Bolehkah Kanak-Kanak Bersenam? Dec03

Kongsi

Bolehkah Kanak-Kanak Bersenam?

Bolehkah kanak-kanak di bawah usia 12 tahun bersenam dan lakukan latihan bebanan? Telah sekian lama tersebar beberapa mitos. Antaranya senaman membuatkan kanak-kanak bantut. Sejauh mana kebenarannya?

Kursus Kecergasan 2017Di Malaysia, sebelum ini, pada awal tahun 2000, kalau anda perasan, ada satu syarat, iaitu gym tidak membenarkan mereka di bawah usia 16 tahun bersenam. Malaysia berada di zaman bila? Kemudian pada zaman Dato Azalina, isu ini telah dibawa dan diolah, boleh bersenam tetapi dengan bantuan jurulatih. Ketika itu program FitKid telah diperkenalkan dimana kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun pun boleh bersenam tetapi dengan perhatian pakar.

Sebelum memulakan senaman untuk kanak-kanak, anda perlu tahu beberapa perkara. Mereka yang sedang membesar berlainan dengan mereka yang dewasa. Tulangnya tidak matang dan akan matang apabila dalam lingkungan umur 12 hingga 22 tahun. Kanak-kanak sering terdedah kepada kecederaan pertumbuhan berlebihan seperti penyakit Osgood Schlatter. Kanak-kanak memiliki sistem suhu yang berbeza kerana memiliki kawasan permukaan yang besar berbanding jisim otot mereka. Kanak-kanak juga tidak berpeluh sebanyak orang dewasa supaya mereka tidak terdedah kepada strok haba. Sistem hormon mereka juga tidak matang lagi menjadikan mereka sukar membina otot. Kelajuan pernafasan dan denyutan jantung mereka juga jauh lebih laju daripada orang dewasa. Ingat formula 220/226 – umur untuk denyutan maksima?

Disebabkan faktor-faktor ini, latihan mereka sepatutnya bukan untuk menambah otot tetapi lebih kepada kekuatan. Ada kanak-kanak yang senang membina otot kerana paras hormonnya yang berbeza.

Bagaimana merangka program senaman untuk mereka?

Pertama sekali disebab faktor-faktor fisiologinya yang berbeza, adalah seeloknya memanaskan badan lebih lama daripada orang dewasa. Beri keseronakan pada mereka. Tidak perlulah diletakkan di atas treadmill dan disuruh berlari 40 minit tetapi boleh dilakukan dalam bentuk permainan. Mungkin permainan ‘keretapi’, ‘kejar-kerja’, ‘polis entri’ dan sebagainya. Mereka lebih bermotivasi untuk melakukan senaman dengan cara yang menyeronokkan berbanding dengan latihan yang membosankan seperti dilakukan kebanyakan orang dewasa. Jangan bandingkan dengan atlet kanak-kanak di China. Mereka telah dilatih sejak kecil untuk kekal berdisiplin dalam keadaan terpaksa. Boleh, bukannya tak boleh, bergantung pada tahap anda boleh memotivasikan mereka.

Apakah latihan bebanan yang sesuai untuk mereka?

Mereka boleh melakukan latihan bebanan. Tidak ada istilah tidak boleh melakukan itu dan tidak boleh melakukan ini. Mereka boleh buat squat tetapi bukanlah squat yang begitu berat. Jika masih baru, boleh gunakan medicine ball untuk melakukan squat.

Mereka boleh melakukannya dalam ulangan 8-12 dan jika ingin melakukan senaman kekuatan, boleh melakukkannya kurang. Sistem latihannya hampir sama seperti yang dewasa cuma bebanannya berbeza. Bagi yang baru mula, boleh mulakan dengan 3 set 10 hingga 15 ulangan untuk setiap senaman. Alatan di gymnasium di Malaysia kebanyakan tidak sesuai. Jika di Amerika, terdapat peralatan yang sesuai untuk kanak-kanak tetapi rasanya tiada lagi gym kanak-kanak di Malaysia. Ada ke?

Jika melakukan senaman penuh, berikan masa rehat sekitar 1 hingga 2 hari bergantung kepada tahap kecergasan mereka. Senaman pada peringkat awal patut ditekankan pada teknik berbanding beban. Kanak-kanak juga perlukan latihan koordinasi. Latihan koordinasi yang mudah seperti membaling bola dan menyambut bola.

Apakah kelebihan senaman pada kanak-kanak?

1. Menambah kekuatan
2. Mengurangkan peratus lemak
3. Kesihatan yang baik
4. Kecergasan kardiovaskular
5. Menambah kekuatan tulang
6. Memperbaik mood

Senaman untuk kanak-kanak bukan untuk mereka yang gemuk sahaja. Tetapi untuk semua kanak-kanak. Kita sedang dilanda masalah kegemukan di kalangan kanak-kanak disebabkan beberapa faktor seperti lambakan makanan segera, ibu-bapa atau penjaga tidak menggalakkan anak mereka bergerak dengan memberi mereka ps3, komputer dan pelbagai lagi sebab.

Contoh-contoh senaman

Jumping jacks
Star jump
Jumping squat
Alternate toe touch
Push-up
Stair Climber
T-run
Trunk Rotations
Shuttle Run
Box Jump
– Baling bola dengan bebanan
– Pelbagai latihan bebanan sama ada menggunakan bebanan atau berat badan sahaja
– Pelbagai lagi, dalam masa sama boleh masukkan permainan tradisional seperti ‘Teng-teng’ dan sebagainya sebagai salah 1 aktiviti memanaskan badan

Gerakkan anak anda. Jangan biarkan mereka membesar dalam keadaan yang tidak aktif. Tanamkan gaya hidup sihat sejak mereka masih kecil. Mereka mungkin tidak memerlukan diet-diet tertentu kecuali untuk kes tertentu seperti berlebihan berat badan yang melampau tetapi jangan digalakkan mereka hidup dengan makanan segera dan sebagainya. Pemakanan mereka perlu lebih untuk tumbesaran tetapi bukan lebihkan lemak.

Adakah mereka perlukan makanan tambahan?

Jangan terpengaruh dengan pelbagai iklan di pasaran sekarang yang mengatakan perlu itu, perlu ini. Apa yang mereka perlukan adalah nutrisi yang mencukupi daripada makanan dan bukannya pil, air ajaib dan sebagainya.

Nota: Arnold Scwarhzenegger mula bersenam pada usia 11 tahun. Tidak pula kelihatan dia terbantut.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube