Valsalva Maneuver Jul31

Kongsi

Valsalva Maneuver

Apa itu valsalva maneuver? Pelik betul bunyinya. Valsalva maneuver dinamakan sempena Antonio Valsalva, seorang ahli fizik pada abad ke-18. Ia digunakan sebagai satu cara untuk menilai sistem kardiovaskular dan secara tak sedar digunakan kebanyakan orang dalam senaman. Secara ringkas, valsalva maneuver adalah daya yang terhasil apabila nafas dipaksa keluar daripada celah suara yang tertutup. Ia merupakan teknik biasa yang digunakan dalam powerlifting atau angkat berat.

NASC 2015

Teknik valsalva maneuver boleh dibandingkan dengan ‘kia’ dalam karate. Mula dengan tarik nafas dan tahan, kemudian jerit ‘kia’ dan lepaskan tumbukan. Sebagai contoh dalam senaman, ketika melakukan squat, kita akan tarik nafas melalui hidung dan tahan, turun ke bawah. Ketika naik melepaskan nafas menerusi mulut secara paksa untuk menghasilkan momentum.

Valsalva maneuver membantu untuk meningkatkan tekanan intra-thoracic dan intra-abdominal. Apabila tekanan intra-abdominal meningkat, berlaku pengurangan tekanan di vena dan kadar output jantung dikurangkan. Kadar denyutan jantung meningkat dan dalam masa sama berlaku pembesaran pada salur darah untuk menstabilkan tekanan darah. Jika dilakukan secara paksa melebihi limit, anda akan rasa ringan kepala dan boleh pitam disebabkan kekurangan oksigen di otak. Selepas melakukannya, tekanan darah boleh meningkat secara mendadak.

Terdapat beberapa kajian menunjukkan bahaya valsalva maneuver. Antaranya yang dipamerkan dalam ‘Archives of Physical Medicine and Rehabilitation‘. Kajian dilakukan dengan senaman leg press. Subjek melepaskan nafas secara normal pada intensiti maksima dan tekanan darah direkodkan 198/175 mm Hg. Subjek yang sama melakukan teknik valsalva maneuver dan tekanan darah direkodkan pada 311/284 mm Hg. Tekanan darah tertinggi direkodkan adalah 370/360 mm Hg.

Melakukan teknik valsalva maneuver ketika latihan bebanan menyebabkan oksigen kurang disalirkan ke otak. Terdapat kajian yang dipamerkan dalam ‘Neurology Research‘ menunjukkan kecederaan otak boleh terjadi termasuk stroke, cerebral hemorrhage, retinal hemorrhage dan retinal detachment. Tekanannya boleh menyebabkan angin ahmar, buta dan sebagainya.

Apa itu tekanan intra-abdominal? Secara mudah, cuba pakai belt dan lakukan squat. Anda boleh rasa tekanan yang dihasilkan ke tali pinggang. Apabila memakai tali pinggang, tekanan intra-abdominal beralih ke tali pinggang. Latihan tanpa tali pinggang membantu menguatkan tekanan intra-abdominal. Tekanan intra-abdominal membantu menyokong vertebra atau tulang belakang. Dalam bahasa mudah lagi, sering kali kita kata, kuatkan ‘core‘ atau teras. Antara benda yang perlu dikuatkan adalah tekanan intra-abdominal.

Valsalva maneuver dicadangkan sebagai cara meningkatkan tekanan intra-abdominal termasuk dalam buku ‘Essentials of Strength Training and Conditioning‘, hasil tulisan Stuart McGill. Valsalva maneuver secara klinikalnya terdiri daripada 4 peringkat.

1. Kenaikan sementara tekanan darah sebagai tanda peningkatan tekanan intra-thoracic.

2. Kejatuhan tekanan atrium yang membawa kepada penurunan dalam tekanan darah. Peningkatan dalam pengaktifan simpatatik yang mana meningkatkan rintangan peripheral vascular. Dalam bahasa mudah, tekanan arteri dan denyutan jantung meningkat.

3. Tekanan dilepaskan dan tekanan darah arteri jatuh secara tiba-tiba kerana tekanan intra-thoracic jatuh.

4. Kadar denyutan jantung menurun dan kembali normal.

Walaupun terdapat bahaya peningkat tekanan darah semasa latihan tetapi ia tidak mengubah tekanan ketika rehat. Valsalva maneuver hanya menjadi bahaya untuk mereka yang ada masalah tekanan darah tinggi pada asalnya tetapi menjadi baik untuk mereka yang terlatih tanpa sebarang masalah. Ia boleh dilakukan tetapi jarang diajar. Kebiasan dalam gym, kita diajar cara bernafas yang biasa iaitu bernafas ketika pergerakan eccentric dan keluarkan nafas ketika concentric. Cara biasa pernafasan ini sesuai dengan semua orang.

Jika anda ingin gunakan teknik valsalva maneuver, gunakan dengan berhati-hati dan ketahui limit badan anda. Saya percaya secara tidak langsung, ramai yang suka gunakan teknik ini. Teknik ini sesuai digunakan dengan beban yang tinggi.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube 

iklan ebook   ds ads   iklan disini