Soalan Lazim 4 Aug10

Kongsi

Soalan Lazim 4

Sambungan dari
Soalan Lazim 1
Soalan Lazim 2
Soalan Lazim 3

30. Adakah elok training sebelum berbuka puasa?

Disebabkan masa terlalu lama sekitar 12 jam perut kosong, keseimbangan nitrogen menjadi negatif. Jadi adalah tidak digalakkan berlatih sebelum berbuka. Keseimbangan nitrogen negatif akan menyebabkan otot dibakar menjadi tenaga. Andai kata di tempat anda tiada gym yang buka lewat malam dan anda masih ingin berlatih, lakukan latihan kompoun sekitar 30 minit sebelum berbuka. Tidak perlu latihan yang berintensiti tinggi.

31. Bilakah masa terbaik bersenam pada bulan Ramadhan?

Seeloknya sekitar 2 jam selepas berbuka untuk memberi ruang kepada penghadaman. Kebanyakan gym di sekitar Kuala Lumpur buka sehingga lewat malam. Cuma mungkin di luar bandar yang tutup awal. Jika perlu, lakukan senaman ringan di rumah menggunakan berat badan bagi yang tidak berkesempatan ke gym. Masa terbaik untuk latihan kardio adalah sebelum sahur. Tidak menjadi masalah bagi seorang yang aktif sebelum ini untuk berehat sebulan bahkan mungkin lebih baik, dengan memberi ruang pada pemulihan.

32. Kenapa saya mengantuk selepas berbuka?

Setelah sekian lama berlapar, tetiba ada kemasukan karbohidrat. Lebih-lebih lagi yang mudah dibakar. Bagi mereka yang sihat, badan dapat menerima purata 5g glukosa dalam darah dalam sesuatu masa. Apabila melebihi, badan akan merembeskan insulin. Insulin akan menarik glukosa ke dalam otot yang kehilangan simpanan glikogen berikutan puasa dalam 1 jangka masa yang lama. Ini menyebabkan glukosa tidak dapat disalurkan. Badan tidak mendapat tenaga yang mencukupi. Jadi ketika berbuka, kurangkan pengambilan gula segera atau elakkan bagi yang sedang menguruskan badan. Jangan makan keterlaluan ketika berbuka.

33. Apa yang patut dimakan untuk pertahankan otot yang ada ketika berpuasa?

Tingkatkan pengambilan lemak. Lemak di sini bukan bermaksud kulit ayam, tetapi lemak yang baik. Paling mudah dapatkan macam minyak flaxseed. Lemak yang baik mengurangkan pecahan protein badan untuk sintesis.

34. Bagaimana dengan pengambilan protein semasa berpuasa? Bila sepatutnya saya ambil makanan tambahan protein?

Pengambilan protein masih boleh mengikut kiraan biasa, cuma mungkin bagi sesetengah orang agak sukar membahagikan masa makan. Sekurang-kurang cuba bahagikan ke 3 menu. Seeloknya lebih. Pengambilan makanan tambahan protein boleh dilakukan diantara masa-masa menu kerana secara lazimnya, berbuka dan bersahur dah makan banyak.

35. Kenapa saya boleh mengangkat bebanan lebih menggunakan dumbbell berbanding menggunakan barbell?

Tarikan graviti dan daya di tempat yang berlainan. Jika menggunakan dumbbell, tangan betul-betul berada di tempat tarikan graviti manakala jika menggunakan barbell, ada jarak diantara daya dan graviti. Hukum fizik mengatakan jika terdapat jarak, momentumnya berlainan.

36. Kenapa saya boleh menggangkat berat yang tinggi menggunakan mesin tetapi apabila mengangkat beban seperti beras masih terasa beratnya?

Mesin di gym menggunakan sistem tuas. Lebih banyak tuas (pulley), lebih ringan beban yang diangkat. Jadi beban sebenar diangkat bukan yang dinyatakan pada plate tersebut.

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube