Soalan Lazim Feb18

Kongsi

Soalan Lazim

Antara soalan yang sering orang tanya saya.

1. Kenapa lepas latihan otot saya kembali kendur?

Latihan bebanan menyebabkan serat otot menjadi ketat demi melakukan kerja mengangkat bebanan disertai penumpuan darah menyebabkan otot nampak membesar ketika latihan. Selepas melakukan kerja, serat otot akan kembali menjadi kendur. Membina otot mengambil masa. Untuk yang baru sekurang-kurangnya 6 minggu untuk nampak hasil yang baik. Antara cara untuk membantu pembesaran cepat adalah melakukan regangan pada otot bekerja selepas latihan bagi membolehkan penyaluran darah lancar untuk memberi nutrien diperlukan otot akibat latihan bebanan.

NASC 2015

2. Bagaimana caranya untuk mempercepatkan pemulihan akibat latihan yang ekstrim?

Antara cara yang boleh digunakan adalah mandi dalam air ais.

3. Apakah air yang sesuai diminum ketika latihan?

Air yang sesuai diminum ketika latihan adalah air sejuk 2-4 darjah selsius. Kenapa? Kadar mengosongkan perut untuk air bersuhu rendah adalah lebih tinggi berbanding air panas. Air diserap di usus bukan di perut. Pernah tak berlatih selepas minum air suam, merasakan air bergoncang-goncang di perut? Dalam latihan, kita mengeluarkan banyak air dan perlu digantikan segera. Air sejuk dan bukan air ais. Bagi yang menyasarkan bakar lemak, elakkan air bergula termasuk isotonik ketika latihan jika tidak perlu.

4. Kenapa selepas latihan dan saya bercuti untuk dua hari, berat saya bertambah?

Semasa latihan badan akan mengosongkan glikogen simpanan dan glikogen akan kembali disimpan ketika rehat. Satu gram glikogen mampu menyimpan sehingga 4g air. Jadi berat yang bertambah disebabkan retansi air bukan kerana penambahan lemak. Penambahan lemak memerlukan masa sekurang-kurang 7 hari makan berlebihan, kalori akumulatif.

5. Anak saya berusia 12 tahun dan akan mewakili sekolah dalam pertandingan badminton, apa yang patut dia makan?

Yang membezakan antara atlet dan sedenteri adalah jumlah makanan dan masa pemakanan. Untuk atlet, masa pemakanannya berbeza, untuk latihan lain, untuk pertandingan lain, untuk rehat lain dan kuantitinya berbeza dengan kanak-kanak yang lain. Semasa menghampiri pertandingan, boleh lakukan penambahan karbohidrat untuk tenaga.

6. Kenapa saya kejang ketika berlatih?

Ada banyak penyebab kejang, yang paling biasa adalah disebabkan kebocoran kalsium disebabkan latihan dan juga kekurangan garam. Bagi yang melakukan ulangan yang tinggi, boleh tambahkan makanan tambahan potassium sebelum memulakan latihan.

7. Disebabkan kerja, saya tiada masa bersenam, adakah saya boleh gantikan dengan bersauna?

Seperti yang saya bincangkan dalam topik Adakah Sauna Bakar Lemak?. Sauna tidak boleh digunakan untuk membakar lemak walaupun ada sedikit peningkatan metabolisme ketika bersauna melainkan jika anda bersenam di dalam sauna. Penurunan berat badan selepas bersauna adalah disebabkan kehilangan air dalam badan yang mana perlu digantikan segera. Jangan terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan sesetengah pihak yang hendak melakukan produknya. Jika punyai masa untuk bersauna, elok gantikan masa itu untuk bersenam. Tidak semestinya bersenam di gymnasium, boleh juga dilakukan di rumah.

8. Saya dah main 3 bulan tapi tak nampak hasilnya. Kenapa?

Kaji balik di mana silapnya, mungkin dari segi latihan, makanan, rehat, atau sebab-sebab lain. Cuba lihat topik Orang Baru dan Pelan Pemakanan.

9. Apakah program latihan terbaik?

Jika ditanya secara peribadi, saya sukakan program X-Rep. Saya akan tulis dalam satu topik di masa akan datang. Mulakan dengan program asas dahulu. Lihat Sistem Latihan dan Rangka Senaman. Jika sesuatu latihan itu berkesan, maka baik lah dia.

10. Adakah patut saya pakai steroid?

Sebagai seorang profesional, saya tidak menggalakkan penggunaan dadah sukan. Dadah sukan banyak keburukannya berbanding kebaikan, tetapi bagi atlet yang bertanding yang mungkin memerlukan, dapatkan nasihat pakar dahulu.

11. Apakah makanan tambahan yang patut saya gunakan?

Sebelum memulakan pertambahan makanan tambahan dalam diet, pastikan diet harian cantik. Diet yang merapu jika dicampur dengan penggunaan makanan tambahan mungkin tidak mendatangkan hasil atau sedikit sahaja hasil. Tiada pil ajaib di dunia ini untuk membina badan. Makanan tambahan hanya tambahan dalam diet harian, bukan kemestian. Saya akan cuba menghuraikan serba sedikit tentang makanan tambahan, adakah ianya berkesan atau semata-mata gimik sahaja? Buat sementara sila rujuk laman Makanan Tambahan Bina Badan.

12. Apakah yang sesuai diambil selepas latihan?

Benda pertama diperlukan badan adalah glukosa. Badan sudah kehabisan glukosa dan simpanan glikogen jika melalui latihan yang betul, jadi memerlukan gantian. Karbohidrat juga diperlukan untuk meneruskan membakaran lemak. Jika mengambil protein whey selepas latihan, ada kemungkinan ianya akan ditukarkan ke tenaga. Jadi berlaku pembaziran di situ. Antara cadangan saya, bawa pisang ke latihan dan makan selepas latihan. Jika ingin minum protein whey, 30 minit hingga 2 jam selepas latihan. Jika ada menggunakan makanan tambahan yang lain, boleh amik BCAA selepas karbohidrat dan diikuti glutamine, dan akhir sekali protein whey.

Bersambung ke
Soalan Lazim 2
Soalan Lazim 3
Soalan Lazim 4

Zaki Khan adalah seorang terapi senaman yang diperakui. Pernah berkhidmat sebagai jurulatih kepada jurulatih untuk Majlis Kecergasan Kebangsaan di bawah kelolaan Dato Azalina Othman. Berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang kecergasan.

Sebagai seorang terapi senaman, Zaki Khan terlibat bukan sahaja sebagai seorang jurulatih kecergasan tetapi juga dalam rehabilitasi, berhadapan dan membetulkan masalah-masalah ketidakseimbangan otot, menguatkan kembali otot-otot yang lemah supaya seseorang itu dapat menjalankan fungsi asas badan. Zaki Khan juga banyak terlibat dalam kempen-kempen mempromosikan kesihatan samada sebagai seorang penceramah, penganjur atau jemputan.

Facebook Twitter YouTube 

iklan ebook   ds ads   iklan disini