Kasut Tumit Tinggi Apr26

Kongsi

Kasut Tumit Tinggi

Dah jadi satu kewajipan untuk seorang perempuan memiliki sekurang-sekurangnya satu kasut tumit tinggi pada zaman serba moden kini. Ia seperti satu peraturan tersembunyi alam fesyen. Sekurang-kurang satu, tapi rasanya ada yang beli kasut setiap minggu. Ia direka mengikut fesyen dan tidak semestinya fungsi. Wanita sanggup menahan ketidakselesaan untuk kelihatan cantik. Betul atau tidak? Adakah anda selesa memakai kasut tumit tinggi?

Ramai pakar termasuk pakar ortopedik bersetuju terdapat banyak bahaya yang dikaitkan dengan memakai kasut bertumit tinggi. Terdapat juga beberapa kelebihan kasut tumit tinggi seperti;

• Betis kelihatan lebih cantik
• Kaki kelihatan lebih kuat
• Postur kelihatan lebih lentik
• Mereka yang rendah kelihatan lebih tinggi
• Boleh dijadikan senjata jika diserang perogol bersiri
• Lebih bergaya dan digelar perempuan berkaki panjang

Apa kata kita cuba bandingkan dengan kesan negatifnya pula;

Postur

Kasut tumit tinggi meletakkan kaki dengan kedudukan kaki menunjuk ke bawah, menambah tekanan ke atas kaki di bahagian soket metatarsalnya. Tekanan ini meningkat dengan ketinggian kasut tumit tinggi. Badan anda terpaksa bekerja untuk seimbangkan badan anda. Kecederaan yang selalu dikaitkann termasuk kecederaan buku lali. Ianya boleh jadi sprain sehingga ke retak. Kematuan boleh terbentuk di kaki juga sekiranya kasut yang dipakai ketat dan dipakai untuk satu tempoh yang panjang.

Chapter 437-Bahaya-kasut-tumit-tinggi

Gait

Apabila berjalan, kaki anda berada dalam kedudukan ke bawah atau plantarflexed dalam istilah sainsnya. Ia menyebabkan anda tidak dapat menolak permukaan tanah dengan daya yang banyak. Keadaan ini menyebabkan otot hip flexor di pinggang bekerja lebih keras untuk bergerak dan menarik badan anda ke hadapan. Lutut juga bergerak ke depan dan membengkok. Otot di bahagian lutut bekerja lebih keras.

Keseimbangan

Berjalan dengan memakai kasut tumit tinggi seperti berjalan di atas tiang sambil seimbangkan badan anda. Memakai kasut tumit tinggi menyebabkan kaki dan buku lali bergerak ke dalam atau supinated. Kedudukan ini menyebabkan risiko kehilangan kesimbangan dan boleh menyebabkan kecederaan pada buku lali.

Belakang

Bentuk lengkungan S pada tulang belakang bertindak sebagai penyerap tekanan dan mengurangkan tekanan pada vertebrae atau tulang belakang. Memakai kasut tumit tinggi menyebabkan lumbar iaitu tulang belakang di bahagian bawah mendatar dan menyebabkan anjakan posterior atau anjakan ke belakang bahagian kepala dan toraks atau tulang belakang bahagian tengah. Memakai kasut tumit tinggi menyebabkan badan bergerak ke hadapan dan mengurangkan lengkungan S pada tulang belakang. Keadaan ini boleh menyebabkan sesetengah otot digunakan secara berlebihan dan akhirnya menyebabkan sakit belakang.

Pinggang

Otot hip flexor terletak di bahagian depan atas peha anda. Ia terpaksa bekerja lebih keras dan lama untuk membantu anda berjalan kerana kaki anda berada di kedudukan ke bawah dan mengurangkan kuasa untuk mengerakkan badan anda ke hadapan. Jika otot hip flexor digunakan secara berlebihan, otot ini boleh memendek atau ketat yang mana akan memberi kesan pada lumbar atau tulang belakang bahagian bawah.

NASC 2015

Lutut

Tahukah anda, osteoarthritis adalah dua kali lebih tinggi di kalangan wanita. Penyebab utama mungkin disebabkan pemakaian kasut tumit tinggi. Kedudukan lutut yang kekal bengkok dan tibia berpusing ke dalam apabila memakai kasut tumit tinggi meletakkan daya mampatan di bahagian tengah lutut. Jika anda dah ada osteoarthritis, seeloknya elakkan pakai kasut jenis ini.

Buku Lali

Kasut tumit tinggi menghadkan pergerakan dan kuasa sendi buku lali. Otot betis termasuk gastrocnemius dan soleus telah memendek. Kedudukan buku lali juga menyebabkan pengecutan tendon achilles. Ia boleh meningkatkan tarikan tendon achilles yang melekat pada bahagian belakang tulang tumit atau calcaneus dan boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil insertional achilles tendonitis.

Tapak Kaki

Dengan kedudukan kaki ke bawah, terdapat peningkatan ketara di bahagian tumit. Memakai tumit 3 1/4 inci meningkatkan tekanan pada bahagian bawah kaki depan sebanyak 76%. Tekanan yang meningkat boleh membawa kepada sakit dan kecacatan kaki seperti jari kaki tukul atau hammer toes, bunions, bunionettes dan neuromas. Kedudukan kaki ke bawah menyebabkan kaki menjadi supinated atau berpusing ke luar dan seterusnya menyebabkan tarikan pada tendon achilles dan menyebabkan kecacatan yang dipanggi haglund.

Kulit dan Ibu Jari

Kasut tumit tinggi yang tajam boleh menyebabkan kematu dan kulit pecah.

Payudara

Terdapat juga kajian menunjukkan amalan pemakaian kasut tumit tinggi secara berterusan boleh jadi punca payudara kendur. Ia adalah disebabkan otot di bahagian dada, pectoralis major dan otot-otot kecil sekitarnya menjadi lemah disebabkan penggunaan otot belakang yang melampau. Posisi badan anda membongkok ke hadapan dan bentuk payudara akan kendur ke hadapan.

Chapter 437-Kesan-kasut-tumit-tinggi

Kaki ibarat jantung kedua badan kita. Ramai tidak sedar ketidakselesaan pada kaki boleh menyebabkan masalah-masalah lain. Bukan nak takutkan dah kata tidak boleh pakai kasut tumit tinggi. Pakailah demi fesyen tapi kurangkan. Mungkin untuk tujuan atau acara-acara penting sahaja seperti mengambil Anugerah Juara Lagu, menghadiri Jamuan Makan Malam bersama Perdana Menteri dan sebagainya. Anda boleh jimat wang dengan mengurangkan pembelian kasut dan tidak perlu keluar duit berjumpa pakar orthopedik kemudian hari.

Rujukan

Snow RE, Williams KR. High heeled shoes: their effect on center of mass position, posture, three-dimensional kinematics, rearfoot motion, and ground reaction forces. Arch Phys Med Rehabil.

http://theblackedition.hubpages.com/hub/The-Dangers-Of-Wearing-High-Heeled-Shoes#

ZK: Tak perlu tipu diri sendiri untuk kelihatan tinggi.

Chapter 437-Tergelincir-pakai-kasut-tumit-tinggi

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube 

iklan ebook   ds ads   iklan disini