Berpeluh? Mar31

Kongsi

Berpeluh?

Adakah berpeluh itu tanda senaman yang baik? tanda membakar lemak? Jika kita lihat hari ini, kebanyakan gym komersial menggunakan penyaman udara dan ramai yang mengadu tidak berpeluh, tidak puas bersenam sehingga sanggup cari gym yang umpama duduk di dalam oven. Kononnya untuk membakar lemak.

Kursus Kecergasan 2017

Tidak cukup dengan itu, ada yang memakai sweater atau baju yang menyerupai baju hujan utuk bersenam di gym atau berjoging. Saya rasa ramai pernah melihatnya, berlari di atas treadmill dengan memakai baju seolah baju hujan. Adakah ianya membantu? Pertama dan terpenting, perkara terpenting dalam senaman bukannya berpeluh, terutama jika bersenam dalam cuaca yang panas. Kehilangan haba memerlukan tenaga. Tenaga ini berasal dari aktiviti di kelenjar peluh. Bila terlalu banyak tenaga ditumpukan pada berpeluh, badan kekurangan tenaga untuk fungsi-fungsi lain. Disebabkan itu, badan akan berdepan dengan bahaya strok panas (heat stroke).

Kehilangan lain ketika pemanasan adalah menerusi sistem kardiovaskular. Bila berlaku pemanasan di kulit, pembuluh periferi menuju ke arah kulit. Darah akan berkumpul di kulit berbanding di otot yang memerlukan ketika itu. Jantung akan bekerja lebih keras untuk memastikan ada darah ke kulit dan ke otot yang memerlukan. Bayangkan seseorang dengan sweater menutupi seluruh badan. Terdapat kes-kes kematian mengejut disebabkan jantung bekerja terlalu kuat.

Kenapa sesetengah orang memilih untuk berlatih di tempat yang panas? Sehingga ada yang marah jika membuka kipas. Sebenarnya disebabkan faktor psikologi. Mereka merasakan jika tidak berpeluh sehingga lencun, maka latihan mereka tidak berhasil. Sebenarnya tiada masalah untuk berlatih di tempat yang memasang penyaman udara. Berpeluh tidak boleh dijadikan penanda yang latihan itu berkesan. Jika semata-mata ingin berpeluh, duduk dalam kereta tengahari buta, tutup tingkap, tutup penyaman udara, berpeluh juga. 😀

Apakah pakaian yang sesuai untuk bersenam? Carilah pakaian sukan yang sesuai dengan aktiviti senaman hari itu. Sesuatu yang ringkas dan membenarkan pengaliran udara masuk. Jika boleh cari yang berwarna terang kerana warna terang memainkan peranan dalam merangsang mood kita. Janganlah seksa badan dengan pakai baju hujan pergi joging.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube