akan sentiasa bebas dari dijangkiti penyakit cegahan vaksin. Penyakit boleh menjangkiti seseorang tanpa disangka. Sekiranya kanak-kanak telah diberi imunisasi, mereka akan terlindung dari penyakit cegahan vaksin.

11. Adakah vaksin memberi perlindungan 100% terhadap penyakit cegahan vaksin?

Keberkesanan vaksin tidaklah 100%. Tindakbalas tubuh seseorang terhadap vaksin adalah berbeza-beza, dan terdapat kemungkinan sesetengah orang tidak menghasilkan tindakbalas imun yang mencukupi terhadap vaksin yang diambil. Hasilnya, individu seperti ini tidak dilindungi dengan berkesan. Terdapat vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk membantu menguatkan imuniti terhadap penyakit tertentu. Perlindungan yang diperolehi dari vaksin adalah lebih baik dari tiada perlindungan langsung.

12. Bukankah daya lawan jangkitan yang diperoleh secara semulajadi lebih baik dari imunisasi?

Bagi menghasilkan perlindungan (imuniti) secara semulajadi terhadap penyakit tertentu, seorang kanak-kanak perlu dijangkiti oleh bakteria atau virus tersebut, dan sembuh sepenuhnya dari jangkitan itu. Dalam proses tersebut, kanak-kanak berisiko untuk mengalami komplikasi jangkitan yang boleh mengancam nyawa. Vaksin, sama ada yang berunsurkan bakteria atau virus yang telah dimatikan atau dilemahkan memberi perlindungan setaraf dengan perlindungan (imuniti) semulajadi hasil dari jangkitan, tanpa perlu melalui risiko komplikasi jangkitan.

Vaksin menggunakan tindakbalas semulajadi tubuh terhadap jangkitan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun). Maka sekiranya seseorang terdedah kepada patogen tertentu pada masa hadapan, sistem imun individu tersebut akan ‘mengenali’ patogen tersebut dan menghasilkan tindakbalas yang berkesan bagi menyekat jangkitan tersebut atau mengurangkan keterukan gejalanya.

13. Berapa lamakah tempoh perlindungan yang diperoleh dari imunisasi?

Tempoh perlindungan sesuatu vaksin berbeza-beza bergantung kepada jenis vaksin dan cara penghasilannya. Sesetengah vaksin memberi perlindungan sepanjang hayat, manakala terdapat vaksin yang boleh memberi perlindungan sehingga 30 tahun. Terdapat juga vaksin yang memerlukan dos tambahan (booster) untuk memastikan perlindungan berterusan.

14. Mengapakah sesetengah vaksin diberi beberapa kali?

Sesetengah vaksin memberi perlindungan untuk tempoh terhad. Maka, dos tambahan (booster) diperlukan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) dan memastikan antibodi pada paras yang tinggi. Sekiranya anak anda tidak mengambil dos tambahan mengikut jadual yang ditetapkan, mereka tidak akan dilindungi dengan berkesan.

15. Vaksin perlu diberi mengikut jadual yang ditetapkan

Vaksin diberi mengikut jangkamasa yang telah ditetapkan. Ia bagi memberi peringatan dan ransangan kepada tubuh untuk menghasilkan perlindungan yang berkesan. Jangkamasa di antara dos vaksin bergantung kepada jenis vaksin tertentu.

Pastikan anak anda menerima kesemua dos lengkap pelalian dan patuhilah jadual imunisasi yang telah ditetapkan. Ia bagi memastikan anak anda mendapat perlindungan yang optimum.

Sekiranya anak anda tertinggal satu dos vaksin, sila maklumkan doktor / jururawat secepat mungkin. Tarikh baru untuk suntikan dos seterusnya akan diberikan.

16. Vaksin melindungi kita serta orang lain dalam masyarakat (imuniti kumpulan)

Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi dari jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria/virus penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti. Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung dari jangkitan penyakit tersebut, ini dinamakan ‘imuniti kelompok’. Imuniti kelompok hanya dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi. Ia berupaya melindungi mereka yang tiada perlindungan imunisasi dan berisiko daripada dijangkiti bakteria/virus tersebut. Maka, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai ahli masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah (kanser) dan perlu menjalani rawatan kemoterapi; lantas mereka berisiko untuk mendapat jangkitan. Tanggungjawab kita untuk melindungi mereka.

17. Bagaimana vaksin dikatakan selamat sekiranya ia mengandungi kuman?

Vaksin dihasilkan dari keseluruhan atau sebahagian virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Virus / bakteria tersebut tidak berupaya untuk menyebabkan penyakit kepada kanak-kanak yang sihat.

18. Terdapat terlalu banyak vaksin untuk kanak-kanak, tidakkah sistem daya lawan jangkitan anak saya terlalu terbeban?

Vaksin tidak akan membebankan sistem daya lawan jangkitan (imun) kanak-kanak kerana sistem imun mereka boleh bertindakbalas terhadap pelbagai keadaan.Vaksin mengandungi antigen yang amat sedikit berbanding dengan pendedahan tubuh terhadap antigen asing melalui makanan, minuman dan aktiviti lain. Maka, lebih dari satu vaksin boleh diberi pada satu masa atau selepas tempoh tertentu, dan tidak akan membahayakan sistem imun kanak-kanak.

19. Adakah vaksin selamat, terutama bagi bayi dan kanak-kanak yang masih terlalu muda?

Sebelum vaksin dipasarkan secara komersial untuk digunakan, ia diuji dengan rapi pada ribuan orang menerusi kajian klinikal berskala besar. Ia dipantau dengan ketat bagi menjamin keselamatan penerimanya. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia akan mendaftarkan / meluluskan sesuatu vaksin sebelum ia boleh digunakan di Malaysia dan dimasukkan ke dalam program imunisasi.

20. Adakah vaksin mempunyai kesan sampingan?

Vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan, seperti kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan atau demam. Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera. Adalah sukar untuk menjangka siapa yang akan mengalami kesan sampingan ringan dan siapa yang berkemungkinan mengalami kesan sampingan yang lebih serius kesan dari pengambilan vaksin. Lazimnya kesan sampingan serius amat jarang berlaku.

Kementerian Kesihatan Malaysia memantau keselamatan penggunaan vaksin secara berterusan. Kakitangan kesihatan dari fasiliti kesihatan Kerajaan mahupun swasta, syarikat vaksin dan orang awam boleh melaporkan kepada pihak Kementerian sebarang kesan sampingan yang dialami selepas penerimaan vaksin dengan menghubungi 03 – 7883 5400 atau melalui emel ke alamat: bpfk@bpfk.gov.my.

NASC 2015

21. Adakah sebab mengapa seseorang tidak boleh diberi imunisasi?

Sentiasa berbincang dengan doktor / jururawat sebelum anak anda menerima sebarang vaksin. Sila maklumkan kepada doctor / jururawat sebarang sejarah perubatan keluarga dan sejarah penyakit atau alahan yang anak anda pernah alami. Ini akan membantu memastikan sama ada anak anda boleh menerima vaksin tertentu.
Individu berikut adalah dinasihatkan agar berbincang dengan doctor / jururawat sebelum menerima sebarang vaksin:

• Pernah mengalami tindakbalas atau kesan sampingan serius setelah menerima suntikan vaksin tertentu
• Menghidap penyakit seperti barah (kanser), HIV/AIDS, kencing manis (diabetes), penyakit jantung atau paru-paru, serta lain-lain penyakit
• Sedang menerima rawatan untuk barah (kanser), rawatan steroid atau immunosuppressant; kerana rawatan-rawatan tersebut melemahkan sistem daya lawan jangkitan tubuh (imun).
• Sedang mengandung kerana sesetengan vaksin tidak disyorkan diambil semasa mengandung
• Sekiranya kurang sihat pada hari vaksin sepatutnya diberi, terutama sekiranya sedang mengalami gejala yang sederhana atau teruk.

22. Mengapa orang dewasa perlu diberi imunisasi?

Ibu mengandung
Banyak penyakit boleh menjangkiti ibu mengandung dan kandungannya. Contohnya jangkitan hepatitis B, rubella dan tetanus (kancing gigi). Terdapat vaksin yang boleh diambil diambil sebelum mengandung (seperti vaksin Hepatitis B dan vaksin rubella) atau semasa mengandung (seperti vaksin tetanus) yang akan mencegah pelbagai komplikasi kepada ibu mengandung dan kandungannya.

Perjalanan ke luar negara
Sesetengah penyakit adalah endemik (biasa berlaku) di beberapa negara di dunia. Oleh kerana itu, terdapat vaksin khusus yang disyorkan sebelum melawat ke negara yang berisiko berlaku jangkitan ini seperti vaksin demam kuning sebelum melawat ke negara-negara di benua Afrika; pelalian polio sebelum melawat negara Nigeria, Afghanistan atau Pakistan memandangkan negara-negara ini masih mempunyai kes poliomyelitis. Jemaah Haji pula perlu mengambil vaksin meningococcal ACW135Y kerana ia telah ditetapkan / diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Walaupun tiada peraturan yang ditetapkan untuk mengambil vaksin tertentu sebelum pergi ke luar negara, adalah satu langkah yang bijak untuk mendapatkannya. Ia bertujuan mencegah dari mendapat jangkitan penyakit semasa di luar Negara. Ia juga bagi menghalang dari menyebarkan jangkitan tersebut kepada orang yang disayangi setelah pulang ke tanahair.

Penyakit Bermusim
Vaksin memberi perlindungan terhadap penyakit bermusim seperti influenza yang berlaku setiap tahun. Vaksin tersebut boleh mencegah ketidakhadiran ke tempat kerja atau sekolah, kemasukan ke hospital atau kematian terutama apabila wabak berlaku. Warga emas dan individu dengan sistem imuniti yang lemah atau penghidap penyakit kronik adalah berisiko untuk mendapat komplikasi sekiranya dijangkiti penyakit bermusim, dan perlu mempertimbangkan pengambilan vaksin bermusim ini.

Warga Emas
Warga emas (berumur lebih 65 tahun) secara umumnya mempunyai sistem imuniti yang lemah. Mereka mudah terdedah kepada jangkitan penyakit cegahan vaksin. Oleh itu, warga emas dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin tertentu seperti vaksin pneumococcal.

23. Isu Keraguan Dan Penolakan Vaksin Dan Imunisasi Oleh Golongan Yang Mengamalkan Perubatan Homeopati.

Terlalu sedikit kajian saintifik yang telah dijalankan ke atas persediaan homeopati, dan tiada kajian saintifik yang telah dijalankan ke atas persediaan homeopati yang digunakan untuk mencegah penyakit cegahan vaksin yang tersenarai dalam jadual imunisasi kebangsaan. Manakala keberkesanan vaksin konvensional telah terbukti melalui kajian berskala besar yang telah dijalankan untuk mengkaji keselamatan dan keberkesanan vaksin sebelum ia digunakan dengan meluas. Oleh itu, keberkesanan persediaan homeopati dalam mencegah penyakit cegahan vaksin masih belum dibuktikan.

Terdapat beberapa produk homeopati yang dijual sebagai ‘vaksin’. Kebanyakan produk tersebut dihasilkan daripada proses pencairan pati (ekstrak) tisu berpenyakit atau pati tumbuhan kepada tahap di mana tiada bahan asal masih berbaki dalam hasil akhir produk sebelum ia dijual. Proses ‘succussion’ tersebut dikatakan boleh memindahkan kesan perlindungan dari bahan asal ke dalam air yang digunakan untuk proses pencairan tersebut. Namun, dari sudut biologi tiada penjelasan munasabah bagaimana pengambilan persediaan homeopati tersebut boleh mencegah jangkitan dan / atau penyakit.

Ramai pengamal homeopati yang menyokong pemberian vaksin konvensional untuk perlindungan terhadap penyakit cegahan vaksin. Di antaranya, Persatuan Homeopati Australia dan Persatuan Perubatan Homeopati United Kingdom mengesyorkan imunisasi melalui pemberian vaksin konvensional. Persatuan Pengamal Homeopati
United Kingdom juga tidak menggalakkan ahlinya menasihati pesakit supaya menolak vaksin.

Presiden Majlis Perubatan Homeopati Malaysia (MPHM), Encik Zainul Azmi b. Ahmad juga sependapat dengan badan-badan homeopati antarabangsa seperti Persatuan Homeopati British, Fakulti Homeopati London, Jawatankuasa Homeopati Eropah, Jawatankuasa Induk Homeopati Eropah, Majlis Homeopati Antarabangsa dan Daftar Pengamal Homeopati Australia mengenai imunisasi. Imunisasi perlu diberi menggunakan vaksin konvensional.

24. Program Imunisasi Kebangsaan

Di Malaysia, Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada awal tahun 1950an. Perkhidmatan tersebut diberikan percuma untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan tuberculosis (btuk kering), hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, Haemophilus influenza type b, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan Japanese encephalitis (JE).

25. Tugas-Tugas Kakitangan Kesihatan

• Sentiasa beri penerangan kepada pesakit atau ibubapa mengenai faedah imunisasi dan kepentingan mematuhi jadual imunisasi, sebelum vaksin diberikan.
• Maklumkan kepada pesakit atau ibubapa jenis vaksin yang akan diberikan.
• Terangkan dengan ringkas dan jelas kesan sampingan yang boleh dialami selepas suntikan vaksin.
• Berikan suntikan vaksin mengikut prosedur yang betul.
• Catatkan nama vaksin, nombor kelompok dan tarikh luput vaksin dalam buku atau kad kesihatan kanak-kanak.

26. Apa Pandangan Islam Mengenai Penjagaan Kesihatan Ummah

Di dalam Islam penjagaan terhadap lima (5) perkara utama yang terkandung dalam Maqasid Syar’iyyah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta adalah amat dituntut. Penjagaan dan pemeliharaan syariat terhadap lima (5) kriteria asas tersebut merupakan satu perkara yang sangat penting dalam penentuan Syariat Islam.
Kesihatan individu dan masyarakat adalah antara tuntutan agama dan kehidupan, di mana ia akan memberi manfaat dan kemaslahatan kepada kehidupan seluruh umat manusia. Oleh itu, tindakan pencegahan daripada perkara-perkara yang boleh memudharatkan kesihatan dan nyawa manusia adalah amat dituntut oleh Islam bersesuaian dengan kaedah Fiqhiyyah ?? ????? ?? . (Menyekat Pintu Kerosakan).

27. Adakah Islam Membenarkan Imunisasi

Imunisasi adalah satu cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit-penyakit merbahaya yang mengancam nyawa, khususnya kanak-kanak seperti demam campak (measles), tibi (batuk kering), batuk kokol (pertussis), difteria, tetanus (kancing gigi) atau polio. Penggunaan vaksin dalam program imunisasi bagi mengelak bahaya penyakit-penyakit yang berkenaan adalah diharuskan oleh syarak selaras dengan Kaedah Fiqhiyyah iaitu ??? ??? ???? ???? ??? ??? ??? ???? (menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan).

Sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar sekiranya tidak dicegah daripada awal. Keharusan ini juga adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t dalam surah Al- Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

Program imunisasi ini bukan lagi merupakan kehendak seorang individu, tetapi imunisasi kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

28. Adakah Islam Membenarkan Penggunaan Ubat Daripada Sumber Yang Haram

Islam pada dasarnya menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit. Ketetapan ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram”.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan darurat di mana tiada ubat lain yang boleh digunakan secara berkesan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dicegah dan dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan nyawa, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah adalah diharuskan selama mana tiada ubat lain dari sumber yang halal ditemui dan ianya dilakukan mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat yang ditetapkan untuk memastikan keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlulah dipenuhi. Syarat-syarat tersebut ialah:

a. Berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman-pengalaman atau pengetahuan;
b. Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudaratan melainkan perkara yang ditegah;
c. Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;
d. Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan
e. Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.

29. Apa Pendirian/Ketetapan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Imunisasi

Fenomema ibubapa enggan memberikan suntikan imunisasi kepada anak-anak mereka di klinik-klinik adalah amat membimbangkan. Perbuatan ini bukan sahaja merbahaya kepada anak-anak yang merupakan generasi masa depan kita, tetapi juga boleh menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit-penyakit merbahaya tersebut.

Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Perlu difahami bahawa sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.

Berdasarkan ketetapan dan panduan syarak tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak dari tahun
1988 lagi telah mengeluarkan beberapa pandangan hukum yang berkaitan langsung dengan imunisasi yang seharusnya menjadi panduan seluruh umat Islam, antaranya Imunisasi Hepatitis B Menurut Islam, Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Difteria, Tetanus Dan Polio, Ubat Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela), Hukum Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam, Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya, Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) dan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo.

Maklumat-maklumat mengenai keputusan tersebut boleh diperolehi melalui Portal e-fatwa (www.e-fatwa.gov.my).

30. Koleksi Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Berkaitan Vaksin Dan Imunisasi

i) Kajian Semula Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Monumune

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-105 yang bersidang pada 3-5 Februari 2014 telah membincangkan mengenai Kajian Semula Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Monumune. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Setelah meneliti formulasi dan proses terbaru dalam penghasilan Vaksin Menomune yang bebas daripada penggunaan sebarang sumber haiwan beserta fakta-fakta dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Meningitis Menomune yang dikeluarkan oleh Sanofi Pasteur adalah diharuskan.
2. Oleh yang demikian, status pengharaman terhadap vaksin tersebut yang telah diputuskan pada Muzakarah kali Ke-53 tarikh 27 November 2002 adalah dibatalkan.

ii) Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

“Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan meneliti keterangan, hujah-hujah serta pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Meningitis Menveo adalah diharuskan”.

iii) Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-53 yang bersidang pada 27 Nov 2002 telah membincangkan Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis Oleh Orang Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menggunakan pelalian meningococcal meningitis mencevax yang diambil daripada sumber lembu adalah harus. Manakala vaksin pelalian meningococcal Miningitis Monumune yang mengandungi unsur daripada babi adalah haram. (Sila rujuk Kajian Semula Hukum Penggunaan Vaksin Meninggitis Monumen, 2014 untuk keputusan terkini)

Keterangan/Hujah:

Penyakit ‘Meningococcal Meningitis adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Nesseria Meningitides. Jangkitan penyakit ini menyebabkan radangan pada bahagian selaput otak dan saraf tunjang. Bakteria ini berjangkit melalui hubungan secara langsung (close contact) dengan titisan mulut dan hidung pesakit yang dijangkiti. Tempoh pengeraman jangkitan adalah di antara 2 hingga 10 hari. Mereka yang mengidap jangkitan ini akan mengalami demam, loya, bisa kepala dan sakit tengkuk (neck stiffness).Antara 5 hingga 10% pengidap tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal tetapi masih berupaya menularkan penyakit (symtomless carriers). Dengan rawatan awal, kadar kematian dari jangkitan penyakit ini adalah dari 5 hingga 15%, tetapi jika tanpa rawatan kadar kematian akan melebihi 50%. Diagnosa penyakit ini melibatkan ujian makmal khas seperti ujian cecair tulang belakang (cerebral spinal fluid).

Kejadian penyakit ‘Meningococcal Meningitis di Malaysia berlaku secara sporadik dan pada kadar yang rendah (50 kes setahun). Walau bagaimanapun kejadian penyakit ini di Benua Afrika Utara adalah tinggi dan sering berlaku wabak. Langkah utama pencegahan penyakit ini adalah melalui penjagaan kesihatan diri yang baik serta mengelakkan ke tempat orang ramai yang sesak yang disyaki mempunyai jangkitan penyakit berkenaan. Jangkitan penyakit ini boleh dicegah melalui pelalian menggunakan Vaksin ‘Meningococcal Meningitis. Pelalian boleh melindungi seorang dari jangkitan kuman penyakit tersebut bagi tempoh yang terhad mengikut jenis Vaksin Meninggococcal Meningitis yang digunakan.

Kerajaan Arab Saudi mendapati risiko jangkitan ‘Meningococcal Meningitis di kalangan jemaah haji dan umrah semasa di Arab Saudi adalah tinggi dan atas sebab itu semua bakal haji dan umrah adalah diwajibkan mendapatkan pelalian ‘Meninggococcal Meningitis yang sah sebelum visa haji/umrah dikeluarkan. Peraturan mewajibkan pelalian ‘Meninggococcal Meningitis ke atas bakal jemaah haji dan umrah oleh Kerajaan Arab Saudi telah bermula sejak tahun 1988 lagi. Pada mulanya jenis vaksin yang diwajibkan digunakan kepada bakal jemaah haji dan umrah adalah Vaksin ‘Meningococcal Mengintis A, C. Walaubagaimanapun disebabkan terdapat perubahan corak jenis kuman yang menyebabkan jangkitan penyakit, mulai tahun 2002 Kerajaan Arab Saudi mewajibkan penggunaan Vaksin ‘Meninggococcal Meningitis jenis A, C, Y, W135 yang juga dikenali sebagai Vaksin ‘Meningococcal Meningitis Quadrivalent (ACYW135). Satu suntikan Vaksin ‘Meningococcal Meningitis (ACYW135) boleh memberi perlindungan kepada individu berkenaan selama 3 tahun dari jangkitan penyakit ‘Meninggococcal Meningitis yang disebabkan oleh kuman Nisseria Meningitidies dari SerotypeA, C, Y, dan W135.
Pada masa ini di Malaysia terdapat dua (2) jenama Vaksin ‘Meninggococcal Quadrivalent dalam pasaran, yang didaftar dan diluluskan penggunaannya oleh Biro Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Jenama tersebut adalah seperti berikut:

Jenama : Monumune Injection
Pengeluar : Syarikat Aventis Pharma, Malaysia
(Bahan mentah yang digunakan termasuk sumbersumber bovine (lembu), porsin (khinzir) dan Avian (itik). Bahagian yang digunakan termasuk susu, limpa dan bulu itik)

Jenama : Mencevax Injection
Pengeluar : Syarikat GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (Produk ini tidak mengandungi bahan dari sumber binatang kecuali laktosa daripada susu lembu)

Vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah dari jenama Mencevax yang dipasarkan oleh Syarikat GlaxoSmithKline Pharmaceutical.

Pada prinsipnya ulama sepakat bahawa makanan (termasuk perubatan) yang dibenarkan oleh Islam menggunakannya adalah bahan yang baik (toyyib) yang tidak mempunyai unsur-unsur yang merbahaya kepada kesihatan badan dan akal manusia. Al-Quran dan hadis telah memperakui bahawa setiap bahan yang asalnya halal dan bersih akan berubah hukum penggunaannya kepada haram jika wujud unsur-unsur najis ketika pemprosesan bahan tersebut dilakukan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

“Dan Allah mengharamkan atas mereka yang kotor-kotor”. (al-A`raf: ayat 156)

Bahan ubatan yang menggunakan bahan yang diragui kehalalannya adalah haram. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

“Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara kesamaran yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia; apakah ia termasuk bahagian yang halal atau haram. Maka sesiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan kehormatannya maka dia akan selamat. Dan sesiapa yang mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir ia akan jatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang mengembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir jatuh kepadanya. Ingatlah, bahawa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula, bahawa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan”.

Kefahaman dan penghayatan tentang aspek perubatan sangat penting kerana ia akan memberi kesan bukan sahaja aspek kejiwaan pesakit malah juga dari aspek ibadat pesakit tersebut. Umpamanya seseorang Islam yang memakan atau menggunakan bahan perubatan yang haram atau najis maka ibadatnya tidak akan diterima Allah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

“Setiap daging yang tumbuh daripada (perkara) yang haram, maka api neraka lebih layak baginya”. (Riwayat al-Tabrani)

Walaubagaimanapun sekiranya tidak didapati oleh pesakit (atau orang yang memerlukan) melainkan dalam keadaan dharurat dan terpaksa menggunakan anggota haiwan yang tidak halal, maka tidak menjadi kesalahan kerana keperluan yang mendesak tersebut. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:

Maksudnya: “Sesiapa yang terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka tidaklah berdosa baginya, kerana sesungguhnya Al lah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”. ( al-Baqarah: ayat 173)

iv) Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-92 yang bersidang pada 15 – 17 Disember 2010 telah membincangkan Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah mendengar taklimat daripada pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan serta pandangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam menggesa umatnya supaya menjaga kesihatan kerana penjagaan kesihatan seseorang individu akan menentukan tahap dan mutu kesihatan masyarakat secara umumya. Pemberian vaksin merupakan jalan pencegahan awal yang diambil oleh pihak Kerajaan dalam usaha mengelakkan penyebaran virus di kalangan wanita.
2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) yang telah dipastikan tiada unsur meragukan dalam kandungannya dan tidak mendatangkan kemudharatan adalah diharuskan bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim (servik) di kalangan wanita.
3. Muzakarah juga memutuskan bahawa pemvaksinan ini hendaklah tidak mengandungi unsur-unsur eksploitasi terhadap pengguna atau digunakan untuk tujuan yang bercanggah dengan syarak.

Keterangan/Hujah:

1. Vaksin HPV merupakan kaedah pencegahan yang berkesan di Amerika Syarikat dan diberikan kepada kanak-kanak seawal usia 11 tahun. Vaksin ini akan memberi kesan setelah hampir 20 tahun untuk bertindak. Ia merupakan langkah pencegahan awal untuk mengelakkan seseorang perempuan daripada terkena penyakit kanser pangkal rahim yang mampu meragut nyawa. Pencegahan seawal belasan tahun akan membantu mengurangkan risiko menerima penyakit ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang terutama sekali bagi wanita yang melalui hubungan seksual secara sah di sisi syarak.
2. Malaysia merupakan salah sebuah negara di Asia yang mempunyai bilangan kes kanser servik tertinggi selepas kes kanser payudara. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengenalpasti kanser servik sebagai kanser kedua tertinggi di kalangan wanita selepas kanser payudara, dan menyumbang kira-kira 12% daripada keseluruhan bilangan kes kanser di kalangan wanita Malaysia. Malah, mengikut nisbah kematian kepada minit, direkodkan sebanyak 1 kematian di kalangan wanita akibat penyakit ini dikenal pasti bagi setiap satu minit di dunia. Di Asia, 1 kematian direkodkan bagi setiap 4 minit.
3. Kajian menunjukkan, punca utama kanser ini berlaku adalah kerana jangkitan kuman Human Papilloma Virus (HPV) yang melata dan berkembang sehingga akhirnya berubah menjadi kanser. Human papilloma virus adalah daripada famili papillomaviridae yang mempunyai lebih 100 jenis virus. Daripada jenis-jenis ini, jenis 16 dan 18 adalah berisiko tinggi dan dikenal pasti sebagai punca utama kanser serviks. Virus ini boleh berjangkit melalui aktiviti seperti hubungan kelamin, seks oral, sentuhan kulit kelamin, berkongsi pakaian dalam, berkongsi alat perubatan yang telah tercemar dengan virus ini dan pemindahan virus daripada seorang ibu kepada anak. Kanser ini juga berpunca daripada hubungan seks secara aktif pada usia muda, mengadakan hubungan seks dengan pasangan yang ramai atau mengadakan hubungan seks dengan lelaki yang mempunyai ramai pasangan.
4. Sistem imune dalam badan boleh mematikan virus ini, namun kerebakan dan pembiakannya boleh bertukar menjadi kanser serviks atau
kanser di kawasan lain seperti di vagina, dubur dan mulut. Jangkitan virus ini mengambil masa 10-20 tahun untuk merebak dan membiak sebelum menampakkan kesannya yang sebenar. Kebimbangan pada virus ini ialah ia tidak mempunyai simptom atau tanda-tanda awal mengenai jangkitannya.
5. Pemvaksinan merupakan jalan pencegahan dan pencegahan adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah Usul Fiqh iaitu ?? ????? ??. Namun, sekiranya sesuatu yang diharuskan itu boleh membawa kepada perkara yang diharamkan, maka hukumnya adalah haram selaras dengan kaedah fiqh:
????? ??? ??? ?????? ???
6. Al-‘Aili Abdul Hakim dalam buku Mausu‘ah Huquq al-Insan fi al-Islam, menyifatkan kesihatan individu merupakan tuntutan agama dan kehidupan, di mana ia akan memberi manfaat kepada masyarakat. Dalam isu ini, vaksin HPV bukan lagi satu kehendak seseorang wanita, tetapi bahan pencegah ini kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

v) Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin BioThrax dan RotaTeg adalah tidak dibenarkan kerana:

1. Situasi kini dianggap tidak dharurat;
2. Terdapat bahan atau ubat alternatif selain penggunaan unsur babi dalam pemprosesan kedua-dua vaksin; dan
3. Tiada data sokongan yang kuat untuk membuktikan rakyat negara ini memerlukan kedua-dua vaksin ini.
Keterangan/Hujah:

i. Anthrax adalah sejenis penyakit berjangkit yang akut dan boleh menyebabkan kematian mengejut dan darah keluar dari semua rongga
yang terbuka. Jangkitan anthrax boleh berlaku sama ada pada kulit (cutaneous anthrax), saluran usus (Gastrointestinal anthrax) atau serangan melalui pernafasan (inhalation anthrax). Vaksin BioThrax™ digunakan sebagai imunisasi atau suntikan pelalian bagi membantu melindungi daripada jangkitan anthrax. RotaTeq pula ialah vaksin bagi mencegah kes rotavirus yang menyebabkan muntah dan cirit birit di kalangan kanak-kanak.
ii. Islam mengharuskan berubat dengan benda-benda yang diharamkan sekiranya dalam keadaan dharurat iaitu tiada ubat alternatif yang lain adalah berpandu kepada Firman Allah s.w.t.,
Maksudnya : Dan tidak ada sebab bagi kamu, yang menjadikan kamu tidak mahu makan sari sembelihan binatang-binatang halal yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya. (Surah al-An’am : 119)
iii. Jumhur Fuqaha’ dari Mazhab Hanafi, al-Malikiyyah, pandangan sohih dari Mazhab Syafie dan Hanabilah berpendapat berubat dengan suatu yang najis seperti arak adalah haram dan tidak harus. Dalam konteks ini Prof. Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli berpandangan bahawa pada asasnya, haram kita berubat benda yang najis atau haram.
iv. Dalam mempertimbangkan hukum keharusan mengambil benda haram dalam situasi dharurat beberapa kaedah fiqhiyyah boleh dijadikan sandaran. Antaranya ialah kaedah “ Dharurat mengharuskan perkara yang dilarang” atau ?? ?????? ? ? ?? ???? ????? . Dalam situasi sesebuah negara yang memerlukan perlindungan atau pelalian daripada ancaman serangan biologi seperti anthrax atau serangan cirit birit di kalangan kanak-kanak, kepentingan suntikan BioThrax™ dan RotaTeq tidak dinafikan sekiranya tiada alternatif lain. Walaupun penggunaan BioThrax™ dan RotaTeq mungkin diharuskan namun pengambilan suatu yang haram semasa dharurat dibatasi dengan kaedah ?? ? ?????? ? ??? ? ??? ? ? (dharurat dinilai sekadar keperluan). Dalam masa yang sama orang Islam wajib berusaha bersungguh-sungguh keluar daripada situasi dharurat. Berdasarkan kaedah ini, menggunakan suatu yang haram dalam situasi bukan dharurat adalah dilarang.
v. Penggunaan Vaksin Biothrax dan Rotateq tidak diperlukan memandangkan Malaysia bukan dalam keadaan dharurat dan telah ada vaksin halal untuk kegunaan umat Islam di Malaysia.
vi. Setakat ini umat Islam di Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan vaksin yang disahkan halal kerana pakar-pakar dalam bidang sains farmasi di Malaysia mampu menghasilkannya.
vii. Gesaan supaya menggunakan vaksin-vaksin yang mengandungi unsur-unsur yang tidak halal ini juga merupakan strategi musuh-musuh Islam untuk meracuni pemikiran dan daya ketahanan umat Islam apabila terlalu banyak sumber yang haram menjadi darah daging umat Islam.

vi) Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Difteria, Tetanus Dan Polio

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-24 yang bersidang pada 5-6 Jun 1989 telah membincangkan Pandangan Islam Terhadap Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus Dan Polio. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

1. Program imunisasi campak, tibi, batuk kokol, dipteria, tetanus dan polio adalah harus di segi syarak kerana berdasarkan kaedah ??? ??? ???? ???? ??? ??? ??? ???? “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan ” dalam perundangan Islam.
2. Vaksin-vaksin yang digunakan dalam imunisasi bagi penyakit-penyakit tersebut hendaklah diambil daripada bahan yang suci, sekiranya vaksin daripada bahan suci tidak diperolehi atau sukar diperolehi, maka penggunaan vaksin yang sedia ada adalah diharuskan.

Keterangan/Hujah:
Imunisasi adalah satu-satunya cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit seperti campak, tibi, batuk kokol, dipteria, tetanus atau polio. Mengikut kaedah fiqhiah iaitu ??? ??? ???? ???? ??? ??? ??? ???? “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”, maka program imunisasi bagi mengelak bahaya penyakit-penyakit yang berkenaan adalah sampai kepada peringkat hajat. Maka program tersebut adalah harus, kerana sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar. Oleh hal yang demikian penggunaan vaksin dalam imunisasi itu adalah harus dari segi syarak.

Keharusan ini juga adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t. dalam surah Al- Baqarah, ayat 195 :
?? ?? ??? ???? ????? ?? ??? ???
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan”.

vii) Imunisasi Hepatitis B

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-22 yang bersidang pada 24 Nov 1988 telah membincangkan Imunisasi Hepatitis B. Muzakarah telah memutuskan bahawa vaksin untuk Imunisasi Hepatitis B yang dihasilkan daripada ragi adalah tidak najis dan harus digunakan untuk tujuan tersebut kerana ragi adalah suatu bahan yang suci.

Keterangan/Hujah:

Hepatitis B ialah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis virus yang dinamakan Virus Hepatitis B. Virus ini terdapat pada cecair badan seseorang pesakit seperti pada darah, air liur, air mani dan mana-mana keluaran atau bendalir. Seorang pesakit atau pembawa penyakit Hepatitis B akan merebakkan virus ini apabila cecair dari badan mereka masuk ke dalam tubuh orang lain melalui luka, persetubuhan, semasa proses kelahiran bayi, perkongsian jarum suntikan yang tercemar dan lain-lain lagi. Virus ini boleh menyerang segenap lapisan umur.

Seseorang yang mendapat jangkitan, kadar risiko untuk menjadi pembawa penyakit ini adalah bergantung kepada umur. Bagi bayi-bayi yang dijangkiti semasa lahir, risiko menjadi pembawa kronik ialah 90 hingga 95 peratus, manakala bagi golongan dewasa ialah 5 hingga 10 peratus. Kesan bahaya pesakit dan pembawa penyakit ini pada jangka masa panjang ialah penyakit kronik pada hati iaitu cirrhosis hati dan kanser hati yang boleh membawa kematian. Penyakit Hepatitis B ini boleh dicegah melalui vaksin yang digunakan untuk tujuan imunisasi.

Terdapat dua jenis vaksin bagi kegunaan imunisasi ini, iaitu vaksin yang diterbitkan dari plasma darah dan vaksin yang dihasilkan dari ragi untuk kegunaan program imunisasi ini. Tiga golongan akan diberi imunisasi ini, iaitu kepada bayi yang baru lahir, pekerja perubatan dan kesihatan, dan penagih-penagih dadah yang menggunakan suntikan.

Vaksin yang dihasilkan daripada ragi adalah lebih utama untuk kegunaan dalam imunisasi hepatitis B jika dibandingkan dengan vaksin yang dihasilkan oleh plasma darah. Ini adalah kerana ragi adalah bahan suci yang jelas dibenarkan oleh Islam.

viii) Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-21 yang bersidang pada 12 Sep 1988 telah membincangkan Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela). Muzakarah telah memutuskan bahawa Vaksin Rubela yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada masa ini tidak najis dan hukumnya harus digunakan untuk suntikan dalam badan bagi mencegah penyakit rubela.

Keterangan/Hujah:

Rubela ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus dan ia mempunyai banyak persamaan dengan penyakit campak. Penyakit Rubela amat merbahaya kepada bayi di dalam kandungan dan ia mudah berjangkit melalui saluran pernafasan atau pergaulan yang rapat. Jika seseorang ibu mengandung dijangkiti Rubela dalam tiga bulan pertama, bayi yang bakal dilahirkan mungkin mati dalam kandungan atau jika dilahirkan berkemungkinan akan mengalami terencat akal, cacat mata, jantung, hati, limpa dan jantung.

Ketika Malaysia diserang penyakit Rubela ini sekitar tahun 1978 dan 1981, sebanyak 43 hingga 63 kes kecacatan kelahiran dilaporkan akibat daripada penyakit ini dan ia meningkat dengan mendadak kepada 221 kes pada tahun 1982. Mulai April 1988 Kerajaan telah melaksanakan program suntikan Rubela kepada pelajar perempuan dan wanita yang berusia antara 15 dan 44 tahun.

Vaksin pelalian Rubela yang digunakan diimport dari Itali dan tidak mengandungi sebarang tisu binatang. Walaubagaimanapun vaksin tersebut diperbuat daripada tisu janin wanita yang mengalami keguguran dan telah melalui beberapa proses termasuk pencerakinan virus yang terdapat di dalam tisu janin tersebut. Vaksin yang terhasil daripada beberapa proses di dalam makmal ini digunakan bagi mencegah komplikasi kepada bayi sekiranya ibu yang mengandung dijangkiti Rubela.

Hasil kajian dan penelitian tersebut adalah didapati bahawa bahanbahan yang digunakan dan proses pembuatan, persediaan vaksin dan bahan penstabil dalam imunisasi Rubela adalah tidak najis. Keseluruhan proses yang digunakan dalam penyediaan vaksin ini tidak melibatkan gelatin. Oleh itu ianya harus digunakan.

Berdasarkan kepada kaedah fiqh “Dharurat Mengharuskan Tegahan” penggunaan suntikan rubela adalah atas asas hajat kerana bagi menghindarkan perkara bahaya iaitu penyakit rubela, maka ianya diharuskan oleh syarak.

Berdasarkan kepada prinsip al-dharuriyat al-Khams, menolak kemudharatan terhadap agama, jiwa, akal, keturunan dan harta adalah perlu diutamakan.

31. Rujukan

i. Appendix 3, Drug Registration Guidance Document (DRGD) First Edition, August 2013 at http://portal.bpfk.gov.my/index.cfm?&menuid=122#sthash.gYP1Bf3u.dpuf
ii. Myths and realities: responding to arguments against immunisation. 5th edition. Canberra: Australian Government Department of Health and Ageing, 2013 – at: http://immunise.health.gov.au/internet/immunise/publishing.nsf/Content/uci-myths-guideprov
iii. Pink Book “Principles of Vaccination” – at : www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/downloads/prinvac.pdf
iv. Stanley A Plotkin, MD; Vaccine Fact Book 2012
v. Vaccine components, National Centre for Immunisation Research & Surveillance (NCIRS) Fact sheet: May 2013 (Content last updated February 2008)
vi. Robert J. Mitkusa, David B. Kinga, Maureen A. Hessb, Richard A. Forsheea, Mark O. Walderhauga. Updated aluminum pharmacokinetics following infant exposures through diet and vaccination. Vaccine 29 (2011) 9538– 9543.
vii. Global Advisory Committee on Vaccine Safety, June 2012. Weekly epidemiological record No. 30, 2012, 87, 277–288 ta http://www.who.int/wer.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube 

iklan ebook   ds ads   iklan disini